Thursday 30 December 2010

HAKIKAT

Sesuatu yang paling sukar untuk diterima tetapi hakikatnya saya harus menerimanya ialah berpisah dengan anak2 saya, Fitri dan Fareha. Dua hari sebelum itu saya dah mula merasakan kesunyian tanpa mereka berdua. Setelah bercuti lebih sebulan di rumah, saya menghantarnya tengahari tadi ke sekyen 17 untuk pulang ke Labis. Fitri dan Fareha akan mula mendaftar semula ke sekolah masing2 bermula esok. Sedih menyelubungi hati saya...lebih sedih bila melihat bas mula bergerak.

Itulah hakikat yang harus diterima bila anak2 sudah mula dewasa. Satu hari nanti mereka semua akan meninggalkan kita, menuntut ilmu dan mencari rezeki. Dulu, sewaktu saya mula menjejaki kaki di asrama, ketika umur 13 tahun, bila emak kata abah menangis selepas hantar saya..saya tak faham. Kenapa abah sedih? Adakah saya ni memang penghibur keluarga di rumah? Sekarang, bila anak2 pula yang tinggalkan saya pulang ke asrama masing2, baru saya faham. Itulah kasih sayang. Sunyinya tanpa mereka..Walaupun ada 3 orang lagi di rumah ni, tapi masih tak sama dengan yang tiada. Itu hakikatnya.

Hakikatnya..perpisahan itu memang menyakitkan...

Monday 27 December 2010

CUTI

Saya bercuti hari ini. Kebetulan pula pelajar2 Asasi Undang2 yang saya ajar sedang cuti pertengahan semester. Saya ambil kesempatan ini untuk bercuti hampir seminggu untuk menguruskan hal anak2.

Pagi seperti biasa kalau tak bekerja, saya akan ke pasar. Pulang dari pasar, bawa anak2 bersarapan di Restoren Cili Merah, berdekatan dengan rumah. Lepas tu ke Seksyen 17, beli tiket bas untuk Fitri dan Fareha yang akan pulang ke Labis pada hari Khamis ni. Dari Seksyen 17 terus ke Tesco, beli baju2 sekolah Aiman dan kasut sekolah Fareha.

Balik rumah, aktiviti tidak terhenti di situ..sebaliknya, saya mengemas pula di tingkat atas . Nasib baik ada bibik yang sentiasa membantu..rajin memasak. So, legalah sikit...sekurang2nya, setelah penat mengemas, saya dah boleh makan!

Disebabkan bercuti, saya ambil kesempatan ini untuk sediakan minum petang untuk suami dan anak2. Suami pulang agak awal hari ini. Menu petang ni....hmmmm..lontong goreng! His favourite! Seronoknya bila dapat pujian lontong goreng yang sedap. Rasa macam nak masak lagi esok!

Malam..makan dengan anak2 saja. Suami keluar makan atas jemputan Prof Kamil. Mungkin nasi Arab tu....Hehehe..Esok cuti lagi...Sambil menulis blog ini, saya terus memikirkan apa menu saya untuk esok...? Macam kena pergi pasar lagi ni....Tak apalah...sekali sekala..Semoga cuti saya akan lebih bermakna.....

Wednesday 22 December 2010

TEMAN

Nurzea adalah salah seorang pensyarah UiTM Johor yang baru saja berhijrah ke kampus Shah Alam pada 1 Disember yang lepas. Saya pula telah lama tidak menemui Nurzea sejak berpindah ke sini setahun yang lepas. Sebaik saja mendapat tahu yang saya akan keluar minum dengan Kak Dirah, beliaupun gembira untuk turut serta. Kami bertemu di SACC Mall. Kebetulan saya pun bawa anak2 mencari dan membeli buku di sana. Pertemuan kami berlangsung di Tea Pot Deli, tempat yang biasa saya kunjungi bersama kawan2. Anak2 pula minum sendiri di Only Mee, di sekitar situ juga.

Terpancar kegembiraan di wajah Nurzea. Bila berjumpa rasa banyak benda yang nak dicerita selain bertanya khabar berita diri masing2. Seronoknya...terubat sikit rindu di hati (rindu pada cik abanglah!).

Malamnya, berchatting pula dengan kawan x-MRSM yang menetap di Tanah Arab. Beliau sekeluarga menetap di sana mengikut suami yang bertugas. Sekali lagi, hati rasa gembira bila bercerita kisah2 28 tahun yang lalu. Nostalgia kembali lagi...Rasa macam nak balik semula ke 28 tahun yang lalu. Kalaulah masa itu boleh diputar...

Itulah teman...pengubat luka di kala rindu. Bila balik rumah, anak2lah teman saya. Biar riuh rendah rumah jadinya, tapi merekalah teman dan penghibur saya...Rasa geram, marah, sayang..semuanya ada. Bila suami di sisi, dialah teman, menemani saya sewaktu susah dan senang, di waktu sedih dan gembira.

Tak sabarnya nak menanti kepulangan 'teman hidup' saya....


Monday 20 December 2010

ETIKA PERGAULAN

Saya selalu mengajar pelajar2 (dalam bab 1, subjek ekonomi) bahawa dari perspektif Islam, ekonomi itu berlandaskan kepada Tauhid. Dan dalam konsep tauhid, manusia (sumber manusia) tertakluk kepada 2 jenis perhubungan; Hablumminaallah (hubungan antara manusia dengan Allah) dan Hablumminannas (hubungan antara manusia dengan manusia). Kenapa tiba2 saya tergerak untuk menulis semua ini? Sebenarnya, petang tadi saya baru saja keluar makan dengan seorang kawan (perempuan). Ada beberapa perkara yang kami bincang, dan salah satunya adalah etika pergaulan.

Secara fitrahnya, manusia itu tidak boleh hidup keseorangan. Kita perlukan kawan untuk menemani kita di waktu susah dan senang, waktu sedih dan gembira. Dan hubungan itu tidak hanya di kalangan lelaki dan lelaki atau wanita dengan wanita, malah seringkali wujud hubungan antara lelaki dan perempuan. Perhubungan ini tidaklah ditolak tetapi sebaliknya kita harus menjaga batas2 pergaulan seperti yang dikehendaki dalam Islam serta prihatin terhadap akhlak dan adab.

Hubungan ini akan jadi lebih terlarang sekiranya ia berlaku di antara suami orang dan isteri orang. Tidak salah meluahkan masalah yang terpendam tetapi ada batasnya. Kenapa tidak luahkan saja masalah pada sahabat sejenis? Bukankah itu lebih baik? Kadangkala perempuan ini menjadi lebih hipokrit, bila berdepan dengan lelaki (lebih2 lagi yang disukai), suara mula menggoda, alunan suara mulalah lunak. Jauh beza alunan suara bila bercakap dengan orang lain yang bukan menjadi idamannya. Seperti dalam surah Al Ahzaab, ayat 32:

"Hai isteri2 Nabi. Kamu sekelian tidaklah seperti wanita yang lain, jika kamu bertakwa. Maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara (dengan kata2 yang menggoda) sehingga berkeinginan orang yang ada penyakit di dalam hatinya, tetapi ucapkanlah perkataan2 yang baik."

Semasa saya menyambung pengajian peringkat Master di UKM dulu selama 1 1/2 tahun, saya tinggal di Kajang, sendirian tanpa keluarga (suami dan anak2). Waktu itu anak saya 3 orang. Saya hanya ditemani teman2 (wanita semuanya). Tidak pernah terfikir untuk bercakap dengan lelaki. Memang saya sangat bataskan pergaulan kerana sedar siapa diri saya. Boleh dikira dengan jari tangan sebelah berapa kali saya bercakap dengan kawan2 lelaki. Bukan tak ada masalah, banyak...tapi..entah..sampai sekarang pun saya tetap macam tu. Walaupun ada kawan lelaki sekelas yang ingat saya belum berkahwin, ada yang berkirim salam, tapi..saya buat tak kisah dan buat tak tahu. Tak pernah beri respon apa2. Bukan setakat face to face, malah dalam facebook pun saya tetap jaga hubungan itu agar ia tidak menjadi satu hubungan yang lari dari landasan yang ditetapkan.

Bila mendengar cerita kawan2 tentang hubungan terlarang ini, saya jadikan iktibar. Mungkin hari ini adalah hari mereka. Mungkin saya sudah 'terselamat' dari perangkap tersebut atau mungkin satu hari nanti, saya pula yang terperangkap di dalamnya. Nauzubillah..minta Allah jauhkan dari segala kemungkaran.

Apa2pun, pada pendapat saya, biar sebaik manapun hubungan kita (walaupun ia terlarang), tanpa niat yang buruk atau sebaliknya, batasan itu perlu dipatuhi. Haruskah kita melukai hati orang lain....????


AIRMATA ITU TUMPAH JUGA....

Mendung dan hujan sepanjang hari seakan mengerti perasaan saya pada hari ini. Entah kenapa hati ini rasa sedih yang teramat sangat dengan pemergian suami ke Hotel Pan Pacific, KLIA untuk menghadiri satu persidangan. Bukannya pertama kali berjauhan, malah dah beratus2 kali dan tak terkira saat berjauhan dengan suami. Tapi kali ini, rasa sedih dan sayu sangat mencengkam perasaan. Mungkin sebab keadaan saya yang dah macam ni..rasa 'secure' bila suami di sisi. Kalau ada apa2 berlaku pada saya, dia sentiasa ada. Tapi bila dia jauh, bermacam2 perasaan pulak yang timbul. Cuma saya sentiasa berdoa, semoga saya dan baby saya sihat sepanjang ketiadaan suami.

Hari ini, saya ada kelas pagi dan sambung semula pukul 2 hingga 5 petang. Cari juga kesempatan untuk lunch dengan suami hari ini. Saya balik rumah, kemaskan segala pakaian dan perkakasnya, solat dan kembali semula ke kampus untuk menyambung tanggungjawab saya untuk anak bangsa tercinta. Bila kereta keluar dari porch rumah, hujan dah mula lebat, selebat airmata saya yang tumpah di dalam hati. Saya cuba menahan sebak, namun akhirnya airmata itu tumpah juga...

Semoga ALLAH berikan kami kekuatan dan ikatan kasih sayang hingga ke akhir hayat. Amin..

Friday 10 December 2010

HARGA SEBUAH KESETIAAN

Mendengar cerita seorang teman tentang kenalannya yang ditinggalkan oleh suami yang curang membuatkan badan terasa seram sejuk. Si isteri yang telah mengorbankan kerjayanya demi membantu perniagaan suami tanpa upah dan kesenangan ditinggalkan setelah si suami berkahwin dengan salah seorang pekerja syarikat mereka. Perniagaan yang maju atas usaha si isteri telah mengubah hati seorang suami hanya semata2 kerana godaan seorang perempuan yang tak tahu hati perempuan lain. Menurut teman saya, setelah ditinggalkan tanpa apa2 harta (anak 2 orang), kenalannya ini bersama anak2nya merantau di KL dan mencari kerja. Mujurlah kenalan ini ada kelayakan sehingga peringkat Master, akhirnya beliau diterima menjadi pensyarah. Perniagaan suami pula semakin merosot dan baru2 ini perniagaan ini telah diambil alih oleh orang lain. INIKAH HARGA YANG DIBAYAR UNTUK SEBUAH KESETIAAN DAN KEJUJURAN?

Kesetiaan dan kejujuran adalah elemen penting dalam sesuatu perhubungan. Tiada gunanya bahasa berbunga tapi rupa2nya hati tidak setia. Tiada gunanya menunjuk2, kalau hanya satu sandiwara ketidakjujuran. Naluri seorang isteri adalah anugerah ALLAH yang tidak ternilai, dapat merasai kesetiaan dan kejujuran suami.

Ya ALLAH...Semoga kita semua berada di dalam rahmatNya dan terhindar dari segala perkara2 yang mungkar. Amin...



Wednesday 8 December 2010

DUGAAN

1 Disember, Rabu :

Pulang dari kelas, terus ke klinik, ada temujanji untuk menjalani "detail scan" baby dalam kandungan. Hasilnya, saiz baby keseluruhannya agak besar berbanding usia kandungan yang baru 22 minggu. Keputusan ujian: saya kena buat satu lagi temujanji segera untuk ujian gula. Perghh...!!! Saya tak pernah kena minum air gula ni! Apa2 pun saya bersyukur dapat tengok baby dalam kandungan sejelasnya menggunakan teknologi moden ini.

8 Disember, Rabu:

Pagi lagi saya dah ke klinik UMRA ada temujanji pukul 7.30 untuk ujian gula. Sebelum tu, saya kena berpuasa sejak pukul 10 malam hari sebelumnya. Ujian darah 1: kandungan gula 3.7. Fuh!! Lega. Di depan saya dah tersedia segelas air gula untuk diminum. Eee..kenapalah tinggi sangat pulak gelas ni. Hmm..nasib baik rasa blackcurrant. Dengan kepala yang melayang-layang saya drive sendiri pulang ke rumah. Nasib baik seksyen 13 tu tak jauh dengan seksyen 9. Pukul 10 pagi, drive semula ke klinik untuk ujian darah 2. Keputusan: 7.6! Wah! Tinggi tu...dah border line. Doktor pun dah mula beri advise macam2. Nak buat macamana...bab makan, sekarang ni memang boleh tahan! Kadar metabolisme pulak dah mulai menurun di usia2 begini. Tapi apa2 pun, nasib baik semua makanan tu dapat kat baby dalam perut. Buktinya..? Hehehe...jam tangan kristal yang saya tempah setahun lebih yang lalu mengikut saiz tangan saya tetap muat seperti dulu...!

Inilah dugaan mengandung di usia begini. Saya sentiasa berdoa semoga baby dalam kandungan saya sentiasa sihat, dijadikan Allah dengan sebaik2 kejadian, beriman dan sempurna.

Friday 26 November 2010

DOA SEORANG IBU.

Keputusan peperiksaan akhir di peringkat MRSM telah keluar. Fitri mendapat CGPA 3.08. Dia betul2 gembira dan bersyukur. Walaupun ada beberapa subjek tidak cemerlang (A), tetapi masih lulus dengan baik. Dia memberitahu saya, "Mama, ayong beryukur Ayong dapat keputusan ni. Soalan memang betul2 susah. Markah peperiksaan akhir pulak hanya diambil 60% sahaja dari markah keseluruhan. Dan ada beberapa subjek masa peperiksaan 1 dan 2 Ayong tak perform." Saya kata, "Alhamdulillah. Ini yang terbaik yang Allah bagi. Ayong kena usaha lagi terutama untuk subjek2 penting." Dia tanya saya lagi, "Mama happy?" Saya senyum, mengangguk.


Dalam bilik, saya menangis sepuas2nya ketika bersolat. Saya tahu dia begitu gigih berusaha untuk berjaya. Ketika orang lain balik bercuti (masa Hari Deepavali), dia tak bercuti. Bila saya tanya kenapa tak balik cuti? Dia cuma kata, Ayong tak boleh, Ma..Ayong kena study. Ayong bukan budak pandai sangat. Saya terharu dengan kata2 Ayong. Ia benar2 menyentuh hati saya. Lama saya memohon pada Allah, merayu pada Allah mohon Allah berikan yang terbaik untuk Fitri. Berkati segala ilmu2nya. Saya mohon pada Allah agar merestui dan memberkati cita-citanya dan impiannya. Dia pernah beritahu saya, "Ayong nak buat mama happy. Sekali pun tak apalah, mama tengok Ayong naik pentas". Namun impiannya belum direstui.


Sebagai seorang ibu..apa lagi yang mampu saya lakukan? Memberi semangat dan merestuinya. Itulah doa saya..siang dan malam. Tahun hadapan dia akan menduduki SPM. Saya sentiasa mendoakan kejayaannya. Ya Allah...Kau restuilah dia....Amin.

Saturday 20 November 2010

HARI PENYAMPAIAN ANUGERAH CEMERLANG

Pagi2 lagi kami dah bersiap, menghantar Aiman ke sekolah untuk majlis penyampaian hadiah yang bermula pukul 8.30 pagi. Selepas hantar Aiman, ke pasar Seksyen 6 dulu, kami menikmati sarapan pagi bersama semua anak2 dan ke sekolah Aiman semula untuk menghadiri majlis tersebut. Majlisnya tersusun kemas, selesa dan menghiburkan dengan alunan koir dari murid2 SK Seksyen 9.



Rasa bersyukur dengan apa yang Allah kurniakan selama ini. Mudah2an Aiman akan lebih berjaya di masa yang akan datang.






Friday 19 November 2010

MERDEKA!

Akhirnya....setelah bertarung hampir 3 minggu, saya merdeka juga. Merdeka dari "marking" paper, merdeka dari mempertimbangkan keputusan dan masa depan anak bangsa dan merdeka dari mengheret bundle ke sana sini. Lega rasanya bila selesai menghantar semua bundle ke bilik gerakan peperiksaan di FSKM dan InEd hari ini.

Rasa kemerdekaan ini pula disambut dengan kepulangan 2 orang anak , Fitri dan Fareha yang telah lama tidak pulang ke Shah Alam. Seronok, gembira, lapang, tenang....semua perasaan ada. Anak2 yang lain (Aiman, Ika dan Baby) juga gembira dengan kehadiran Ayong dan Kak Ngah mereka.

Seperti biasa, rasa gembira dan merdeka ini kami sambut di Restoran D'Arab, tempat favourite suami dan anak2! Memang betul2 lapang rasa fikiran saya...! Alhamdulillah...Pagi esok pula kami semua akan ke SK Seksyen 9, melihat Aiman mendapat hadiah tempat pertama dalam Majlis Anugerah Cemerlang.

Semoga Allah meredhai hidup kami semua....Amin.

Sunday 7 November 2010

DEMI ANAK

Sewaktu Fitri telefon bertanya sama ada boleh kah kami melawatnya pada cuti Deepavali, suami terus mengatakan "Ya". Agak terkejut juga dengan jawapan suami kerana sekolah Fitri bukannya dekat. Nun jauh di Muar. Kesanggupan suami mengunjungi anak yang jauh di Selatan membuatkan saya terharu dengan kasih seorang ayah.

Hari Sabtu, 6hb kami bergerak dari Shah Alam dalam pukul 7.30 pagi, terus menuju ke MRSM Muar untuk melihat Fitri. Sepanjang perjalanan agak tenang. Kami sampai di Muar dalam pukul 10 pagi, terus membawanya keluar makan sate (favourite saya dan idaman saya). Lepas makan, suami terus mengajak kami ke Melaka, 'bawa Ayong jalan2,' katanya.

Window shopping dan ber'shopping' di Melaka selama 4 jam, kemudian terus bawa Fitri pulang semula ke Muar sebelum pukul 6 petang dan kemudian kami balik semula ke Shah Alam membuatkan saya amat kagum dengan pengorbanan suami. Dalam kesibukan beliau sejak 3 minggu terakhir ini kami tetap mengambil sedkit kesempatan untuk menjenguk keluarga di kampung dan mengunjungi anak di Muar. Memang suami nampak sangat letih. 3 minggu berturut2 dia memandu di celah2 kesibukan kerja yang menuntut masa tidak berhenti2. Saya pula menjaga peperiksaan pada hari Ahad keesokkannya.

Sekarang saya percaya, "Kasihnya ayah, sangguplah berkorban...Kasihnya ibu, membawa ke syurga.." Demi anak2, inilah pengorbanan seorang ayah...

Thursday 28 October 2010

MELECUR

Saya sedang menikmati hidangan tengahari bersama Zuriati (pensyarah dari UiTM Johor) di Tea Pot Deli, SACC Mall sewaktu mendapat panggilan telefon memaklumkan kaki baby melecur kena air panas. Nasib baik dah habis makan, bergegas pulang ke rumah selepas mendengar esakan Aiman. Tiba di rumah, baby sedang terbaring sambil teresak-esak. Rupa2nya pehanya melecur terkena kuah maggi. Lecuran sebesar duit syiling 50 sen + 20 sen tu agak menyakitkan sebab kulit dah terkoyak, jadi nampak isi putihnya. Saya dapat rasakan kesakitan yang ditanggung tapi kena buat2 biasa saja. Puas memujuk untuk ke DEMC, dia tak nak.

Kami pergi ke DEMC selepas abahnya berjaya memujuk. Di DEMC, macam biasalah...baby tenang aje (tak menangis langsung) waktu dibersihkan oleh jururawat2 yang comel2 dan rajin melayan. Akhirnya, baby kena buat daily dressing untuk memastikan lecurannya cepat sembuh. Hmmm..sesuatu yang sentiasa ditunggu2 oleh anak2 saya kalau nak ke DEMC.

Semoga baby cepat sembuh.

Wednesday 20 October 2010

PERTALIAN

15 tahun bukanlah satu jangkamasa yang singkat dalam sesuatu perhubungan. Malah dalam "production theory" pun, 15 tahun dikategorikan sebagai "long term production function". Saya telah berkhidmat selama 15 tahun di UiTM. Bermula di UiTM Sabah pada tahun 1995 (1994 - part time lecturer) hinggalah sekarang (2010) di kampus induk, Shah Alam.


Sepanjang 15 tahun ini, saya telah berkhidmat di beberapa kampus, antaranya Sabah, Melaka, Johor dan kini di Shah Alam. Inilah sumbangan saya kepada anak bangsa dan negara. Sepanjang 15 tahun ini juga saya telah bertemu dengan ramai teman2, sahabat, kawan yang sentiasa memberi sokongan dan dorongan ketika susah dan senang. Lebih2 lagi kawan2 sejabatan, tidak kira Jabatan Ekonomi di kampus Sabah, Melaka, Johor atau Shah Alam. Jangkamasa inilah yang mengikat pertalian di antara kami. Walaupun jarak semakin jauh, masa terus berlalu, tetapi ikatan pertalian ini masih teguh dan diharapkan akan terus kekal begitu.


Semalam saya dikunjungi oleh adik2 (pensyarah Ekonomi) dari Jabatan Ekonomi, UiTM Johor; Azim, Ana, Ira, Tan dan Fariza. Mereka semua pensyarah yang baik dan rajin. Mereka di UiTM Shah Alam untuk menghadiri bengkel "PhD Research Proposal Preparatory Course". Bagi saya mereka semua adalah adik2 yang sentiasa mendengar kata, sentiasa menerima teguran, memberi semangat, rajin, aktif dan sentiasa menghidupkan dan mewarnai Jabatan Ekonomi UiTM Johor.


(Berdiri dari kiri: Azurah, Fariza. Duduk dari kiri: Ana dan Ira)

(Tan dan Ira)

Pertemuan yang hanya setengah jam meneguhkan lagi pertalian yang telah terikat. Apa2 pun saya pasti akan merindui mereka! Semoga mereka akan terus berjaya dan tidak jemu2 mendidik anak2 bangsa!

Thursday 14 October 2010

"MARKING"

Minggu ini adalah minggu yang agak sibuk bagi pensyarah. Minggu ini adalah minggu terakhir kelas tetapi minggu yang paling sibuk untuk menyiapkan "on-going assessment" pelajar. Inilah masanya kami merasakan bahawa "masa itu emas". Pantang aje ada masa terluang, mesti terisi dengan memeriksa kertas-kertas ujian 1 dan 2, kuiz 1 dan 2. Fuh..!!! Tambah pening dengan membaca jawapan2 pelajar yang entah apa2.

Minggu depan minggu "study leave". Sepatutnya, inilah masa bagi pelajar2 berjumpa pensyarah, bertanya soalan, belajar, mengulangkaji..tapi biasalah anak2 muda zaman sekarang. Mereka tidak pernah menggunakan peluang keemasan ini untuk mendapat keberkatan daripada pensyarah masing2. Ada pelajar yang tidak kisah nak bertanya "on-going assessment" mereka. Kadang2 timbul rasa "fed-up" dengan perangai pelajar2 ni. Namun ada juga yang baik, mendengar kata, sangat mementingkan pelajaran. Pelajar2 yang begini amat saya hormati dan sayangi.

Apa2 pun sebagai tenaga pengajar, pendidik, saya sentiasa mendoakan kejayaan pelajar2 saya. SELAMAT MENGHADAPI PEPERIKSAAN AKHIR.

Wednesday 13 October 2010

CINTA

Cinta 1 (12 Oktober):


"Saya sedang memandu pulang ke rumah dari ofis. Ada nama seseorang bermain di fikiran saya. Tiba di traffic light depan Concorde Hotel, kereta berhenti...lampu merah. Sebelah kanan saya ada kereta berhenti. Saya buat tak kisah. Saya belek2 radio, menekan2 butang stesyen radio, membelek2 handphone yang tak berbunyi pun. Tiba2 saya rasa macam ada seseorang sedang memerhatikan saya, membuatkan saya menoleh ke kiri. Ya Allah...! Dia! Dia yang sedang bermain di fikiran saya, kini berada di sisi saya! Saya pandang. Dia pandang. Akhirnya...senyum. Fuh..!! Senario romantik dalam drama cinta!" Saya bercinta kah??? Suspennya nak jawab..Tidaklah..cuma membayangkan senario romantik ini saja.

Tiba2 saja kalimah ini melintasi fikiran saya sewaktu sedang memandu tadi. Mungkin sebab ini minggu terakhir, kelas terakhir saya berjumpa pelajar2 yang comel2 dan handsome2 tu, membuatkan saya terkenang semula zaman muda2 di universiti dulu.

CINTA adalah kertas projek individu saya untuk kelas Pengantar Psikologi di UUM. Bukan senang rupanya menafsir cinta. Saya perlu merujuk kepada beberapa jurnal, ensiklopedia serta beberapa artikel dalam majalah dan akhbar. Hasilnya...saya dapat A untuk subjek tersebut!

Cinta wujud kerana berbagai faktor dan alasan. Tetapi cinta yang paling agung adalah cinta kepada Allah dan keranaNya.


Cinta 2 (13 Oktober):


Pagi tadi sewaktu sedang memandu di bulatan hadapan pintu masuk UiTM, saya dengar radio Era. Topik hari ini tentang cinta berputik kembali. Hmmm..interesting! Seorang pemanggil wanita bercerita, suaminya meninggalkan dia bersama anak2nya (4 orang) setelah berkahwin 23 tahun semata2 kembali kepada kekasih lamanya. Apa alasannya...?? Kalau dalam kelas, saya akan gunakan istilah "faktor" atau "determinants" . What are the factors that cause the situation to happen? Tak payah jawab soalan ni..Sebab, macam2 alasan dan faktor yang akan timbul.

Apa2 pun, CINTA itu sangat indah. Bila kita mencintai Allah, dicintai Allah..nikmatnya lagi terasa. Rasa bahagia yang sukar untuk ditafsirkan. Rasa tenang, damai, nyaman...mmmm..itulah cinta. Tiada CINTA yang paling bahagia melainkan CINTA KEPADA ALLAH.



Thursday 7 October 2010

MALU

"Mama, mama malu tak kalau mama kena marah depan orang? Lagi2 kalau depan kawan2 mama?" Satu soalan yang saya tidak sangka boleh keluar dari mulut seorang anak yang berumur 7 tahun. Puteri saya, Ika bertanya saya soalan yang perlukan jawapan yang saya rasa tidak mengecilkan hati semua orang. "Mama jangan marah adik depan orang tau! Malulah adik...lagi2 kalau depan kawan2 adik.." Saya diam. Saya kata pada Ika, "Ok. Mama tak marah adik depan kawan2. Mestilah malu...Sebab, setiap orang ada harga diri. Itulah namanya harga diri. Kalau kena marah depan orang, jatuhlah harga diri kita.."


Saya tak sangka anak sekecil itu tahu malu bila dimarahi depan orang lain. Lainkali saya kena berhati-hati bila nak marah anak2. Mereka juga ada harga diri yang perlu dijaga. Kadang2 saya terfikir, kalau kita malu bila kena marah, orang lain pun tentu malu...kerana kita adalah manusia biasa dan normal.

Friday 1 October 2010

BERLETER

Siapa yang suka dengar orang berleter? Saya pun tak suka. Bukan apa..saya kesian pada orang yang berleter..memenatkan badan, menyesakkan dada, dan menyakitkan tekak. Saya pun tak suka berleter. Bila usia semakin menginjak senja, saya dah mula kurang berleter pada pelajar2. Tapi, bila tak berleter, mereka tak tahu dan tak faham adab2 sebagai seorang pelajar!


Hari ini saya menjalankan ujian 1 untuk pelajar2 ECO415. Dalam kelas yang hampir penuh, dan masing2 tunduk menulis dan mencari jawapan, ada juga seorang pelajar yang sempat ber'sms'. Saya tak berleter. Malah dalam kelas pun, saya tak pernah menegur pelajar jika mereka sibuk ber'sms' sewaktu saya sibuk memberi 'lecture'. Kenapa? Kerana mereka sudah dewasa, dah 'baligh' untuk mengetahui mana yang baik dan mana yang buruk. Lagipun di awal semester (hari pertama kelas), saya dah maklumkan kepada pelajar, apa yang mereka perlu buat dan yang mereka tidak boleh buat sepanjang satu semester kelas saya. Mereka adalah orang2 dewasa yang punya akal, yang telah dididik untuk membezakan buruk baik serta tanggungjawab kepada diri mereka.


Saya senang saje..Bila hasil ujian mereka menunjukkan peratusan yang rendah, mereka gagal dalam ujian, barulah saya akan berleter. Berleter hingga mereka rasa, "Puan Zuraidah adalah pensyarah yang garang!" Suka hati mereka, saya tak kisah. Saya ada bukti dan alasan untuk berleter kerana markah ujian ada di tangan saya. Masa tu, barulah mereka tahu dan teringat apa yang "Puan Zuraidah" dah beritahu dalam kelas pertama.

Fuh...!!! Saya tak sabar nak menanti minggu terakhir kelas untuk saya berleter habis2an dengan student2 saya. Semoga mereka sentiasa menjadi anak bangsa yang berjaya.

Tuesday 28 September 2010

CORAT CORET HARI RAYA

Lama saya tak update blog. Bukan tak ada idea nak menulis tapi tidak punya kesempatan untuk menulis. Sejak tak ada bibik ni, saya lah jadi bibik setiap kali sebelum pergi kerja dan setelah pulang dari kerja. Tambahan pula musim raya, jadi bila ada kawan2 yang datang menziarah, pasti ada hidangan yang akan disediakan untuk santapan. Sejak di Shah Alam ni, saya memang suka memasak. Jadi, masa betul2 suntuk dengan kerja sebagai pendidik dan juga tugas sebagai surirumah.


Sejak balik ke Shah Alam, tak putus2 kawan datang, dari jauh dan dekat. Paling jauh..dari Sabah. 2 minggu lepas, sekumpulan kawan2 seramai 15 orang dari Sabah datang bertandang. Walaupun penat baru habis mengajar e-pjj di Intec seksyen 17 pukul 6.30 petang, saya tetap gigih memasak, menyediakan hidangan untuk mereka. Rasa gembira, puas hati dan berterima kasih kepada yang sudi berkunjung.


Jumaat lepas,saya menjemput jiran2 terdekat pulak datang ke rumah. Perkenalan yang sedia ada menjadi lebih rapat. Bak kata orang, "jiran sepakat membawa berkat". Majlis jamuan hari raya tidak terhenti setakat ini. Saya juga puas berkunjung ke "open house" staf PPS sepanjang hujung minggu. Penat tapi seronok. Yang kurang gembira...anak2lah..! Kejap2 datang berbisik pada saya, "Mama, bila nak balik? Lepas ni nak pergi mana?" Hmm..soalan CEPUMAS!


Apa2 pun, majlis hari raya, akan tetap diteruskan. SELAMAT HARI RAYA, MAAF ZAHIR BATIN buat semua kawan2, teman2..di mana saja berada.

Saturday 4 September 2010

HARi MALAS SAYA

Mengandung di usia 41 tahun ini memang agak mencabar. Dengan usia yang semakin meningkat, kerjaya yang semakin menuntut masa, 3 orang anak yang sedang membesar, membuatkan saya cepat merasa keletihan. Tambahan pula di bulan puasa ini membuatkan darjah keletihan saya semakin meningkat. Bibik pulak dah tak ada. Kami berhentikan dia kerana alasan tertentu sejak 31 Ogos lalu. Buat masa ini, di samping bekerja, saya juga mengambil alih tugas bibik membuat kerja2 rumah. Penat? Mmmm...memang penat!

Hari ini saya memang betul2 letih. Tak tahu kenapa. Saya dah merancang untuk masak yang simple aje tapi tak terdaya. Saya tidur..tidur..dan tidur! Saya bersyukur suami sangat memahami saya sejak saya mengandung kali ini. Beliau banyak memberi sokongan moral kepada saya. Yang paling best, bila balik solat Jumaat tadi, suami kata, "Hari ini mama tak payah masaklah. Kita buka di tempat biasa..nasi Arab! Kesian mama, asyik masak aje.." Saya senyum aje. Saya bagitahu suami dan anak2,"Hari ini hari malas mama" Anak2 saya gelak aje.

Lepas buka, solat Maghrib di rumah, kami keluar lagi untuk shopping baju raya anak2. Lepas shopping balik rumah kejap, suami ajak kami pergi ke kampus kerana staf Pejabat Pendaftar buat aktiviti "Salam Sahur", bermula pukul 11.30 malam. Program selesai dalam pukul 2.00 pagi. Kami terus bersahur di salah sebuah restoren Seksyen 7. Fuh..!! Hari ini memang betul2 HARI MALAS SAYA.

Monday 23 August 2010

HUJUNG MINGGU

Petang Jumaat lepas, Fareha (Kak Ngah) balik ke Shah Alam bersama seorang kawannya. Turut sama ialah mak dan abah, naik bas yang sama dengan Kak Ngah. Dalam pukul 4 petang, saya ambil mereka di Stesyen Bas Seksyen 17. Saya masak simple aje hari itu - mee udang tomato dan nasi lemak sambal udang. Kebetulan pula, saya dan suami serta 2 orang anak2 kami yang comel tu akan mengikut kami menghadiri jamuan berbuka puasa pejabat PPS.

Sabtu (21 Ogos), suami bekerja - ada mesyuarat sejak Jumaat di Hotel Bluewave. Saya dan mak memasak juadah berbuka lebih awal sebab petang nak bawa anak2 ke SACC Mall dan Kompleks PKNS. Seronok budak2 ni dapat berjalan-jalan menikmati juadah yang pelbagai di Bazaar Ramadhan di Kompleks PKNS. Dapat beli kasut raya sepasang seorang di BATA. Hmmm...citarasa masing2. Saya tak masuk campur...jadi tukang bayar aje.

Ahad (22 Ogos), saya ada kelas e-pjj di InTEC, Seksten 17 dari jam 8.30 hingga 6.00 petang. Pertama kali saya tak dapat menghantar Fareha ke stesyen bas untuk pulang ke Segamat. Memang rasa sedih juga, tapi saya pun ada tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Saya bertolak awal, pukul 7.30 pagi sebab nak singgah di fakulti dulu, ambil beberapa barang yang diperlukan. Sebelum pergi, sempat saya jumpa Fareha. Semoga dia kuat dan berjaya dalam kehidupannya.

Saya tiba di rumah dalam pukul 6.30 petang. Nasib baik ada emak yang banyak membantu saya sepanjang 2 hari ini, terutamanya hari Ahad yang sangat suntuk untuk saya. Saya balik, emak dah siap masak. Terima kasih emak, abah yang telah banyak membantu saya selama ini.

Sebagai mengenang pengorbanan mereka, saya dan suami nak ajak mereka berbuka puasa di luar aje malam ni. Tempat...? Mana lagi...Restoren D'Arab Cafe, Seksyen 7. Makanan kegemaran kami sejak beberapa bulan ni. Semoga Allah sentiasa memberkati hidup kami sekeluarga, lebih2 lagi di bulan Ramadhan ini. Amin.

Wednesday 18 August 2010

DUGAAN DI BULAN RAMADHAN

Semalam hari yang amat meletihkan. Inilah dugaan di bulan Ramadhan ini. Hari Selasa, saya ada kelas PLK. Nasi baik kelas hari ini cuma 4 jam. Dari 8.30 pagi hingga 12.20 tengahari. Saya habiskan kelas agak lewat, 12.30 tengahari. Balik ke ofis dulu di fakulti untuk buat persediaan kelas PLK pada petangnya. Dalam pukul 2,00 petang saya pulang ke rumah, masak untuk berbuka puasa. Menu simple, mee goreng, kari kepala ikan dan sayur. Buat kuih keria sikit. Saya bawak bekal ke kelas.


Dalam kelas PLK, saya dan pelajar2 saya berbuka bersama. Seronok berbuka dalam kelas. Lepas tu, kami bersolat ikut giliran dan meneruskan kelas hingga pukul 9.15 malam Sampai di rumah, dah pukul 9.30. Anak2 belum tidur. Suami dan adik iparnya (yang tinggal bersama kami) dah bersolat terawih. Saya melayan anak2 menonton TV. Entah kenapa, mata tak mengantuk walaupun badan terasa letih. Saya menonton TV hingga pukul 12.30 malam. Paksa mata untuk lelap memandangkan pagi esok saya kena bangun untuk sediakan hidangan sahur.


Semoga Allah beri saya kekuatan di bulan Ramadhan ini dengan keadaan saya yang begini.

Sunday 15 August 2010

SEBUAH KESEPIAN

Hari Jumaat lepas, Awie, anak saudara suami berkunjung ke rumah. Naik bas, dari Pontian. Sampai rumah dalam pukul 6 petang (suami ambik di Bukit Jalil, terus ke Bazaar Ramadhan). Petang tu, juadah berbuka saya adalah laksa johor, ketupat, kari ayam, sambal goreng serta puding koktel. Seronok bila ada orang berkunjung ke rumah. Mengikut jadual, sebelum sahur, adik ipar dan anaknya serta sorang lagi anak saudara suami, Amy akan sampai.


Tepat jam 3.45 pagi, adik ipar serta anak2 saudara sampai. Saya terus ke dapur mengemaskan tempat makan. Lepas bersahur, kami beramai2 ke Masjid Negeri Shah Alam untuk bersolat Subuh. Seronoknya...Teringat kat Ayong dan Kak Ngah yang tiada di sisi.


Hari Sabtu (14/8) birthday Ayong. Dalam kesibukan memasak juadah berbuka, saya hampir terlupa untuk menelefon Ayong (dia ada di rumah Atuknya) untk mengucapkan Selamat Hari Lahir. Padahal, subuh tadi sebelum bergerak ke masjid, saya ada menelefonnya bertanyakan khabar. Petang baru saya berkesempatan mengucapkan Selamat Hari Lahir. Saya doakan dia sentiasa sihat, dilindungi Allah, berjaya dalam hidupnya dan pelajarannya. Sempena hari lahirnya, saya mendoakan agar segala impian dan cita2nya akan menjadi kenyataan.


Petang tadi, (ahad) kami menghantar adik ipar serta anak2 saudara menaiki bas di Bukit Jalil. Mereka akan pulang semula ke Pontian. Sampai rumah dalam pukul 3.45 petang, rasa sunyi sangat. Dua hari saya rasa keriuhan rumah ini, tiba2 hari ini rasa sunyi....Teringat kat anak2 yang jauh di mata. Alangkah sepinya hidup ini tanpa anak2...Hari ini saya masak simple aje..nasi lemak! Hmmm..sedapnya...Tak sangka mendapat sambutan hangat!

Wednesday 11 August 2010

RAMADHAN PERTAMA

Hari pertama bersahur, taklah sesuatu yang sukar kali ini. Saya bangun pukul 4.05 pagi. Mata tak mengantuk. Terus ke dapur. Tengok bibik dah menghangatkan lauk pauk. Saya pulak menyiapkan carrot dan cauliflower untuk di buat sup. Makan sup waktu sahur begini mungkin boleh menambah selera. Pukul 5.15 kami dah selesai bersahur, terus naik ke atas. Aiman tak tidur. Menonton TV sekejap, bersiap mandi dan solat dan seterusnya bersedia menunggu van Auntie Tan untuk ke sekolah. Saya pula terus bersiap ke ofis, ada kelas pukul 8.30 pagi.

Saya balik awal, pukul 2.30 petang. Hari pertama berpuasa ni, menu saya tak banyak. Sejak usia meningkat, tambahan lagi dengan keadaan saya yang asyik mual aje ni, minat saya untuk mengunjungi bazaar ramadhan juga berkurang. Masakan seperti hari2 biasa cuma tambah bubur lambuk tulang. Hmm...sedapnya.

Anak2 yang berpuasa cuma Aiman seorang. Ika cuba berpuasa, tapi akhirnya ke kantin juga ikut kawan2. Aiman pun tak banyak meminta itu dan ini puasa kali ini.

InsyaAllah, kalau ada kesempatan, saya akan sediakan menu yang special sikit untuk esok hari.

SEMOGA PUASA KALI INI DIRAHMATI ALLAH...

Thursday 5 August 2010

BABY KECIK SURATKHABAR

Subuh tadi, sebelum mandi saya buat "pregnancy test" sendiri. Hasilnya.."positif"! Patutlah sejak beberapa hari ni saya terasa mual2 dan pening kepala, badan pun terasa amat letih sekali. Tapi saya dah agak dari minggu lepas yang saya mengandung cuma tak pasti. Mengandung di usia 41 tahun ini, memang agak meletihkan. Tapi saya pasti, ada rahmat dan hikmah yang Allah berikan untuk saya dan keluarga dengan kurniaan ini. Anak adalah rezeki. Saya mempunyai anak seramai 5 orang dan nak masuk 6 (InsyaAllah), tapi setakat ini Allah sentiasa melimpahkan rezekiNya dan saya yakin dengan ketentuan Allah ini.

Satu hari, saya dan baby sedang lihat akhbar tentang kes pembuangan bayi. Ada 4 orang bayi kecil semuanya yang comel2, ditinggalkan di merata-rata tempat bagaikan sampah.

Saya bagitahu baby, "Boleh mama ambik baby suratkhabar ni?"

Baby kata, "Baby nak cucuk mata dia..nanti baby nak gigit hidung dia.."

Saya bagitahu baby lagi,"Jangan..kesian dia. Boleh tak baby suratkhabar tidur dengan mama?"

"Tak boleh! Biar dia tido dengan hantu!" Itulah baby.

Saya kata, "dalam perut mama ni, ada baby suratkhabar. Boleh mama letak baby suratkhabar dalam perut mama?"

"Tak boleh! Dalam ni, ada baby cacing.." sambil dia tunjuk perut saya.

Apa2 pun saya tetap sayang baby. Cuma sejak perbualan kami tu, dia selalu mengeluarkan kata2 "Mama tak suka baby kecik ni lagi, eh..mama suka baby suratkhabar?" Setiap kali kata2 itu diluahkan, saya akan kata.."Mama sayang baby, baby kan baby mama. Mama pun sayang dengan baby suratkhabar juga. Nanti baby tidur dengan baby suratkhabar,eh.." Baru dia ok. Sejak tu, dia sayang baby suratkhabar!

Saya pun tak sabar nak menanti kelahiran baby ke 6. Semoga baby ini sentiasa sihat dalam kandungan saya, dirahmati Allah dan diberkati Allah.

Tuesday 3 August 2010

TAK SIHAT

Sudah 2 hari berturut2 saya sibuk terlibat dengan proses "vetting". Hari ni, saya menghabiskan membuat semakan pada kertas final exam pukul 5 petang. Esok pagi saya akan sambung balik untuk tugas2 mem"print". Tak balik ke rumah sebab pukul 6 hingga 9 malam ada kelas PLK pulak. Saya ke ofis, melihat kerja2 yang masih terbengkalai. Pukul 6 petang, saya ke Fakulti Sains Gunaan. Kelas PLK di sana.


Malam ni habiskan kelas 30 minit awal. Saya terpaksa dengan keadaan saya yang benar2 tak sihat. Suara makin tak kedengaran. Tekak semakin sakit, dengan batuk dan selsema yang tiada henti. Ramai juga pelajar yang menampakkan tanda2 tak sihat. Kami pulang awal dengan janji untuk membuat 4 kali kelas ganti pada hari Sabtu sepanjang Ramadhan nanti. Pelajar2 nampak bersungguh2 dan memberi komitmen yang tinggi walaupun ramai yang dah berkeluarga tapi masih lagi menunjukkan minat untuk belajar. Semoga mereka terus berjaya. Dalam keadaan yang tak sihat, saya bangga mempunyai pelajar yang begini.

Sunday 1 August 2010

BERSEMANGAT SEMULA

Dah lama saya tak update blog. Sejak Ika batuk, saya tak ada mood nak layan blog dan facebook. Mood hilang dengan hilangnya keceriaan Ika. Masa cuti sekolah yang lepas, saya, suami dan anak2 ke Sabah. Bawa mereka ke tempat di mana kami pernah tinggal. Fitri seronok dapat pulang ke rumah yang pernah kami diami. Dia berkata pada saya, "Mama, along ingat lagi kat dalam rumah tu macam mana..Best kan mama duduk kat sini dulu." Kegembiraan bercuti agak terhad kerana masa tu Ika sedang batuk teruk. Nasib baik Roslida (teman saya di sana) sempat bawa kami mengubati Ika di rumah seorang Ustaz.


Ika baru sembuh dari batuk selepas 2 bulan batuk tanpa henti. 2 kali ke pakar di DEMC. Pertemuan kali kedua mengurangkan batuk Ika. Berkat doa kami yang tiada henti mohon pada Allah S.W.T.

Kini semangat saya untuk menulis di blog sudah mulai ada walaupun tidaklah begitu beriya-iya. Banyak kekangan yang membuatkan saya hilang mood untuk melayari blog, apalagi menulis. Hari ini Ahad, saya ada kelas e-PJJ dari pukul 8.30 pagi hingga 6.15 petang. Ada 3 kelas. Kelas pertama dari pukul 8.30 pagi hingga 10.30. Lepas kelas, saya terus pulang ke rumah, masakkan untuk anak2. Pukul 1.45 petang saya balik semula ke InTEC, kelas dari pukul 2.00 hingga 6.15 petang.

Kelas yang menyeronokkan. Suka tengok pelajar2 yang menunjukkan minat terhadap subjek tersebut. Walaupun mereka dah berumur, sudah ada pengalaman kerja, tapi sangat aktif dalam perbincangan. Participation yang tinggi. Sentiasa memberikan respon kepada setiap soalan saya. Kelas yang sepatutnya habis pukul 6.15, berlarutan 10 minit kemudiannya. Biasalah dengan keadaan jem di INTEC tu. Saya sampai rumah dalam pukul 6.45 petang.

Macam biasa, tugas di rumah, tetap diteruskan... Itulah wanita. Di rumah, kita adalah isteri dan ibu. Di tempat kerja, kita adalah pekerja. Bila di rumah, hilang dah make-up, baju dan tudung cantik. Yang tinggal, cuma kaftan (nak bagi standard sikit, kaftan batik lukis! hehehe..)

Apa2 pun itulah nikmat Allah.

Thursday 3 June 2010

KASIH ANAK

Sejak seminggu lepas Ika batuk. Dari matanya yang layu saya nampak yang dia memang tak sihat. Saya sedih bila melihat dia batuk, mengokol-ngokol hingga keluar airmata Ika. Saya dah bawa dia ke klinik berdekatan, beri ubat dan hari selasa lepas, saya cuti kecemasan bawa Ika ke DEMC untuk rawatan. Ika nampak cergas, bermain tanpa henti, tersenyum riang, tapi bila dia batuk, hilang segala keceriaan wajahnya. Saya risau, teringat waktu dia sakit masa di Segamat dulu. Satu2 nya perkara yang tak akan saya lupakan sampai akhir hayat saya. Ketika itu, bacaan yassin, solat hajat tak lekang dari saya. Sekarang ni, dengan keadaan saya yang tak boleh bersolat, saya tetap mendoakan Ika.


Semalam petang seorang teman rapat dari Johor datang ke rumah. Saya minta tolong dia tengokkan Ika, dengan pertolongan Allah jua. Alhamdulillah, dengan izin Allah, dengan rahmat Allah, Ika nampak sihat sedikit. Semalaman dia tak batuk, tidak seperti selalu hingga dia tak dapat tidur. Malam tadi, dia tidur lena di sisi saya. Cuma subuh tadi, dia ada batuk sikit. Saya rasa syukur pada Allah, mendengar permohonan saya.


Pagi tadi, sebelum bergerak ke ofis, saya belek2 beg Ika. saya terjumpa satu sampul surat berbunga yang tertulis: Untuk mama tersayang. Mama, adik sayang mama. I love you, mama. Daripada Adik. Sebak dan terharu saya baca tulisan Ika. Saya tahu dia anak yang paling menyayangi saya. Buktinya? Saya pernah mengalami sakit kepala yang amat sangat hinggakan saya tak boleh buka mata. Saya hanya terbaring, malah tak boleh bergerak langsung. Waktu itu, anak2 ada di rumah. Cuma Ika saja yang menjerit, menangis, memanggil saya kerana disangkanya saya sudah mati. Ika menolak2 badan saya untuk bangun, menangis tapi, saya memang betul2 lemah dan kepala saya memang betul2 sakit rasa nak pecah! Anak2 lain? Tengok saya, pujuk Ika dan saya dengar mereka kata, "jangan usik mama, mama sakit. biar mama rehat.." Waktu itu, saya tahu Ika sangat sayangkan saya.


Saya harus balas kasih sayang Ika. Saya nak balik tengok dia, beri dia makan ubat...dan tengok dia pergi sekolah. Saya tak harus sia2 kan kasih sayang anak. Anak adalah amanah Allah, dan saya harus jaga amanah itu.

Wednesday 2 June 2010

DIARI KEHIDUPAN

Diam tak diam dah lebih 2 minggu saya tak update blog. Bukannya sibuk dengan kelas atau marking papers tapi..mungkin sekarang ni saya sibuk dengan anak2. Sepanjang semester saya sibuk dengan pelajar2, kelas, kerja2 hakiki yang perlu diselesaikan dan macam2 lagi. Kini, tiba waktu yang saya mempunyai ruang untuk melihat anak2 ke sekolah, bertanya homework, duduk bercerita dan memeluk mereka dengan penuh kasih sayang. Kalau dulu (waktu ada kuliah), saya harus pergi 6.30 pagi, anak2 belum bangun tidur, cuma Aiman yang kala itu tengah sibuk mandi . Balik dari ofis pukul 6.30 petang dan kalau hari Isnin pukul 10 malam (anak2 dan suami pun dah tertidur). Kalau kelas di fakulti, saya akan bergerak pukul 7.15 pagi untuk mengelakkan kesesakan di dalam kampus. Itulah rutin saya sejak Januari hingga penghujung April. Bulan Mei pula sibuk dengan marking exam papers.


Sekarang ni, walaupun saya tetap ada kerja yang perlu dibereskan, sekurang2nya, saya tak perlu keluar rumah pukul 6.30 pagi. Saya masih boleh keluar rumah pukul 8.30 pagi atau paling lewat pun pukul 9 (selepas siap masak untuk lunch anak2). Sebelum pukul 12.15 saya akan pulang sekejap untuk lihat Ika ke sekolah dan pergi semula ke ofis pukul 2 petang. Pukul 5 petang, pulang ke rumah dan bermain pula dengan aiman dan baby. Saya bahagia dikelilingi anak2 tersayang. Setiap pukul 6 petang pula saya akan tunggu Ika balik sekolah. Kalau dulu, tunggu menunggu ni semua kerja bibik, tapi sekarang saya ambilalih tugas itu secara sukarela. Bulan Julai nanti, bila kuliah dah bermula, saya dah tak boleh lagi melakukan tugas2 ini.


Inilah kehidupan saya...diari saya untuk sebulan ini. Semoga masa yang saya ada ini, sentiasa dirahmati Allah.


Monday 17 May 2010

17 MEI

Saya dah mula bekerja setelah MC sejak Rabu lepas. Alhamdulillah..segala urusan peperiksaan telah selesai. Hari ini, masuk ofis dan mengemaskini "teaching file" untuk di semak oleh Koordinator minggu depan.

Pukul 8 pagi tadi, suami dah berangkat ke airport untuk ke Singapura, menghadiri satu persidangan (hingga Khamis). Miss lah pulak! Petang tadi, bawak anak2, mak abah dan bibik (baru) pergi makan KFC di Plaza Masalam. Malam ni, tak ada apa nak buat. Biasalah saya ni..setiap kali husband outstation, mesti hilang mood. Chat dengan husband dalam fb. Ika pun turut serta. Pandai dia ber'chatting' dengan abahnya.

Semoga tidur saya malam ini diulit mimpi indah...rindunya pada suami nun jauh di seberang selat Tebrau!!!

Friday 14 May 2010

LASER OPERATION

12 Mei yang lepas, saya telah selamat menjalani 'laser operation di Selangor Medical Centre. Dihantar dari DEMC selepas maghrib, dan pembedahan selesai dalam pukul 11.30 malam (mengambil masa 3 jam setengah), terus dihantar semula ke DEMC untuk berehat di wad. Sebaik keluar dari ambulance di DEMC, dari atas 'stretcher', dalam keadaan yang sangat lemah, saya nampak suami, anak2 dan mak abah yang setia menunggu. Terus dihantar ke wad, rupa2nya, keluarga saya terus bergegas menunggu saya di bilik. Keadaan yang lemah, masih dalam keadaan separuh sedar, saya tak dapat nak berkata apa2. Kehadiran doktor yang menjanjikan saya boleh keluar keesokkannya, membuatkan saya rasa saya boleh tidur lena lepas ni.

Pembedahan 3 jam setengah walaupun dalam keadaan sedar, tanpa bius (hanya ubat pelali untuk mengantuk -walaupun tak dapat tidur!), sebenarnya sakit. Walaupun tiada belahan, tiada cucuk sana sini, hanya baring atas mesin yang diliputi jel, sakitnya amat terasa. Benar2 sakit! Rasa nak termuntah pun ada, rasa nak menjerit minta berhentikan mesin pun ada..! Tapi saya tawakkal, berkali2 saya beritahu fikiran saya bahawa saya kena kuat, saya kena sihat!

Jumaat petang, Fareha pulang ke Shah Alam bersama 2 orang kawan2nya. Kehadiran anak2 membuatkan hilang rasa sakit yang masih terasa sikit2 di pinggang sebelah kiri. Apa2 pun, saya bersyukur kerana saya sudah semakin pulih dan sihat.

Wednesday 12 May 2010

PEMBANTU RUMAH

Hari ini bibik tak ada. Dia dah balik semalam. Di ambil oleh agennya, kerana ibunya sakit tenat. Dia balik dan terus berhenti. Belum sampai setahun lagi. Mungkin itu yang terbaik untuk kami. Siang malam saya berdoa minta Allah beri petunjuk dan jawapan yang terbaik. Mungkin ini jawapannya. Saya redha. Anak2 pun redha. Tiada siapa yang rasa sangat2 terkilan dengan kepulangan bibik, Apa2 pun saya mengucapkan terima kasih kepada bibik yang telah menjaga anak2 saya selama 10 bulan ini.

Petang ni pula saya akan menjalani 'laser operation' di DEMC. Sekali lagi, saya terharu dengan pengorbanan emak dan abah yang sanggup datang dari Labis (naik bas) semata2 untuk menjaga anak2 saya dan membantu menguruskan rumah sementara ketiadaan bibik.

Pagi ni, saya betul2 macam suri rumah sepenuh masa. Hehehe...pagi2 sediakan nasi goreng (bibik pun tak buat sarapan! kadang2 aje!). Sediakan air epal ais (tanpa gula) untuk suami, air minuman untuk bekalan ke ofis. Fuh! Betul2 surirumah tangga! Bukan tak biasa sediakan saarapan sebegini, tapi selalunya taklah teratur dan tersusun macam ni. Everything looks so nice..organized..and perfect!

Ok. Saya nak bersiap untuk ke DEMC pulak. Pakaian untuk tidur di wad belum disiapkan lagi. Semoga 'pembedahan' saya kali ini berjaya mengeluarkan batu2 karang yang ada.


Sunday 9 May 2010

MOTHER'S DAY

Hari ini awal pagi kami dah bangun. Kalau ikut jadual, kami akan menghantar Ika dan Aiman untuk acara sukan di Kompleks Sukan Negara Panasonic, Seksyen 21 sebelum 7.30 pagi. Jadual tersebut terbatal bila Ika lambat bangun. Selepas solat subuh, suami dengan internetnya, dan saya pula membaca akhbar semalam yang belum sempat dibaca, Ika dan Aiman masuk sambil mengucapkan "HAPPY MOTHER'S DAY, MAMA..!" Terharunya saya menerima pemberian anak2. Walaupun hanya sekuntum bunga tetapi 3 keping kad dari 3 orang anak (termasuk baby, yang ditulis oleh Ika) membuatkan saya menitiskan airmata.

Di sini saya tuliskan ucapan2 yang ditulis oleh 3 orang anak2 saya.

Dari Aiman:

" Kepada Mama yang tercinta (ada simbol 'love'). Mama, terima kasih sebab menjaga abang uda sampai besar. Mama, mamalah ratu hatiku. I love you so much. (simbol 'love')"

Dari Ika:

"Daripada Ika untuk Mama tersayang. Adik sayang mama. I love you mama. Selamat Hari Ibu mama. Mama, maaflah sebab adik tak dapat masuk kelas Baiduri, tak buat mama gembira. I love you so much."

Dari Baby, Ika dan Aiman:

" Kepada mama tercinta dan tersayang. Mama...terima kasih sebab jaga kitorang sampai besar. Mamalah ratu hatiku..."

"Tiada apa yang dapat mama ucapkan...I love you sayang....."

Thursday 6 May 2010

ADAMAYA

Satu drama baru di televisyen yang menjadi minat saya sejak akhir2 ini. Sedih, terharu, suka, semua perasaan ada sewaktu menonton drama ini. Kisah kejujuran dan kesetiaan seorang suami dan ketidak setiaan seorang isteri. Kisah cinta suami orang dengan isteri orang! Gila!! Kadang2 tak terfikir oleh saya, seorang wanita sanggup melukai hati wanita lain hanya kerana nafsu dan perasaan.

Itulah kisah AdaMaya...kisah kehidupan manusia yang mementingkan perasaan diri sendiri. Untuk mengetahui kisah selanjutnya...tontonlah TV3, setiap Isnin hingga Khamis, jam 6.30-7.30 petang.



Wednesday 5 May 2010

MUSIM PEPERIKSAAN

Sudah lama saya tinggalkan blog dan facebook. Semenjak menumpukan perhatian pada kesihatan saya, keluarga, tugas2 saya sebagai pensyarah, kesempatan untuk saya menulis blog dan melayari facebook hilang terus. Lebih2 lagi bila peperiksaan sudah bermula. 5 kali 'invigilation', menyudahkan pemeriksaan kertas2 jawapan akhir pelajar dan rawscore yang belum sempat lagi siap menyebabkan masa saya untuk 'bersantai' sangat terhad.

Hujung minggu pula saya akan luangkan masa untuk keluarga, suami dan anak2. Bangun semula pukul 2 atau 3 pagi untuk menyambung 'marking'. Hari ini saya ada sedikit masa untuk 'update' blog. Ada 1 lagi 'bundle' yang perlu saya semak. Harap2 siap esok. Kena siap esok sebab dateline 'due' hari ni.

Dalam kesibukan peperiksaan, ada banyak perkara yang berlaku, ada berita gembira yang saya terima. Saya harus bersyukur pada Allah yang kurniakan saya segala2nya. Saya beritahu suami, "Abang, tadi tergerak nak SMS abang, thank you for being my husband. " Dan saya pun terus bercerita kenapa saya rasa macam tu....Semoga Allah terus memberikan saya dan keluarga dengan rahmat dan nikmatNya.

Sunday 18 April 2010

NILAI SEORANG WANITA

Nilai seorang wanita amat tinggi. Dalam Islam sendiri, martabat seorang wanita sangat disanjung. Ada beberapa hadis yang menunjukkan tingginya nilai seorang wanita:

1. Syurga itu di bawah telapak kaki ibu.

2. Doa wanita itu lebih makbul daripada lelaki kerana sifat penyayang yang lebih kuat daripada lelaki. Ketika ditanya kepada Rasulullah SAW akan hal tersebut, jawab baginda , " Ibu lebih penyayang daripada bapa dan doa orang yang penyayang tidak akan sia-sia."

3. Apabila memanggil akan dirimu dua orang ibu bapamu, maka jawablah panggilan ibumu terlebih dahulu.

4. Perempuan apabila sembahyang lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, memelihara kehormatannya serta kepada suaminya, masuklah dia dari pintu syurga mana sahaja yang dikehendaki.

5. "Tidak perlu lagi seorang mukmin setelah ianya bertakwa kepada ALLAH akan sebaik - baik keperluan baginya selain dari isteri yang solehah. Jika ia menyuruh isteri mentaatinya. Dan jika dia melihat kepada isterinya, isterinya menyukakan hatinya. Dan jika dia menyumpah memarahi isterinya, isterinya tetap juga berbuat baik kepada suaminya. Dan jika suaminya tiada dirumah dia menyimpan rahsia dan harta suaminya"-Ibnu-majah.

6. "Janganlah kamu mengahwini wanita kerana paras rupa yang cantik, mungkin paras rupa itu membawa kehancuran, jangan kamu kahwini wanita kerana hartanya kerana berkemungkinan harta itu membawa kepada kezaliman. Tetapi kahwinlah wanita kerana agamanya, seorang wanita hamba yang hitam yang menghayati agama sesungguhnya lebih baik" -Ibnu - Majah.
7. "Sesungguhnya sopan santun dan keimanan adalah saling berkaitan, jika salah satunya dikeluarkan, yang satu lagi juga akan hilang serentak." (Hadis Riwayat Baihaqi)

(Ada banyak lagi hadis yang telah diriwayatkan untuk menyatakan tingginya nilai wanita solehah).

Dalam zaman yang serba moden, hidup merupakan satu perlumbaan untuk mencapai kegemilangan, kemewahan, kejayaan dan kesenangan. Penuh dengan material semata2- nilai2 peribadi mulia nun jauh tertinggal. Tiada segan silu dan batasan saudara, tiada segan silu ipar duai, tiada batasan dalam persahabatan, apatah lagi dengan orang lain yang tak dikenali.

Saya menulis kerana terpanggil dengan satu perbualan seorang kawan (perempuan)-katanya kawan2nya masa 'study' dulu, bila tension, frust dengan boyfriend atau stress dengan assignment yang banyak, rokoklah menjadi sahabat. Bukan sebatang, tapi sanggup menghabiskan berkotak2!

Puteri saya, Ika pernah berbisik kepada saya waktu kami makan di Pelita suatu masa dulu. Kata Ika, " Mama, sshh..tengok orang perempuan tu..hisap rokok..sshhhh...". Saya diam. Apa jawapan yang harus saya berikan pada anak sekecil ini? Inikah harga yang harus saya bayar untuk satu pengalaman buat si kecil?



Thursday 15 April 2010

PEMBEDAHAN

Hari Selasa lepas, saya menjalani satu pembedahan memasukkan tiub dalam saluran kencing di buah pinggang saya. Betul kata orang, sakit ni "datang ibarat ribut, hilang ibarat semut."

Petang Sabtu yang lalu, sedang berehat dengan suami dan anak2 sambil menonton televisyen, tiba2 saya rasa pinggang saya sengal. Mula2 sikit aje, lama-kelamaan sakit semakin kuat. Puas saya sapu minyak angin dan suami tolong urutkan pinggang, rasa sakit masih tak kurang. 5 kali saya rasa sakit "contraction" tapi rasanya..kali ni lebih sakit! Lepas solat maghrib, suami bawa ke DEMC untuk rawatan. Doktor 'suspect' dari analisis air kencing, saya ada batu karang. Suntikan tahan sakit diberikan. Saya dibiarkan rehat di DEMC dalam 30-45 minit. kesian suami dan anak2 yang menunggu di luar. Bila saya sedar, kami pulang ke rumah dengan harapan semuanya akan pulih.

Ahad , 11 April.
Saya boleh bangun seperti biasa. Masakkan untuk keluarga, pergi ke pasar, sediakan minuman petang- special 'jemput-jemput udang +ikan bilis'. Hmmm...sedap tengok suami dan anak2 makan.

Isnin, 12 April.
Saya dah bersiap untuk ke Alamanda pagi ni. Saya tak boleh lewat dari 6.30 pagi. Tiba2 perut dan pinggang saya sakit semula. Memapah ke tepi katil, maklumkan pada suami yang baru lepas solat tentang keadaan saya yang sakit. Suami tak benarkan saya ke ofis. Saya dah menangis2, tak tahan rasa sakit yang amat sangat. Seingat saya, masa nak bersalin dulu, saya taklah sesakit ini. Suami terus menghubungi kawan2nya yang ada pengalaman tentang batu karang. Dalam kesakitan ini, saya teringat.."inikah saat2 akhir saya? Ya Allah..saya memang betul2 tak tahan!"

Pukul 8.45, saya beritahu suami, bawa saya ke DEMC, biarlah saya kena bedah ke..saya dah tak tahan sangat. Pukul 9, sebaik tiba di DEMC, suami maklumkan keadaan saya di kaunter dan terus diberikan rawatan segera. Saya disuntik dengan ubat tahan sakit dan rehat hampir 3 jam sebelum di bawa ke wad. Petangnya, saya di bawa untuk X-Ray dan pemeriksaan Ultrasound. Memang sah terdapat batu karang di buah pinggang saya, bukan satu tapi 5 biji! 2 di sebelah kanan dan 3 di sebelah kiri. Yang menyebabkan sakit ialah kerana ada 1 batu yang menghalang saluran air kencing hingga menyebabkan air kencing terkumpul di buah pinggang hingga menimbulkan jangkitan kuman!

Selasa, 13 April.
Doktor memaklumkan prosedur yang akan dijalankan ke atas saya dengan menunjukkan segala X-Ray dan keputusan Ultrasound. Pukul 12.15, saya di bawa ke bahagian pembedahan untuk disiapkan sebelum masuk ke dewan pembedahan. Pukul 12.45, suami datang menemani saya di bilik persiapan. Dalam pukul 1.30, doktor bius datang untuk pemilihan kaedah bius, diikuti 10 minit kemudiannya, jururawat datang untuk membawa saya ke dewan pembedahan. Perasaan saya...? Hmm..takut juga..tapi sebab pernah melalui pembedahan sebelum ini, dan dah bersalin 5 kali..kurang sikitlah rasa takut. Dalam keadaan sakit begini, saya lebih rela dibedah dari merasa sakit..

Saya pun tak sedar pukul berapa semuanya selesai. Hampir pukul 6 petang baru saya di bawa semula ke wad. Ada beberapa bungkusan buah2an dari kawan2 yang datang melawat. Sebelah petang dan malam, rutin biasa suami dan anak2, datang melawat saya. Terhibur melihat mereka yang saya rindui. Tak sabar nak balik rumah...! Ya Allah..jika ini semua adalah balasan ke atas dosa2 saya, saya redha..Sembuhkanlah saya untuk suami dan anak2 saya. Itu aje yang ada dalam fikiran saya sekarang.

Terima kasih untuk kawan2 yang rajin datang melawat saya, Zarina, Azlina, Maziah, Nana, Jamie dan Sherry..juga kawan2 yang sentiasa call saya, Anoi (UiTM Johor) dan pelajar2 saya yang sentiasa menanyakan khabar saya. Doakan saya cepat sihat di samping keluarga yang saya sayangi....(2 minggu lagi, saya akan jalani satu lagi pembedahan untuk keluarkan tiub dan laser operation untuk hancurkan batu).


Tuesday 6 April 2010

TIDAK PASTI

Semalam hari ulangtahun saya yang ke 41 tahun. Hari yang ceria bertukar menjadi sedih kerana sesuatu yang tidak pasti. Tak perlu saya katakan di sini apa sebabnya. Harap2 ia tidak menjadi seperti yang difikirkan. Saya harus berserah kepada Allah dan saya percaya Allah akan sentiasa menolong hambaNya.

Hidup dalam ketidakpastian ini memang menyakitkan! Saya penat memikirkannya hingga mood saya sejak semalam hilang entah ke mana. Semoga Allah sentiasa memberikan yang terbaik untuk saya....Amin.

Monday 5 April 2010

41 TAHUN

Hari ni birthday saya yang ke 41 tahun. Orang kata, life begins @ 40. Iya ke..? Apa2 pun, saya rasa birthday tahun ni very special. Suami buat kejutan, sambut birthday saya di Sahara Tent semalam. Siap ada lagu Happy Birthday lagi berkumandang di seluruh restoran tu. Sebaik aje habis lagu, baby pulak sambung nyanyi..disambut tepukan pelanggan2 di situ.

Usia yang semakin bertambah ini menunjukkan masa yang terlalu hampir untuk kita pergi meninggalkan dunia ini yang penuh dengan keindahan dan kenikmatan. Saya memohon agar Allah merahmati hidup kami, menjadikan saya seorang yang tabah dan kuat, serta dipenuhi dengan kasih dan sayang.

Untuk suami dan anak2 tersayang...Mama love you....You all are so special to me...!

Friday 26 March 2010

SELAMAT HARI ULANGTAHUN

"Selamat Harijadi..Selamat Harijadi..Selamat Harijadi Abah...Selamat Harijadi..yeh..." Lagu harijadi biasa yang dinyanyikan oleh anak2 saya (Aiman, Ika dan baby, termasuk saya) waktu suami buka pintu bilik malam tadi. Hari ni (26 Mac) ulangtahun kelahiran suami yang ke.....juga ulangtahun perkahwinan kami yang ke-17.



Semoga Allah sentiasa melimpahkan rahmatNya ke atas kami, keluarga kami. Semoga hidup kami diberkati dunia dan akhirat....Amin.

Tuesday 23 March 2010

MASA

Hari Isnin semalam, saya bagaikan dikejar masa yang tak pernah berhenti berlari. Pukul 6.30 pagi, kereta yang saya pandu sudah meluncur laju di Lebuhraya Persekutuan untuk menuju ke Kolej Alamanda yang terletak di Jalan Klang Lama. Terpaksa bertolak selewat2nya pukul 6.30 pagi untuk mengelak kesesakan. Rutin biasa hidup saya sejak berpindah ke sini. Hari Isnin hari paling sibuk sebab kelas 6 jam di Alamanda.

Saya habiskan kelas 10 minit awal (pukul 5.50 petang, tapi mulakan kelas 10 minit awal, pukul 4 petang), bergegas ke fakulti kerana ada kelas PLK yang akan bermula pukul 6.30 petang. Hujan lebat menyebabkan jalanraya tidak begitu lancar. Ini adalah kelas PLK saya yang pertama (kerana menggantikan pensyarah lain) setelah bertahun2 tidak mengajar PLK. Alhamdulillah, dalam kesesakan dan hujan lebat, saya sampai juga di fakulti dalam pukul 6.40 petang. Terus ke kelas, namun ada 2 orang pelajar saja di dalam kelas. Hampir kesemuanya datang lambat atas alasan hujan dan 'jem'. Saya faham, memang menjadi suasana biasa di sini, bila hujan, jalan akan 'jem' teruk!

Dalam pukul 6.50 petang saya mulakan kelas. Berakhir jam 9.45 malam. 15 jam saya telah tinggalkan rumah, anak2 dan suami. Bila saya pulang, anak2 dan suami dah tertidur, tanpa makan. Sayu pulak hati saya. Lepas siap mandi dan solat, saya menonton TV bersendirian. Hampir pukul 11.30 malam, Ika dan baby terjaga. "Mama, adik lapar.." kata Ika. "Adik tak makan lagi ke..? Kenapa tak makan tadi?" Tanya saya pada baby dan Ika. "Kitorang tunggu mama..." Fuh..!!!Satu jawapan yang menyentuh hati saya.

Tanpa rasa penat, tanpa rasa mengantuk, saya turun ke dapur, masakkan nasi goreng untuk mereka. Entah kenapa, walau terpaksa bekerja seharian, saya tak rasa letih langsung. Anak2 yang saya tinggalkan bagaikan satu semangat dan kekuatan untuk saya pada hari itu.
Saya tak dapat mengubah masa. Saya tak boleh putarkan masa ke waktu yang lampau. Saya tak boleh melambatkan masa ke satu detik yang saya perlukan. Masa terus berjalan. Tapi dalam setiap detik masa yang terus berlari, saya perlu curi sedikit masa untuk anak2 dan suami yang saya tinggalkan.
Saya berdoa agar saya tidak lalai dengan masa. Semoga Allah beri saya kekuatan untuk menghadapi masa..

Sunday 21 March 2010

BERAKHIRNYA CUTI SEKOLAH...

Kepulangan Fitri dan Fareha ke Labis membuatkan saya rasa kesunyian. Rasa cukup singkat masa yang saya luangkan bersama mereka. Cuti sekolah kali ini, saya bekerja. Pagi dah keluar rumah, petang baru balik. Kalau kelas di Alamanda lagilah..pukul 6.30 pagi dah pergi, hampir pukul 7 petang baru sampai rumah. Balik rumah, masak dan makan, tengok TV terus tertidur. Tak sempat nak bercerita panjang dengan anak2. Tup!Tup! Mereka dah balik pulak semalam. Nasib baik di rumah ada mak mentua dan keluarga adik ipar yang datang bertandang, kurang sikitlah rasa sunyi tu.

Apa2 pun, mereka faham tugas dan tanggungjawab saya. Fitri, misalnya, tak pernah merungut bila saya dan suami tak sempat bawa mereka berjalan. Fitri kata pada saya, "Tak apa..Mama kan kerja. Tapi nanti bila Ayong cuti panjang bulan 6 ni, mama cuti tak..?" Saya kata, "InsyaAllah, bulan 6 nanti mama bawak jalan.". Fareha SMS saya (dari dalam bas), "Mama, tak sabar nak tunggu bulan 6. Cuti sekolah lagi sebulan 2 minggu. Kita jalan2 ke?". Saya balas, "Ok. InsyaAllah. Mama akan pastikan mama cuti!".

"Kita boleh beli apa saja di dunia ini, tapi kita tak boleh beli masa dan kasih sayang!"



Saturday 20 March 2010

KERANA PULUT, SANTAN BINASA..

"Kerana pulut, santan binasa, kerana mulut, badan binasa.." Ungkapan dahulukala yang saya rasa sudah hilang ertinya. Ia sangat berkait dengan perasaan dan nilai kita sebagai manusia, apatah lagi bila hidup ini bersandarkan pada "Hablumminannas". Bagi saya, setiap ungkapan, kata2 dalam bicara perlu ada adab dan nilainya, tidak perlu menyakiti atau melukai walaupun tanpa niat.


Komunikasi berkesan diperlihatkan melalui kata2 yang berkesan. Adakah menengking orang, mengeluarkan kata2 yang menghiris perasaan merupakan satu komunikasi berkesan? Bila marah, semua perkataan keluar..itu perkara biasa bagi sesetengah orang. Kenapa tidak amalkan prinsip 90/10? Umur yang sudah hampir sampai ke penghujung ini, membuatkan saya sedar banyak perkara yang perlu saya belajar. Selama ini, hilang nilai2 itu dalam diri saya yang kerdil ini.

Dulu, bila makan diluar atau di rumah, bila anak tertumpahkan air di atas meja, saya akan berleter, marah "Mama cukup marah bila ada orang tumpahkan air atas meja. Makan tak tahu duduk diam. Lainkali air letak tepi. Jangan ada sesiapa minum air sampai habis makan, faham??!!!" Bila saya fikir balik, kenapa saya mesti marah pada benda2 yang tak sengaja hingga melukai hati anak2, membuatkan mereka makan sambil "menelan" airmata? Apatah lagi yang selalu tumpahkan air ialah Ika (ketika itu dia masih kecil, umur 2-3 tahun). Apa yang dia faham? Biar beratus kali pun saya marah, bila air nak tumpah, ia akan tetap tumpah juga. Sekarang bila air tumpah, saya akan kata, "Ok..tak apa. Mama ambil kain lap. It's ok. Makan ya..Mama tak marah.." Tak ada siapa yang menangis, dan kami boleh ketawa macam biasa..kan seronok?

Ungkapan untuk anak2 sangat perlu dijaga. Sekarang saya sedar apa yang kita ucapkan hari ini pada anak2, akan diikut oleh anak pada suatu hari nanti. Anak2 belajar dari ibu dan ayah. Baik yang kita ucapkan, baiklah kata2nya..buruk yang kita ucapkan, buruklah kata2nya... Bila saya tengok anak2 saya hampir semuanya garang2, suka marah2...saya fikir balik. Saya berkata dalam hati saya, "Inilah dosa saya. Saya telah mendidik mereka seperti ini. Dulu, saya garang dengan mereka, sekarang mereka pula yang garang dengan adik2 mereka. Perlukah saya menyalahkan mereka?" Mereka tak harus dipersalahkan, malah kita yang sepatutnya mencari jalan penyelesaian untuk membawa mereka kembali menjadi seorang yang waras, rasional, yang penuh dengan kesabaran dan kemuliaan. Untuk mendidik anak bukan hanya dengan mulut, tapi hati.

Mulut memang senjata...tapi senjata yang memakan diri....


Friday 19 March 2010

FACEBOOK

Agak lama juga saya tak 'update' blog. Mungkin kesibukan kerja dan keluarga (anak2 cuti sekolah) membuatkan saya kekeringan idea untuk menulis. Atau juga, sekarang ni saya lebih suka melayari "facebook" yang telah menemukan saya dengan ramai kawan2 lama yang mengembalikan ingatan ke masa lalu.

Melayani "facebook" kadang2 membuatkan hati terhibur kerana wujud interaksi dengan kawan2 yang dah berpuluh2 tahun tak berjumpa (kawan masa sekolah rendah pun ada). Hebatnya kawan2 saya...ramai yang dah jadi orang2 besar (kalau tak pun, married to orang2 besar!) Dengan "facebook" lah saya bertemu kembali dengan guru2 yang pernah mengajar saya semasa di MRSM dulu. Mengenangi dan menghargai mereka sesuatu yang amat menyentuh perasaan!

Apa2 pun saya gembira dengan kehidupan sekarang. Dapat mengembalikan persahabatan yang telah lama "terjarak", dapat berjumpa dengan kawan2 lama yang rupa2nya ramai yang ada di sekitar Shah Alam...semuanya kerana "facebook".

Terima kasih pada kawan saya, Zuriati yang membantu saya membuat facebook! Hehehe..

Wednesday 10 March 2010

FATEHA SYAHERA


Dia adalah anak saya yang ke 5 (mungkin yang bongsu..hehehe...). Anak yang comel, yang sangat rapat dengan saya dan saya telah melalui kepayahan untuk melahirkannya. Semasa umurnya hampir 3 tahun (28 Mac ni), dia didapati ada "murmur" (berkaitan dengan jantung berlubang). Masa mula2 dapat tahu kira2 2 bulan yang lepas (15 Jan 2010) dari sebuah klinik panel, saya rasa nak pitam, seram sejuk kaki tangan dan menggeletar seluruh badan. Dia anak yang paling sihat, paling cergas dan paling ceria di kalangan adik-beradiknya. Mana mungkin dia boleh ada sakit macam tu, kata hati saya. Macamana saya nak bagitahu suami tentang hal ini? (Masa tu hanya saya yang bawa Ika, Aiman dan baby ke dalam klinik). Macamana saya nak cakap hal ini depan Fitri dan Fareha yang kebetulan balik bercuti? Dahlah kami semua sedang dalam perjalanan nak keluar makan! Fuh! Saya tahankan hati, tahankan airmata yang hampir gugur. Dengan semangat yang saya ada, akhirnya saya beritahu perkara ini pada suami dan anak2 (dengan nada biasa, tak serius).

Saya tahu suami sedih sebab dia adalah orang yang paling rapat dengan baby. Saya dapat rasakan bagaimana dia menahan kesedihan tersebut dengan tenang. Selang beberapa hari selepas itu, kami dapatkan kepastian dari sebuah panel klinik yang lain. Jawapan yang sama. Kami pergi lagi ke pakar kanak2 untuk dapatkan kepastian-tetap jawapan yang sama diterima. Doktor tersebut membuatkan satu temujanji dengan IJN(Institut Jantung Negara) untuk pemeriksaan terperinci baby.




Walaupun doktor telah memaklumkan bahawa ia mungkin "innocent murmur" (memandangkan baby tidak mempunyai simptom penyakit jantung berlubang), doktor tetap menasihatkan untuk membuat pemeriksaan terperinci. Dengan bantuan seorang kawan (yang merupakan doktor pakar di HKL), kami membuat temujanji untuk memeriksa baby pada 9 Mac yang lepas.

Agak lama juga pemeriksaan "echo" tu. Sepanjang pemeriksaan, hati saya berdegup. Risau dan takut nak mendengar respon dari doktor. Baby pulak ceria, sambil baring semasa membuat "echo" pun masih boleh bercerita dengan doktor pasal pergi hotel, mandi kolam...Dalam setengah jam, pemeriksaan selesai dilakukan. Alangkah leganya kami bila doktor kata, tiada lubang di jantungnya. jantung normal, cuma ada lubang halus (tiny hole) diinjapnya. But the murmur is not resulted by this hole. Fuh! Leganya saya...The doctor considered her as normal. However, if the hole still not close bila dia besar nanti, satu2nya yang dia tak boleh lakukan ialah "scuba-diving".

Alhamdulillah...syukur pada Allah...Allah telah memakbulkan doa kami..Allah telah memberikan nikmat dan rahmatNya kepada kami. Saya rasa bersyukur sangat2 dengan kurniaan Allah. Banyak yang telah kami lalui semasa penghijrahan ini dan Alhamdulillah...Allah telah memudahkan perjalanan hidup kami. Kami doakan agar hidup kami sekeluarga sentiasa dirahmati dan di redhai...






Sunday 7 March 2010

IBU MENTUA

Dia adalah seorang yang sangat memahami saya. Selama hampir 21 tahun saya mengenalinya, membuatkan perasaan kasih dan sayang saya terhadapnya semakin mendalam. Dia adalah orang yang paling saya sayang selepas abah dan emak. Dia adalah emak mentua saya, Puan Hajah Fatimah bte Mastan.

Dia adalah insan yang sangat memahami perasaan saya. Dia sentiasa menenangkan saya di waktu saya sedih, sentiasa memberi saya semangat di waktu saya terluka, sentiasa gembira di waktu saya gembira, memberi saya petunjuk sewaktu saya dalam kebuntuan. Perasaan tidak tentu arah, geram, marah dan entah apa2 lagi sejak 2,3 hari ni membuatkan saya rasa rindu sangat pada beliau.

Kekuatannya menjadi inspirasi saya dalam menghadapi segala dugaan hidup. Saya belajar menjadi seorang yang sabar melalui pengalamannya. Biarlah masa berlalu...kehidupan berubah...dia tetap ibu saya..ibu mentua saya. InsyaAllah, dengan usia yang tersisa ini, saya akan selalu mendoakan kesejahteraan beliau.




Thursday 4 March 2010

BAHAGIA

Bagaimana BAHAGIA ditafsirkan? Setiap orang memberikan definisi pelbagai tentang bahagia. Ada orang yang bahagia bila mendapati apa yang dihajati atau diingini. Ada orang bahagia bila dapat menjatuhkan orang lain, ada orang bahagia bila orang lain tidak bahagia, ada orang bahagia bila orang lain bahagia dan macam2 lagi tafsiran.


Sangat subjektif. Ya. Ia sangat subjektif bergantung kepada niat dihati. Kita bahagia bila melihat orang yang disayang bahagia, itu pengorbanan. Tapi berapa ramaikah yang sanggup melakukan pengorbanan tersebut? Ramai orang bahagia bila mereka bahagia tetapi ada insan lain yang terluka. Atau kadang2 mereka sangat bahagia tanpa sedar ada hati yang terluka. Di manakah kita..??


* ( Ini adalah respon dari satu pembacaan di internet. Bukan ada apa-apa. Jangan salah sangka pulak! hehehe..)

Monday 1 March 2010

BOSAN

I'm not in a good mood today. Rasa macam malas nak bercakap dengan orang. Dalam hidup ni, kadang2 kita baik dengan orang, orang dengki dengan kita. Jadi terlalu baik pun susah, terlalu nakal pun susah. Rasa2nya kita kena jadi orang yang baik tapi kena tahu menjadi nakal (sikit2) dalam situasi tertentu. Hehehe...


Saya rasa dengan umur yang semakin meningkat ini, diam itu lebih baik. Saya tak suka bercakap atau menengking orang, sebab tu saya jarang marah (walau dengan pembantu rumah). Saya akan biar aje dan perbaiki sendiri keadaan. Sebab bila saya marah....jeng..jeng..jeng..saya tak nak cakap akibatnya. Allah saja yang tahu...Hehehe..(Jangan salah sangka, saya tak akan bomohkan orang! ).


Apa2 pun, walau dalam keadaan apa sekalipun, saya tetap percaya pada nikmat Allah.

Sunday 28 February 2010

BALIK KAMPUNG

Dah 2 bulan saya tak balik kampung. Kali terakhir saya balik, waktu ambil keputusan PMR Fitri, pada 24 Disember 2009. Mungkin ada hikmahnya. Hanya ALLAH yang mengetahui. Saya pulang ke kampung sempena Maulidur Rasul ni (Khamis malam). Saya sampai di Labis dalam pukul 12 malam. Fitri dan abah masih belum tidur. Bersembang dengan Fitri tentang sekolah barunya. Alhamdulillah..dia dah mula menerima persekitaran yang baru. Rancak dia bercerita tentang perasaannya terhadap MRSM Muar..ada suka, ada tak suka. Biasalah...jangan biarkan yang tak suka tu mengawal emosi. Buruk padahnya!


Tidur semalam di Labis, lepas solat Jumaat, kami ke kampung suami pula, di Ayer Baloi. Lama tak balik, rindu pulak pada anak2 sedara di sana, lebih2 lagi Asyraf. Petang tadi saya buatkan minum petang istimewa untuk emak mertua - mee bandung dan bubur jagung! Kakak ipar, adik2 ipar dan anak sedara pun ada. Seronok tengok mereka makan! (Perasanlah sedap tu..hehehe..).


Hari ini dalam pukul 9.30 pagi, kami bertolak balik ke Shah Alam. Singgah Labis dulu (tiba dalam pukul 11.15), ambil baju2 Fitri, makan dan bertolak pula ke Muar untuk menghantar Fitri. Fareha pulang ke sekolah bersama atuknya. Tiba di Bakri (singgah Segamat dulu dan minum petang dulu di Muar), lebih kurang pukul 3.30 petang. Hantar Fitri dan hampir pukul 4 kami bertolak terus ke Shah Alam.


Penat memandu, kami berhenti rehat di R&R Ayer Keroh. Suami tidur sekejap dan kami bersolat sebelum meneruskan perjalanan ke Shah Alam. Tiba di rumah jam 7.30 malam. Esok pagi akan kerja semula. Macam biasa hari Isnin, saya akan keluar jam 6.30 pagi kerana ada kelas di kampus Alamanda. Saya berdoa agar Allah merahmati dan memberkati kami. Walaupun kami dah berjauhan dengan orang2 yang kami sayang, saya percaya Allah Maha Mengetahui apa yang ada di sanubari kami. Kadang2 kasih sayang tak boleh dinilai dengan keberadaan kita di sisi. Ia dinilai dengan doa yang diringi dari hati...Berkatilah kami, Ya Allah...



Tuesday 23 February 2010

MENGHARGAI 1

Saya rasa untuk diri kita dihargai, kita harus berupaya menghargai orang lain. Kadang2 saya rasa satu kekeliruan , kekecewaan, bila melihat konsep menghargai ini semakin hilang dalam diri manusia yang bernama pelajar. Saya simpati dengan nasib seorang kawan (pensyarah baru) yang kecewa dengan sikap pelajar yang tidak tahu berbudi bahasa, apatah lagi menghargai seorang pensyarah/pendidik. Pelajar ini begitu berani menghantar SMS " I don't understand anything what you teach. I don't like your teaching method." SMS ini dihantar sehari sebelum ujian 1 berlangsung hanya semata2 kumpulan pelajar ini tidak bersedia untuk menduduki ujian (yang tarikhnya ditetapkan oleh kelas itu sendiri). Gila..!

Mungkin saya agak tegas dalam hal2 begini. Setiap kali kelas, saya akan minta mereka baca Al-Fatihah dan berdoa agar setiap minit kelas ini diberkati. Saya mahu para pelajar tahu menghargai bukan hanya saya (pensyarahnya) tetapi juga dirinya sendiri. Bagaimana mahu menghargai diri sendiri? Belajar dengan ikhlas, jujur agar ilmu yang diperolehi itu diberkati oleh Allah.

Mungkin dulu saya juga pemarah, mudah melenting kalau ada perkara seumpama ini berlaku (nasib baik dulu tidak ada hp yang memudahkan pelajar SMS pensyarah sesuka hati). Tetapi sebagai pendidik, saya rasa menuntut ilmu itu ada adab2 nya sendiri. Yang paling penting ialah menghormati dan menghargai guru. Kalau guru pun kita tidak boleh hormat dan hargai, bagaimana ilmu nak berkat???

Ungkapan saya setiap kali berjumpa guru2 anak saya masa "Open Day" ,"Cikgu, terima kasih kerana mendidik anak saya, Fitri/Fareha/Aiman. Cikgu tolong tengok2kan dia. Kalau dia buat salah, tegurlah dia, marah dia, pukul dia. Saya tak kisah. Saya terima." Saya akan bercakap begini depan anak2 saya dan cikgu masing2. Mereka(anak2 saya) pun apalagi...senyumlah..Bila dalam kereta, masing2 kata,"Ma..kenapa cakap macam tu..? Betulke..?" Saya senyum.."Betullah...sebab tu jangan nakal, jangan buat tak senonoh, belajar betul2, dengar cakap cikgu, faham.?????"

Monday 22 February 2010

UJIAN

Minggu ni minggu untuk "Test 1" bagi pelajar2 kampus Alamanda. Seperti biasa, saya tetap datang pagi, keluar rumah pukul 6.30 pagi (sebab takut jem). Ujian akan bermula jam 9.00 pagi hingga 11.00 pagi. Kurang sikit stress hari ni sebab hanya invigilate saja. First paper hari ni, ECO 162 (Microeconomics). Paper saya. Melihat keadaan pelajar yang kusyuk menjawab soalan, saya harap mereka mendapat keputusan yang baik. Tengahari saya pulang ke fakulti, menyiapkan kerja2 yang sedia ada di sana(prepare untuk subjek di fakulti, marking kuiz untuk kelas bachelor degree di fakulti).

Rabu ni pula saya akan mengadakan ujian 1 untuk pelajar2 bachelor degree di fakulti (subjek Monetary Economics). Harap2 mereka dah bersedia. Semoga mereka terus berjaya.


Sunday 21 February 2010

PERBANDINGAN

Sejak Fitri ke MRSM sudah 3 kali dia menelefon saya, bertanya khabar dan bercerita sedikit tentang keadaannya di sana. Saya rasa teruja setiap kali menerima panggilan telefonnya untuk mengetahui perasaannya di tempat baru. Saya harapkan jawapan yang positif darinya. Setiap kali di akhir perbualan pasti dia akan berkata , " Ma, ayong teringatkan sekolah Seri Kenangan..Kat sini..bla..bla..bla...". Setiap kali itulah saya akan memberitahunya, jangan buat perbandingan. Selagi kita membandingkan antara 2 benda, selagi itu kita tidak akan berasa gembira. Saya kata, mula2 memang rasa macam tu. Nanti lama2 oklah.


Seingat saya, saya pernah menasihatkan dia dulu tentang perbandingan dan ketaksamaan ini. Sebagai manusia, kita memang suka membandingkan antara yang lama dengan yang baru. Tapi, setiap kali kita membandingkan, kita tak akan temui satu kesempurnaan. Setiap satu itu ada kebaikan dan ada kekurangannya.

Bila saya berpindah ke sini, orang bertanya, "mana lagi best? Di sini ke atau di Johor?" Saya kata, "Dua2nya ada keistimewaannya sendiri." Saya percaya, Allah telah memberikan yang terbaik. Mungkin ada hikmah dan rahmat yang Allah berikan dengan penghijrahan ini. Saya pun tak tahu.

Perlukah kita membuat perbandingan? Mungkin bagi sesetengah perkara, ia perlu. Contohnya, waktu berbelanja barang2 keperluan. Kita akan pilih harga yang lebih rendah. Tapi tak semestinya pula harga lebih rendah itu baik, mungkin dah hampir tarikh luputnya atau kos pengeluaran yang ditanggung oleh peniaga itu kecil atau juga mungkin persaingan yang tinggi.

Bagi saya, dalam hidup jangan suka membuat perbandingan. Yang pentingnya, kita menerima sesuatu itu dengan ikhlas. Lebih2 lagi kalau sesuatu itu tidak melibatkan "opportunity cost". Saya pesan pada Fitri, "tugas Ayong adalah belajar. Jangan fikir yang lain. Ikut rentak sekeliling. Ikut amalan yang baik, dan jauhi amalan yang tidak baik. Senang aje, kan? Objektif kita ialah Al-Falah. Buat kerja yang disuruh, dan tinggalkan yang ditegah. Setiap arahan dan peraturan (yang rasa baru) tu ada alasannya tersendiri. " "Oklah, Ma..nanti bila kita jumpa Ayong cerita kat mama..". Itulah selalu ucapan akhir Fitri.

Saya harap dia menjadi orang yang matang dan waras. Semoga dia tahu tujuan hidupnya.


Saturday 20 February 2010

MASA DAN RINDU

Hari ni Fareha balik ke Labis, bersama atuk dan neneknya. Saya menghantar mereka di stesyen bas, seksyen 17. Walaupun biasa berpisah, airmata yang saya tahan gugur juga. Tak sanggup rasanya berpisah dengan anak. Sekarang saya mengerti perasaan seorang ibu.

Pagi2 tadi, suami pula dijemput untuk taklimat bagi satu bengkel anjuran UiTM Johor di Genting Highland(Esok baru balik). Hari ini kami tinggal bertiga (berempat + bibik) semula. Kalaulah boleh diputar semula jam di dinding, mahu saja saya putarkan semula ke hari Sabtu yang lepas. Saya mahu isikan masa selama 7 hari ini khusus untuk abah, emak dan anak2. Tapi apakan daya...
Begitulah manusia...saya khususnya. Kita hanya menghargai masa bila ia dah terlewat/terlepas. Jarang kita hargai bila ia di depan kita..Masa tak akan boleh diputar. Masa yang lepas akan tinggal sebagai satu kenangan. Kenangan rindu saya pada anak2 (Fitri dan Fareha) serta abah dan mak.






Wednesday 17 February 2010

MRSM MUAR..tempat jatuh lagi dikenang


3 Mac 1982 saya mendaftarkan diri sebagai pelajar di MRSM Muar. Saya adalah kumpulan pertama pelajar MRSM Taiping yang ditempatkan sementara di Muar (sehingga Taiping siap dibina). 28 tahun telah berlalu. Saya masih ingat lagi ketika itu, abah dan emaklah antara orang yang paling lewat keluar dari pagar MRSM. Beberapa kali keluar masuk pagar-ada aje barang keperluan yang hendak dibeli. Akhirnya, abah beredar pulang hampir pukul 5.00 petang. Saya masih ingat lagi semua peristiwa itu. Dan kawan baik saya ketika itu adalah Anisah Ahmad Jaini, orang Masai, Johor.





Hari ini saya mengulangi lagi kisah 28 tahun yang lalu. Bezanya kali ini saya menghantar anak sulung saya, Fitri. Fitri telah berjaya ke Tingkatan 4, MRSM Muar. Tempat saya menuntut ilmu satu masa dulu. Kejayaan Fitri ke MRSM telah memakbulkan harapan dan impian abahnya yang tertunda waktu Fitri tingkatan 1 dulu. Saya bangga, terharu dan bersyukur pada Allah yang Maha Esa yang telah memberikan rahmat dan nikmatNya yang tidak terhingga ini.

Hari ini saya dan suami menjadi seperti abah dan emak pada 28 tahun yang lalu. Kami juga adalah antara orang yang paling lewat keluar dari pintu pagar MRSM serta beberapa kali keluar masuk pagar, ada-ada aje barang yang hendak dibeli dan beberapa kali bawa Fitri keluar makan. Akhirnya kami beredar selepas suami bersolat Asar di surau asrama.

MRSM Muar telah banyak berubah. Kalau dulu, asrama kami asrama papan. Macam rumah. Tapi sekarang semua telah bertukar ke bangunan2 batu. Bilik asrama pun dah berubah. Dulu kami berdua sebilik, tapi sekarang berempat- tetap selesa. Dah tak ada lagi katil2 kayu yang siap laci ditepinya. Semua telah bertukar katil besi. Saya masih ingat lagi kelas saya waktu kami menyusuri tepian MRSM. Fuh...! Kenangan indah!

Fitri bercita2 untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perakaunan. Semoga Allah memperkenankan doa dan impiannya. Amin.

Sunday 14 February 2010

PUTRAJAYA

Semalam, Fitri dan Fareha pulang ke Shah Alam bersama atuk dan neneknya. Sampai dalam pukul 1.15 tengahari di stesyen bas seksyen 17. Rindu saya pada anak2 serta abah dan mak. Petang tadi kami ke Putrajaya, membawa anak2 bercuti di sana. Dah lama kami tak bawa anak2 berjalan. Selalunya, bila ada cuti panjang kami tak pernah lepas dari bercuti di Kelantan.






Tapi sejak suami dan saya agak sibuk dalam setahun dua ini, kami dah tak bawa mereka ke sana lagi.



Mengunjungi Putrajaya rupa2nya dapat menghiburkan hati anak2 yang dah lama tak berjalan. Kami "cruise" menyusuri tasik Putrajaya, melihat bangunan2 indah yang penuh dengan keindahan dan keistimewaannya sendiri. Maklumat mengenai setiap bangunan yang di huraikan sepanjang "cruise" memberi sedikit pengetahuan kepada saya serta anak2 tentang bangunan2 di Putrajaya ini.



Semoga mereka gembira dengan percutian ini.