Thursday 31 December 2009

SEMOGA BERJAYA

Hari ini 31 Disember saya hantar ayong dan kak ngah pulang ke Labis. Pertama kali menghantar anak di stesyen bas, pertama kali melepaskan anak2 menaiki bas untuk pulang semula ke sekolah dalam perjalanan yang agak jauh..satu perkara yang amat menyentuh perasaan.


Pagi2 saya ambil Zarina untuk menemani saya menghantar anak2. Kurang sikit rasa sedih melihat anak2 dalam bas, menghilang dari pandangan bila ada kawan kat sebelah.. Tiba di seksyen 17, suami pun sampai. Naluri seorang ayah melihat pemergian anak2..saya tahu perasaaannya, terharu seperti saya.


Pukul 2.30 petang, kak ngah call, katanya dah ada dalam kereta atuk. Hmm..leganya hati saya. Allah mudahkan perjalanan mereka..tanpa ada halangan dan rintangan. Semoga mereka akan terus bersyukur dengan rahmat Allah ini.


Untuk anak2 mama...semoga kalian berjaya menghadapi liku2 hidup ini dengan penuh kekuatan dan ketabahan. Doa saya agar anak2 saya akan terus berjaya dan lebih berjaya walaupun tanpa mama dan abahnya di sisi...


Tuesday 15 December 2009

RUMAH BARU

Kami benar2 berpindah ke rumah baru pada 12 Disember yang lalu. Bertolak dari Segamat lebih kurang pukul 11.30 pagi , manakala lori pula bertolak dalam pukul 10.30 pagi. Melihat rumah yang ditinggalkan menimbulkan rasa sebak dan pilu. Inilah rumah pertama kami yang saya beli dengan gaji sendiri. Rumah yang telah meninggalkan seribu kenangan pahit manis...Anak2 juga agak terkilan dan sedih meninggalkan rumah Segamat. InsyaAllah, kami berdoa agar Allah akan beri yang terbaik untuk kami. Sebagai manusia kita hanya merancang, tetapi ketentuan Allah melebihi segala2nya...



Kami sampai di Shah Alam dalam pukul 2 petang. Lori dah sampai..ada beberapa orang yang sedang membuat sedikit pendawaian elektrik, memasang aircond dan sedikit kerja lain. Anak2 sungguh gembira, terus menuju ke bilik baru masing2. "Hmm..mama cantiknya..!!" Itulah kata2 yang keluar dari mulut mereka. Saya senyum saja. Saya dan suami memang berhasrat untuk menyediakan rumah yang sederhana tapi cantik dan meriah untuk mereka di sini. Alhamdulillah..saya gembira dengan rumah baru impian kami.








Thursday 3 December 2009

HARI KE TIGA

Hari ketiga ke tempat kerja, memandu sendiri dalam hujan lebat dan traffic jam. Fuh..! Pengalaman baru yang tak pernah termimpi. Perjalanan ke kampus hari ini mengambil masa 1 jam 15 minit. Lama..sangat lama..tapi tak terasa. Saya ditemani Zarina hari ni. Masih belum mahir sangat jalan-jalan ni. Nasib baik ada kawan yang sudi menemani dan memahami keadaan saya yang baru nak berjinak2 dengan kawasan bandaraya ni.

Suami dah mula bekerja setelah seminggu lebih bercuti. Dia telah berkorban untuk mengajar saya, menemani saya dan membawa saya ke sini. Waktu malam kami sibuk pula melihat orang2 yang diupah mengecat rumah yang dibeli. Hmmm...cantik! Tak sabar nak duduk rumah sendiri. Rumah yang dicat dijangka siap hari Selasa depan. Kami bercadang nak membawa keluarga berpindah pada hari Sabtu akan datang. Mudah2an semuanya berjalan lancar seperti yang dirancang.

Rindu pada anak-anak...lebih2 lagi si Baby. Esok, Jumaat kami akan balik berdua...naik bas. Dah lama tak naik bas berdua...rasanya kali terakhir naik bas berdua masa kami baru berkahwin ...nak balik Teluk Intan (Nota: Abah kerja di Teluk Intan masa tu). Teringat kenangan lama..hehehe...

Semoga hidup akan menjadi lebih indah seterusnya..Amin.


Tuesday 1 December 2009

HARI PERTAMA

Hari pertama melapor diri di UiTM Shah Alam saya ditemani Zarina dan suami. Zarina juga sama2 melapor diri di kampus Shah Alam. Lepas melapor diri dan menguruskan beberapa perkara, saya ke kampus Alamanda pula. (Nota :Sebenarnya saya ditempatkan di kampus Alamanda). Perjalanan ke Alamanda mengambil masa dalam 30 minit, itupun jam 11 lebih, tiada kesesakan jalanraya yang teruk. Berjumpa En Khalid (bekas AR Johor) untuk melapor diri. Seronok. Saya telah mendapat beberapa maklumat tentang kursus2 yang saya akan ajar pada semester hadapan daripada Koordinator Ekonomi Shah Alam. Lega rasanya...

Saya bersyukur setakat hari ini Allah mempermudahkan segala urusan saya. Hari ini saya belajar mencari jalan ke Alamanda. Esok saya akan memandu sendiri ke Alamanda (ditemani suami..hehehe..suami ambik cuti untuk mengajar dan menemani saya ke Almanda).

Semoga perjalanan saya selepas ini akan selalu dipermudahkan...Amin...

Sunday 29 November 2009

BERMULANYA PERJALANAN

Sebak meninggalkan anak2 di Labis untuk memulakan perjalanan ke Shah Alam hari ini. Pagi2 lagi saya dah menangis..meluahkan kesedihan saya, tak sanggup rasanya nak berpisah dengan anak2, terutamanya Ika dan baby. Perjalanan ke Shah Alam hari ini mengambil masa hampir 6 jam kerana kesesakan jalanraya.

Sepanjang jalan saya rindukan baby. Masih terbayang di ruang mata saya, setiap kali saya pulang dari ofis, dia akan berlari2 di "porch" , memanggil "mamababy ! mamababy!" sambil menunggu bibik buka pagar. Dia akan terus dapatkan kereta dan bukakan pintu kereta untuk saya. Itulah kerja dia setiap hari.

Pagi tadi, sewaktu sedang tidur, baby mengigau " baby nak bukakkan pintu mama..! baby nak bukak pintu mama.."Seolah2 tahu yang dia tak akan bukakan pintu kereta saya untuk beberapa ketika ini. (nota : kami terpaksa tinggalkan anak2 di Labis kerana rumah yang kami beli masih dalam proses mengecat dan mengemas). Dalam perjalanan saya menghubungi Fareha dan Fitri, bertanyakan tentang baby. Mereka kata, baby ok, cuma dia beritahu abang2 dan kakak2nya bahawa "nanti mama bayik (balik)...". Saya tak sabar nak menunggu rumah kami siap dan membawa anak2 ke sini...Semoga Allah mengurniakan kebahagiaan untuk keluarga kami atas pengorbanan ini...

Wednesday 25 November 2009

HARI TERAKHIR

Hari ini adalah mesyuarat terakhir saya bersama Jawatankuasa Pengurusan Akademik Cawangan Johor. Rasa sedih, sebak, terharu bermain2 di fikiran. Hari ini anak2 dan bibik turut datang ke ofis, tolong saya berkemas dan "packing" barang2. Rasa macam tak percaya saya akan meninggalkan kampus yang telah banyak meninggalkan kenangan kepada saya.

Hujan lebat hari ini seiring dengan hati saya yang dihujani dengan kesedihan. Saya akan rindukan kawan2, rindukan semua yang telah banyak menyokong dan memberikan kerjasama kepada saya sepanjang 7 tahun saya di sini. Banyak dugaan yang telah saya lalui. Saya berdoa agar Allah sentiasa memberi ketabahan dan kekuatan kepada saya.

Saya selalu mengajar pelajar tentang "opportunity cost"-sesuatu yang terpaksa kita lepaskan untuk mendapatkan sesuatu yang lain. Untuk bersama2 dengan suami tersayang, membina satu keluarga yang bahagia dan dirahmati Allah, untuk bersama2 mencapai impian yang satu, saya harus meninggalkan kawan2, kampus, ibu dan ayah..Itulah alternatif yang telah saya lepaskan. Tapi...apa lagi yang lebih bermakna bagi seorang isteri - "syurga isteri adalah di sisi suami". Kewajipan saya terhadap suami mengatasi segala2nya.

Saya memohon doa dari semua agar saya menemui kebahagiaan yang hakiki di Shah Alam nanti. Semoga penghijrahan saya adalah satu penghijrahan yang dirahmati, diredhai.

Friday 13 November 2009

Sibuk

Minggu2 terakhir ini adalah minggu yang agak sibuk. Saya bercuti beberapa hari yang lalu, menyiapkan 'marking' kertas2 ujian, tugasan dan kuiz pelajar. Skrip peperiksaan akhir akan masuk pada hari Sabtu ni, pagi dan petang. Hari Sabtu pula jabatan Ekonomi akan mengadakan sambutan hari Keluarga dan juga majlis perpisahan untuk saya dan Puan Zarina yang akan bertukar ke Shah Alam. Nampaknya, Ahad petang baru saya dapat ambil skrip2 jawapan tersebut. Dan saya akan pastikan skrip2 tersebut habis disemak, ditanda, markah perlu diisi sebelum 22 Nov. Mudah2an ok.

Masa yang ada cukup terbatas untuk saya merenungi masa2 lalu sepanjang di UiTM ini. Sedih sebenarnya nak tinggalkan UiTM ini, tempat yang meninggalkan banyak kenangan suka duka pada saya. Di sini saya mengenali erti sahabat, rakan, kawan..di sini tempat saya mengenali erti sabar, tabah.. di sini saya belajar untuk menjadi seorang ketua (walaupun pernah menjadi koordinator ekonomi di UiTM sabah dulu)..di sini saya dekat dengan emak dan abah...di sini adalah segala-galanya...Bagaimanapun, saya akan cuba menjadi yang lebih baik dari apa yang ada sekarang. Saya akan cuba menjadi anak yang lebih baik (walaupun saya dah jauh), saya akan cuba menjadi pensyarah yang baik, yang ada cita2 tinggi, yang ada kekuatan untuk teruskan pencapaian saya sebagai pensyarah. Cuma saya mohon doakan saya...doakan kehidupan saya, penghijrahan saya adalah yang terbaik untuk diri saya dan keluarga. Amin..

Monday 2 November 2009

KASIH SUAMI

Berpisah memang menyakitkan! Setelah 4 hari 3 malam bersama suami (suami pulang hari Khamis kerana ada majlis kahwin di rumah mentua), masa untuk kembali semula ke Shah Alam menjelma juga Ahad itu. Petang tu saya seharusnya menghantar anak2 pulang ke asrama. Fitri pula tak siap tugasan yang akan dihantar pada hari Isnin. Dia berkira2 nak pulang pada malam tu saja. Saya pulak nak lihat suami balik (sepatutnya pukul 5.30 petang). Aduh..!! Macam2 perasaan ada di hati..nak hantar anak, tapi nak tengok pemergian suami.

Tiba2, dalam pukul 5 petang, suami kata, "Biar abah hantar ayong dan kak ngah. Bersiaplah..." Saya terpinga2. Saya tanya padanya bila dia akan bertolak balik. Dia cuma kata, lepas hantar anak2 dia akan terus balik. baju2 dan begnya telah saya minta bibik letakkan di bawah. Lepas hantar anak2 di asrama, jam dah pukul 6.30 petang. Tiba2 suami kata , "Jom kita minum dulu.." Saya tengok wajahnya, dia senyum. Saya rasa sebak. Saya tahu, suami berat hati nak meninggalkan kami.

Lepas minum, kami balik ke rumah. Suami bersembahyang maghrib dulu dan terus pulang. Saya naik ke atas (menangislah, apa lagi!), lama berdoa untuk keselamatan suami. Moga Allah permudahkan perjalanannya pulang ke tempat kerja.

Malam..pukul 11.05, dia kata dah masuk Shah Alam..lega rasa hati. Semoga dia sentiasa selamat dan diberkati Allah S.W.T...Amin.



MAJLIS PERKAHWINAN



Hari Jumaat yang lepas, saya dan keluarga pulang ke kampung suami, ada majlis perkahwinan. Adik ipar, Yen, buat majlis perkahwinan untuk anaknya. Pagi Sabtu, lepas solat subuh, saya dah mula menolong sikit2 kat dapur. Suami macam biasa..tugasnya merakamkan detik2 bersejarah tu bermula dari malam semalamnya, berlanjutan hingga ke lepas subuh. Kemeriahan suasana subuh itu buat saya rasa rindu pada masa2 lalu...Teringat pulak meriahnya waktu majlis perkahwinan saya dulu.





Majlis bermula dalam pukul 11 pagi. Ayong sibuk menolong rewang bersama sepupu2 yang sebaya dengannya. Pertama kali dia melakukan tugas tersebut. " Seronok" katanya bila ditanya perasaannya waktu itu. Siap menyambung " Kalau ayong kawin, boleh ke ayong pun rewang juga?' Saya dan suami senyum..mengerti bahawa dia sangat2 seronok dapat menyumbang sedikit tenaga pada majlis tersebut.

Dalam pukul 4 petang, hujan turun lebat, namun tidak membantutkan kunjungan para tetamu. kemeriahan majlis berakhir dalam pukul 6 petang...Masa untuk mengemas. Malamnya..rasa penat, tertidur awal. Walau penat, kemeriahan dan rasa puas hati tetap terasa. Saya seronok. Anak2 yang lain juga seronok.


Dalam diam2, saya rasa tak sabar nak menanti majlis perkahwinan anak2 saudara yang seterusnya...Awie, Amy...entah bila...Harap2 saya masih punya kesempatan untuk meraikan mereka...InsyaAllah...








Friday 30 October 2009

PERPINDAHAN

Semalam saya menghadiri 2 majlis perpisahan yang diadakan untuk pensyarah yang akan bertukar kampus (termasuk saya). Majlis sebelah pagi dianjurkan oleh pihak pengurusan UiTM Johor, manakala sebelah petangnya pula dianjurkan oleh Kelab Pensyarah UiTM Johor. Rasa terharu dan sangat2 dihargai..

Perpisahan..sesuatu yang pasti berlaku setelah ada pertemuan. Lebih2 lagi dalam konteks kerja. Mau tak mau kita harus terima. Ada orang terpaksa berpindah kerana mengikut suami, ada orang berpindah kerana anak, ada orang berpindah kerana naik pangkat, ada juga orang berpindah untuk melupakan kenangan lalu. Apapun alasannya, ia harus diterima dengan rasa tabah, tawakkal dan positif.


Saya sentiasa berdoa agar perpindahan ini biarlah sesuatu yang dirahmati dan diberkati...

Wednesday 28 October 2009

PERPISAHAN


Bertemu dan berpisah..adat dunia. Semalam diadakan majlis perpisahan untuk Timbalan Pengarah HEP & Alumni, Prof Madya Ustaz Zaluddin. Majlis yang sederhana, ringkas tapi cukup meriah dan bermakna. Setiap perpisahan ada hikmah dan rahmatnya..ada nikmat dan manisnya..Semoga Ustaz terus cemerlang di kampus baru.








Monday 26 October 2009

KEKUATAN SEORANG WANITA

Hari Sabtu yang lepas saya menghadiri siri ke 6 Syarahan Intelektual yang dianjurkan oleh UiTM Johor. Sebenarnya, sebulan sebelumnya banner telah dipasang untuk memaklumkan kehadiran penceramah ini. Sejak terpandang banner itu, telah tersimpan di dalam hati saya untuk mengikuti syarahan intelektual kali ini (sebelum ini tak pernah). Penceramahnya - Puan Dalilah atau dikenali Raden Galoh, seorang wanita yang kuat semangat memerangi kanser yang dihidapinya. Hasrat suci yang saya pendam ini hampir saya lupakan kerana tahu kebiasaannya hujung minggu kami akan pulang ke kampung. Entah macamana, Allah Maha Mengetahui, Maha Adil, Maha Pemurah, dengan beberapa sebab, saya dapat menghadiri ceramah ini sehingga selesai. Alhamdulillah...


Mendengar ceramah Puan Dalilah, saya rasa diri ini terlalu kerdil. Saya kagum dengan kekuatan dan ketabahan beliau memerangi kanser yang telah menyerangnya untuk kali ketiga. Melihat keadaan dirinya yang tidak menampakkan seperti orang sakit, melihat dirinya yang bersemangat, riang, terdetik di dalam hati saya...saya juga harus jadi wanita yang kuat. Dan kekuatan itu hanya akan diperolehi dengan kasih Allah...Subhanallah...Maha Suci Allah yang telah melimpahkan rahmatNya kepada semua makhlukNya..Saya telah mengecapi segala nikmat Allah..kenapa saya masih tidak lagi mensyukuri nikmat tersebut? "Nikmat mana lagi yang hendak kamu dustakan?"...Amin

Wednesday 21 October 2009

MASA

Ada orang kata, "masa itu emas". Bagi saya masa itu lebih bernilai dari emas. Masa yang ada sangat terhad untuk kita lakukan semua perkara yang kita suka. Masa yang ada sangat singkat untuk kita menikmati kegembiraan dunia yang akan sampai ke penghujungnya. Sangat kurang masa yang kita berikan untuk Allah, Yang Maha Pencipta. Saya teringat pada 5 perkara yang kita perlu rebut sebelum sampai 5 perkara yang lain:


Masa muda sebelum tua
Masa sihat sebelum sakit
Masa kaya sebelum miskin
Masa hidup sebelum mati
Masa senang sebelum susah


Masa yang ada inilah saya peruntukkan untuk kerja, keluarga dan anak2..semuanya saya niat kerana Allah..Semoga Allah memberkati masa ini untuk yang terbaik. Kadang2 kita lalai dan terlupa..Kita punya masa untuk mendengar masalah orang lain, cerita orang lain..tapi kita terlupa membahagikan masa untuk mendengar masalah orang yang paling dekat dengan kita..Kita ada masa untuk memahami perasaan orang lain, tapi kita tidak ada masa untuk memahami perasaan insan yang paling hampir dalam hidup kita.

Kalaulah masa itu boleh diputar...

Monday 19 October 2009

Perubahan

Kuliah bagi semester ini telah sampai ke penghujungnya. Saya telah menghabiskan syllabus yang sepatutnya bagi kedua2 subjek yang saya ajar. Masa yang tersisa adalah untuk pembentangan tugasan bagi individu. Dalam banyak2 topik yang saya ajar, saya suka pada topik kedua dalam ECO 261 - Development Plans in Malaysia. Saya sangat tertarik kepada topik New Economic Policy (NEP). Salah satu faktor kegagalan NEP adalah sikap Bumiputera yang tidak mahu menerima perubahan.



Perubahan sangat penting dalam hidup. Tapi kita kurang mengambil perubahan itu dari sudut positif. Perubahan boleh ditafsirkan pelbagai. Tapi kenapa kita hanya nampak perubahan dari skop yang lebih sempit, negatif dan memberi impak yang buruk kepada kita? Perubahan yang berlaku dalam hidup kita merangkumi perubahan fizikal (paling hampir), perubahan emosi, spiritual, persekitaran kerja, kawan2, pengurusan dan kepimpinan.



Saya juga pernah hampir merasa tidak selesa dengan perubahan persekitaran tempat kerja. Tapi akhirnya, saya rasa senang dan redha untuk menerima perubahan tersebut. Prinsip saya senang. Saya hanya ambil yang baik sahaja dari perubahan tersebut. Yang menyakitkan hati, yang buruk, saya buat tak tahu. Yang penting, kerja tetap diteruskan. Adakah saya harus menggadai keseronokan di tempat kerja semata2 melayan perubahan yang kita tidak selesa?



Saya sedar, untuk beberapa ketika saya sentiasa membuat perbandingan antara dua persekitaran kerja yang berlainan. Akhirnya, saya membuat keputusan, saya PATUT hentikan perbandingan itu. Saya berjaya dan seronok meneruskan hidup dan kerjaya dengan persekitaran yang baru. Bagi saya, selagi kita terus membuat perbandingan dalam perubahan tersebut, selagi itu kita tidak dapat menerima perubahan.


Saya sentiasa mengingatkan pelajar, untuk kita terus berjaya dalam ekonomi, untuk terus menjadi bangsa yang cemerlang, kita harus sanggup menerima perubahan. Dari sudut Islam, perubahan itu bukan setakat kuantitatif tetapi juga kualitatif. Semoga kita mendapat Al Falah, di dunia dan di akhirat. Amin...

Friday 16 October 2009

Kemalangan

Saya terlibat dalam satu kemalangan semalam. Pertama kali dalam sejarah hidup memandu selama 11 tahun saya telah melanggar penunggang motosikal. Nasib baik saya seorang saja ketika itu. Anak2 dan bibik ada di sebuah gerai makan menunggu saya mencari parking. Dalam mencari2 itu, tanpa sengaja saya terlibat dengan kemalangan tersebut. Saya mengaku salah saya (mungkin- tak salah mengaku salah).



Saya keluar dari kereta, minta orang ramai tolong angkat pemuda itu ke dalam kereta saya untuk dihantar ke klinik. 2 orang polis (kebetulan bertugas di situ), turut membantu. Dalam saat saya berada dalam kesusahan itu, tiba2 sepasang suami isteri dalam lingkungan awal 50 an, menawarkan diri membantu saya, menemani saya ke klinik Mahkota, menghantar pemuda itu pulang ke rumah dan memberi saya sokongan.

Bagi saya peristiwa itu merupakan satu hikmah. Mengingatkan saya lebih berhati2 membawa kereta, menguji kesabaran dan yang pentingnya saya sedar bahawa Allah sangat adil. Dia telah menghantar kepada saya orang yang saya tak kenal untuk menolong saya di saat2 saya perlukan pertolongan. Dia juga telah mentakdirkan bahawa penunggang motosikal itu hanya cedera ringan sahaja (motor-ok). Dia juga telah memberikan saya kekuatan untuk berusaha membaiki kereta saya yang rosak, ke sana ke sini mencari kedai2 spare part dan sebagainya. Bagi saya itu semua adalah pengajaran yang paling berharga kurniaan Allah.

Ada orang berkata kepada saya "Orang yang baik, yang selalu menolong orang, bila susah sentiasa ada orang nak tolong. Allah permudahkan kesusahan itu." Alhamdulillah..Baik buruk saya hanya Allah yang tahu..

Thursday 15 October 2009

Bersatu Membawa Kejayaan

Semangat bekerja satu pasukan meringankan segala kesusahan, yang susah jadi senang, yang senang, jadi lebih mudah. Terharu dengan kesungguhan pelajar2 DIB mengadakan majlis jamuan hari raya dalam keadaan yang gelap gelita. Kesungguhan Pengarah untuk hadir pada malam itu, kehadiran pensyarah2 kanan serta beberapa pensyarah yang lain membuatkan saya cukup terharu. Apatah lagi melihat exco2 bertungkus lumus menyalakan lilin pada setiap meja, bersungguh2 menjalankan aktiviti dalam kegelapan. Suasana gelap tidak terasa bila ditutupi dengan kemeriahan pelajar2.

Saya percaya, kejayaan malam itu (walaupun dalam gelap) adalah berkat keikhlasan dan kesungguhan mereka bekerja dalam satu "team". Bekerja tanpa mengira siapa kawan dan lawan kita, bekerja tanpa mengira siapa ketua kita, bekerja kerana Allah, bekerja dengan ikhlas. Hasilnya.....kejayaan dan nikmat yang tidak terkata...

Tuesday 13 October 2009

GUBAHANKU

Semalam saya mengajak anak2 dan bibik makan di D'Anjung Cafe. Sengaja inginkan suasana zaman2 dulu (zaman P Ramlee) untuk menikmati makan malam. Saya cuma makan lempeng kosong cicah sambal tumis. Bibik pula cuma makan ubi rebus dengan sambal tumis. Makanan Melayu asli yang sudah jarang didapati. Suasana makan yang tenang diiringi lagu2 lama klasik membuatkan hati rindu pada suami dan anak2 semakin membuak2.



Dalam kesibukan melayan si Baby, saya terdengar lagu "Gubahanku". Lagu yang sering dinyanyikan zaman saya bercinta dengan suami. Hehehe...terbayang pulak waktu suami mainkan gitar, nyanyikan lagu ni. Syahdunya! Hilang selera saya nak makan lempeng...Rindu pulak masa2 lalu...kalaulah waktu itu boleh diulang, dah tentu saya ingin kembali pada masa lalu...kenangan itu indah. Betul..! Kenangan itu memang indah!


Hari ini sepanjang hari saya menyanyikan lagu ini. Tak sedar airmata mengalir...Puteri tanya saya, "Kenapa mama menangis?" Saya senyum. Saya kata, "Mama rindu abah, ayong, kak ngah dan abang uda.." Semoga kerinduan ini terlerai juga....


GUBAHANKU


Ku tuliskan lagu ini
Ku persembahkan padamu
Walaupun tiada indah
Syair lagu yang kugubah

Ku ingatkan kepadamu
Akan janjimu padaku
Hanyalah satu pintaku
Jangan kau lupakan daku

Walau apa yang terjadi
Tabahkan hatimu selalu
Jangan sampai kau tergoda
Mulut manis yang berbisa

Sehari kita berpisah
Serindu terasa sudah
Duhai kasih pujaanku
Jangan kau lupakan daku

Duhai kasih pujaanku
Cintaku hanya padamu....




Monday 12 October 2009

SEMPURNA

Tinggal sebulan 18 hari sahaja lagi saya akan meninggalkan kampus ini dan bertukar ke kampus Alamanda. Teringat saya pada hari pertama melaporkan diri di UiTM Johor, 16 April 2002. Perasaan gembira waktu itu dapat bersama keluarga, suami dan anak2 setelah 1 1/2 tahun berjauhan kerana melanjutkan pelajaran. Hari ini saya gembira juga dan sedih kerana berjauhan dengan emak dan abah di Labis, dengan kawan2 di Jabatan Ekonomi dan teman2 sekampus.
Sekarang saya adalah ketua bagi Jabatan Ekonomi dan bila di kampus baru nanti saya adalah pensyarah biasa, sama seperti kawan2 yang lain. Kali pertama menjejakkan kaki di UiTM ini, ketua saya adalah Puan Hajah Kursimah. Beliau juga adalah koordinator Program Diploma In Banking. Seorang yang cantik dan sentiasa tersenyum.


(Puan Hajah Kursimah (bertudung cerah) dan Puan Zailati)

Selama lebih 7 tahun saya di sini, ketua Jabatan bertukar ganti. Selepas Puan Kursimah, ketua saya adalah Puan Zarina (sedang menunggu viva PhD-tak lama lagi bergelar Dr Zarina), kemudian En Bazri, orang yang tak lokek dengan ilmu dan sentiasa membantu.



(En Bazri - kawan yang sentiasa membantu)


Dan saya telah berada di jawatan ini sejak Julai 2008 yang lepas dan sepatutnya berakhir pada Jun 2010. Saya sangat terhutang budi kepada semua kawan2 di jabatan Ekonomi, terutamanya pada bekas2 ketua saya kerana merekalah yang telah memberi tunjuk ajar dan semangat sepanjang saya menjadi pemimpin jabatan.


Biar ketua silih berganti, namun rasa hormat menghormati di kalangan teman2 sejabatan tidak pernah luntur. Setiap orang ada kelebihan dan kekurangan masing2. Semua orang tidak sempurna. Mungkin saya tidak baik pada sesuatu perkara tetapi mungkin saya baik di dalam perkara yang lain. Mungkin saya sangat tegas dalam sesuatu perkara, tapi mungkin tidak tegas pada perkara yang lain pula. Saya tidak sempurna. SEMUA ORANG TIDAK SEMPURNA. Saya tidak akan jadi orang lain. Saya TIDAK akan jadi Puan Kursimah, saya TIDAK akan jadi Puan Zarina dan saya juga BUKAN En Bazri. Saya adalah saya yang banyak kelemahan dan cuba memperbaiki kelemahan itu.

Bagi saya apa yang penting, bagaimana hati kita menerima ketua yang baru. Keikhlasan kita menerima orang baru, ketua baru..itulah yang akan menentukan prestasi dan semangat kerja. Bagi saya, kita bekerja kerana Allah, bukan kerana orang lain. Saya sangat berterima kasih kepada semua kawan2 di jabatan yang sentiasa menghormati saya sebagai ketua, yang sentiasa bekerjasama dalam banyak perkara dan sentiasa memberi dorongan kepada saya. Dalam menerima seseorang ketua, soal hati menjadi pokok utama. Semoga hati mereka sentiasa ikhlas menerima ketua yang baru (pengganti saya....).

Terima kasih sekali lagi untuk semua rakan2 jabatan...PM Ismail Shaari, PM Abdullah, Tn Hj Hasan, Tn Hj Mustaffa, Puan Azizah Daut, Azman, Bazri, Diana, Juliana, Azira, Azurah, Puan Kursimah, Noranita, Fariza, Tan, Puan Zailati, Puan Zarina, En Razak, Azim, Azlan.

BIAR KETUA SILIH BERGANTI, KERJASAMA SENTIASA TERPAHAT DIHATI...BEKERJALAH KERANA ALLAH..

Sunday 11 October 2009

A SHOULDER TO CRY ON

Nyanyian Tommy Page ni pertama kali saya dengar semasa tahun pertama di UUM. Kalau dulu saya hafal setiap bait2 lagu. Ada orang yang boleh dianggap sebagai "shoulder to cry on", sentiasa menjadi pendengar, memahami dan penyayang. "Shoulder to cry on" ini boleh jadi ibu, ayah, adik2 atau sahabat.

Anak2 saya menganggap sayalah "shoulder to cry on" mereka. Sayalah tempat mereka meluahkan segala rasa. Dan kadang2 juga saya pun menerima nasihat mereka. Dalam hubungan, kami semua seperti kawan tetapi pada waktu2 tertentu. Pada masa yang lain pula, kami adalah anak beranak.

Petang tadi saya ke sekolah Fitri dan Fareha. Mereka nak berjumpa saya setelah seminggu tak berjumpa. Fitri meluahkan segala rasanya, perasaannya menghadapi peperiksaan. Berkali2 dia minta saya dan abahnya mendoakannya. Kasihan dia...Saya dan abahnya sentiasa mendoakan kejayaannya. Saya terharu bila dia kata, "Dah lama ayong tak dapat jumpa abah.." Dia berjanji nak menelefon abahnya malam ini. (Dia rindu kat abah dia walaupun dah berjumpa minggu lepas).

Sebagai ibu, saya pula tak sabar nak menunggu kepulangan mereka pada hari Jumaat nanti (16hb). Semoga mereka berjaya dalam hidup mereka...dan saya..cukup bahagia menjadi " sholuder to cry on" untuk selama-lamanya....

Friday 9 October 2009

8 oktober 2009

Petang tadi saya mengadakan sedikit jamuan untuk pelajar2 saya dari kelas DBS (ECO 261). Tak ramai dalam 10-15 orang saja. Sambil tu ada juga kawan2 yang nak datang beraya jadi, majlis tu lebih nampak meriah dengan kehadiran mereka. Kehadiran anak2 kecil (sebaya dengan Ika dan Baby) menambahkan lagi kemeriahan majlis. Majlis berterusan hingga malam bila ada satu lagi keluarga yang hadir.

Makanan untuk majlis saya order saja, ketupat palas dan roti jala. Tapi..rendang daging dan kari ayam saya masak sendiri! Seronok bila tengok juadah berselera dinikmati oleh tetamu. Dalam kesibukan membuat persiapan majlis, Fitri call. Dia baru habis exam petang tu. Sempat juga saya bertanya keadaannya. Tak putus2 dia memohon restu dari saya. Sebagai ibu, setiap saat, setiap detik yang berlalu, saya sentiasa mendoakannya.

Semoga dia terus berjaya. Pukul 7.00 petang, pelajar2 saya pulang dengan rasa gembira. Saya juga mendoakan mereka berjaya dalam peperiksaan akhir pada 28 Oktober ini.




Thursday 8 October 2009

PMR

Jam di komputer saya menunjukkan pukul 8.32 pagi. Dalam masa 28 minit sahaja lagi peperiksaan PMR akan bermula. Debaran di dada saya semakin kencang. Mulut saya tak putus2 berdoa. Mungkin ada orang yang akan mengutuk saya dengan sikap saya seperti ini, seolah2 tidak redha dan tidak percaya pada Qada' dan Qadar. Tapi...memang itu sifat saya setiap kali anak2 atau pelajar2 saya mengambil peperiksaan. Kalau anak orang (pelajar2 saya) pun saya risau dan berdebar, apatah lagi anak sendiri! Mungkin bagi orang lain, ini semua perkara biasa...Perkara kecil pun nak risau..tapi bagi saya tidak. Ini soal masa depan.

Setiap orang menghadapi sesuatu situasi itu berbeza. Mungkin saya tidak begitu worry pada sesetengah perkara tapi worry pulak pada perkara yang lain (contohnya: exam anak). Saya dapat bayangkan waktu ini, Fitri sudahpun masuk ke dalam dewan. Semoga dia berjaya dengan cemerlang.

Friday 2 October 2009

RESTU DAN SOLAT HAJAT

Saya menghadiri program "Memohon Restu dan Solat Hajat bagi Pelajar Tingkatan 3" di SMK Seri Kenangan tadi. Lagi 5 hari sahaja PMR akan bermula. Kata2 semangat, doa, kasih sayang telah diberikan untuk anak2. Majlis bermula dalam pukul 2.30 petang dengan ucapan Pengetua yang mengharukan. Sebagai seorang pendidik, saya faham perasaan pengetua sekolah untuk melihat kejayaan anak2 muridnya. Saya tahu, pengetua, guru2 telah bertungkus lumus berusaha untuk kejayaan pelajar.

Selepas ucapan, diadakan majlis "Hi-Tea" untuk ibubapa. Anak2 diminta melayan ibu bapa, mengambilkan makanan untuk ibu bapa tercinta. Pada mulanya , saya nak lihat, adakah Fitri akan ambil makanan yang saya saya suka? Terharunya saya bila dia datang dengan membawa makanan idaman saya, puding berkuah. Rupanya dia tahu kegemaran saya! Lepas tu dia ambilkan soto, suapkan ke mulut saya. Saya tahan kesedihan saya. Pukul 4.05 kami ke surau sekolah, Surau An-Nur, solat hajat dan asar bersama. Selepas solat, ada lagi sessi taklimat dan program dijalankan oleh satu konsultant.


Inilah saat yang paling sedih bagi saya. Bila anak memohon restu, memohon maaf, memohon dihalalkan segala makan minum, perbuatan yang kasar disengajakan atau tidak, perbuatan yang menyinggung hati, membuatkan fikiran saya berputar seperti filem menayangkan saat2 Fitri dilahirkan hingga sekarang. Sebagai seorang ibu, dah lama semua itu saya halalkan, saya maafkan, malah saya sendiri memohon maaf dari anak atas segala kekasaran saya atau leteran saya yang menyinggung perasaan mereka. Airmata saya tumpah sederas2nya bila membacakan Fatihah untuknya. Lebih sedih, bila Fitri kata "Kalau abah ada, mesti bestkan, mama"

Apa2pun, saya akan sentiasa mendoakan kejayaan anak-anak...


Thursday 1 October 2009

IDILFITRI 2009

Tahun ni saya dan keluarga beraya di kampung suami, di Ayer Baloi, Pontian. 2 Hari sebelum raya (Jumaat) kami dah pulang ke kampung. Hari Sabtu tu adalah hari untuk masak2. Rasa seronok melihat gelagat anak2 kecil, Ika dan baby sibuk menolong di dapur. Fareha dah besar dan mula menolong secara serius. Fitri juga turut membantu, cuma saya selalu ingatkan dia untuk melihat buku2 bila tak ada apa nak buat sebab PMR hanya tinggal 2 minggu sahaja selepas hari raya. Raya kali ni, tak boleh nak meriah sangat sebab Fitri nak periksa. Fikiran saya risau..hati ibu...



Inilah gelagat anak2 saya pada petang raya..masing2 sibuk menolong Mak Atuknya memasak ketupat.

Pagi raya, saya, suami dan anak2 ke kubur ayah mentua. Dekat aje dengan rumah..jalan kaki aje..Lepas tu, baru kami bersiap. Suka saya tengok anak2 lelaki saya yang comel dan segak dengan baju Melayu, bersongkok dan bersampin. Suami...? Hmmmm..tentulah paling handsome..! Balik dari sembahyang raya, kami bergambar keluarga dan saling bermaafan. Rindu pada mak dan abah serta adik2 yang ada di Labis tapi..simpan aje dalam hati..Saya berdoa agar Allah menyampaikan perasaan rindu dan sayang saya pada mereka. Alhamdulillah, hari raya ke 4, kami sekeluarga pulang ke Labis dengan selamat.









Wednesday 16 September 2009

HIJRAH

Dua hari lepas saya menerima surat pertukaran tempat bertugas. Surat yang berbunyi " ...Jawatankuasa bersetuju meluluskan permohonan pertukaran tempat bertugas puan dari UiTM Johor ke Fakulti Pengurusan Perniagaan, UiTM Kampus Alamanda berkuatkuasa 1 Disember 2009" meletakkan saya dalam keadaan paling gembira dan juga sedih. Gembira kerana dapat bersama2 dengan suami, berhijrah ditempat baru dan mengharapkan satu penghijrahan yang dirahmati dan diberkati. Sedih kerana akan meninggalkan kampus ini, kawan2 dan sahabat yang sentiasa bersama waktu susah dan senang.

Apa2 pun, saya sentiasa berdoa agar penghijrahan ini merupakan yang terbaik untuk kami sekeluarga. Semoga penghijrahan ini merupakan penghijrahan yang diredhai, menjadikan kami semua lebih baik dan lebih sempurna dari hari ini dan semalam.

Friday 11 September 2009

SELAMAT HARIRAYA

Tahun ini, persiapan sambutan hariraya tak semeriah tahun2 yang lalu. Sementelah pula, anak2 (terutama Ika) baru sahaja sembuh dari demam. Sedih hati melihat anak2 demam satu persatu masih belum hilang walaupun kini, semuanya telah sihat...Alhamdulilah. Tahun ini, saya banyak menginsafi nasib mereka yang tidak dapat menikmati kegembiraan hariraya seperti yang saya dan keluarga miliki. Banyak sangat pengajaran yang saya dapat tahun ini, membuatkan saya lebih insaf dan bersyukur dengan nikmat yang Allah berikan.


Fitri pula akan menduduki peperiksaan PMRnya 2 minggu selepas hariraya. Sokongan dan semangat dari saya dan abahnya sangat2 diperlukan di waktu ini. Dia sendiri pernah memberitahu saya dia 'belum ada mood nak beraya tahun ni'.


Bagi saya, kemajuan dan pembangunan ekonomi, berteraskan perkembangan sains dan teknologi sudah kurang membezakan suasana hariraya dengan hari2 biasa. Manakan tidak, untuk pulang ke kampung , menziarahi sanak saudara, berhubung mesra, tidak semestinya boleh dilakukan pada hariraya. Pembangunan infrastruktur yang pesat dapat menghubungkan jarak yang jauh dalam masa yang cepat. Untuk meminta maaf, kenapa mesti menunggu hariraya..? Itupun, jika umur masih kesampaian mencecah Syawal, bagaimana kalau tak sempat? Bagi saya, tak salah mengucapkan maaf setiap hari..asalkan ia datang dari hati yang ikhlas.
Zaman berubah, kehidupan kita juga turut berubah selaras dengan pemodenan zaman. Hariraya tetap hariraya...Paling penting, hariraya meraikan mereka yang telah berjuang melawan nafsu di bulan Ramadhan. Itulah erti hariraya...
"SELAMAT HARIRAYA IDILFITRI, MAAF ZAHIR BATIN...SEMOGA HARIRAYA INI LEBIH DIBERKATI"....AMIN.

Wednesday 2 September 2009

INDAHNYA NIKMAT ALLAH

Semalam adalah hari pertama persekolahan untuk bulan September. Saya memulakannya dengan hati yang tenang dan gembira. Puteri saya, Ika telah pulih dari demamnya setelah hampir 2 minggu terlantar sakit. Sepanjang masa itulah, rutin hidup dan kerja saya mula berubah. Saya harus sentiasa berada disampingnya. Wajahnya yang pucat, tidak bermaya, tubuhnya yang longlai, terbaring lesu, menyebabkan saya tidak sanggup meninggalkannya walau sesaat.

Naluri keibuan saya mula fikir yang bukan2. Hidup saya agak kelam kabut..menguruskan kerja2 pejabat, kuliah dan juga keluarga. Hampir sepanjang hari, masa saya banyak dihabiskan di kereta. ke sana ke sini, pagi perlu ke ofis, ke kelas, habis kuliah pula, terus pulang melihat Ika, pastikan dia makan ubat, pastikan dia boleh duduk...hampir setiap hari saya ke klinik. Itulah rutin saya hampir 2 minggu. Sepanjang dalam kereta saya menangis. Saya hampir putus asa.

Hari Khamis terakhir (sebelum Ika sembuh), saya menangis selepas kelas pukul 4 selepas dihubungi Fareha, badan Ika panas semula. Saya terus pulang ke rumah. Dalam kereta saya membuat panggilan ke sebuah klinik di Segamat, nak berjumpa doktor, urgent! Tapi, doktor dah pulang. Saya hubungi klinik di Jementah, berkeras minta doktor tunggu saya datang. Dalam pukul 4.55 saya sampai di klinik. Saya masuk dan minta doktor buat ujian Influenza ke atas anak saya. 10 minit kemudian, doktor sahkan keputusan negatif! Saya hampir gembira tetapi memandangkan keadaan Ika yang pucat, bibir yang biru, kegembiraan itu terbantut di situ. Akhirnya, saya buat keputusan untuk berubat secara tradisional.

Alhamdulillah, dengan izin Allah Yang Maha Penyayang, Maha Pengasih, Ika sembuh malam itu. Dia mula minta air, mula nak makan bubur, mula bercakap..perkara yang dia TIDAK langsung lakukan selama hampir 2 minggu!

Saya bukan taksub kepada perubatan tradisional tapi itulah ikhtiar terakhir saya untuk menyembuhkan anak saya. Saya tak sanggup kehilangan puteri..Anak2 adalah kehidupan saya..Setiap kali solat, saya minta Allah berikan saya ilham, tunjukkan saya jalan untuk menyembuhkan Ika, dan Allah telah berikan saya ilham untuk menghubungi insan ini. Saya percaya, dengan izin Allah (dan beliau juga meminta dari Allah), anak saya sembuh. Syukurnya..Alhamdulilah...inilah hari yang paling indah dalam hidup saya. Pagi esoknya, Ika dah bermain seperti biasa, telah nakal seperti dulu. Airmata saya jatuh lagi, tapi itulah air mata gembira, syukur dan inilah nikmat Allah yang amat indah bagi saya. Terlalu indah...dan terlalu indah!

Ya Allah...Sesungguhnya Engkau Yang Maha Penyayang, Maha Adil, Maha Pengasih..Terlalu indah nikmatMu, Ya Allah. Semoga Allah sentiasa merahmati hidup kami sekeluarga...Amin.

Wednesday 12 August 2009

KASIH IBU

Fitri akan balik ke sekolah pukul 5 petang ini. Saya yang akan menghantarnya. Berat rasa hati nak hantar dia pulang ke asrama memandangkan dia masih batuk2 kecil dan sedikit selsema. Lepas kelas tadi, saya bergegas bawa dia ke klinik untuk pemeriksaan lanjut dan pastikan keadaannya cukup bersedia untuk pulang. Keyakinan dan penjelasan doktor membuatkan hati saya sedikit lega. Sepanjang jalan pulang, banyak yang saya nasihatkan pada Fitri.

Sepanjang jalan ke ofis (semula), saya menahan sedih. Saya doakan anak saya cepat sihat, tak batuk lagi...Kalaulah tak kerana dia akan menduduki "trial PMR" hari Isnin depan ni, memang saya tak akan beri dia balik. Saya bagitau dia,"Kalau ayong tak dapat keputusan cemerlang pun trial ni, mama faham. Ayong kan tak sihat.." Tapi bila dia kata " Ayong nak buat betul2 trial ni, Ma..Keputusan trial ni selalunya diambil untuk menentukan dapat masuk ke sekolah lain (SBP dan MRSM). Kalaulah kertas PMR ayong hilang, keputusan triallah yang jadi penentu.." Sebak hati saya mendengar kegigihan Fitri. Apakan daya saya sebagai ibu...Saya hanya mampu untuk terus mendoakan kesejahteraan Fitri, semoga dia sentiasa sihat dan berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan.

Kasih ibu..membawa ke syurga..Kasih ayah..berkorban nyawa..

Thursday 6 August 2009

ANAK-ANAK...

Anak-anak adalah sumber inspirasi saya. Walau bagaimana penatpun, saya tetap akan melayan kehendak anak2...rasa tak sampai hati untuk menghampakan permintaan anak. Bila saya berhadapan dengan pelajar, saya selalu teringat pada anak2. Saya selalu beritahu pelajar2 saya, anggap saya sebagai ibu..kerana saya bertanggungjawab pada mereka.

Semalam, saya pulang ke Labis, semata2 kerana nak menghantar "face mask" pada Aiman (anak ke tiga yang tinggal dengan atuk mereka). Saya nak tengok dia, saya nak pakaikan "mask" itu di mukanya bila pergi sekolah, saya nak tengok dia gembira melihat kehadiran saya.

Seperti jangkaan saya, dia sangat gembira melihat kehadiran kami (saya,ika,baby dan bibik). Pagi tadi sebelum dia ke sekolah, saya pakaikan "mask" di mukanya. Ika (Puteri) saya cutikan dari sekolah tadikanya untuk 2 hari ini. Bukan apa...risau juga dengan suasana H1N1 yang sedang menular ini. Fareha menelefon saya petang semalam. Lega hati bila mendengar suaranya. Saya sempat mengingatkannya untuk menjaga kesihatan baik2. Fitri juga menelefon saya selepas itu. Saya turut memberi nasihat dan peringatan yang sama. Baby...saya rasa agak lega sedikit sebab sekarang ni dia hanya di rumah bersama bibik.

Itulah anak2 saya...penawar hati saya...




Thursday 23 July 2009

Kecuali Cintamu

Menghargai cinta memang sukar...Cinta hanya akan dihargai bila orang yang mencintai itu telah tiada....Lumrah alam. Drama TV popular yang ditayangkan setiap 9 malam di Astro Prima menarik minat saya. Drama cinta suami isteri, konflik keluarga, kecurangan, cinta abadi...namun yang pasti, cinta kerana Allah adalah cinta sejati...


Lirik Kecuali Cintamu by Izwan Pilus


Sayu..dan pilu

jiwa meruntuhku

bagaikan terasa

dicucuk sembilu



maafkan diriku

aku tak berdaya

bukan kehendak ku

pergi meninggalkan mu



walaupun tak bisa

ku ulangi nya semula

biar apa alasan

hati dan perasaan

cintaku tak berubah



aku merindukan

belaian kasih dan manjamu

biar apa terjadi

kau tetap ku miliki

cintaku hanya untukmu


dikala pertemuan ini

tersingkapnya kenangan lalu

kau takkan ku biarkan

halangan menjadi pemisah


walaupun tak bisa

ku ulanginya semula

biar apa alasan

hati dan perasaan

cinta ku tak berubah


aku merindukan

belaian kasih dan manjamu

biar apa terjadi

kau tetap kumiliki

cintaku hanya untukmu(3x)


Semoga cinta ini akan menjadi cinta sejati selamanya.....


Monday 20 July 2009

Pembantu Rumah

Saya dah ada pembantu rumah baru. Baru sampai hari Rabu yang lepas. Oleh itu, kebanyakan kerja2 rumah, saya dah tak buat lagi kecuali memasak. Walau macamana penat pun, saya akan cuba pastikan, saya memasak untuk anak2. Tapi untuk beberapa hari ini, saya rasa lega..tak payah fikir nak basuh baju, nak kemas rumah, nak kemaskan itu dan ini...

Saya berdoa agar Allah berikan saya pembantu yang baik, beriman dan dapat membantu saya menguruskan kerja2 rumah saya dengan jujur dan ikhlas. Amin...

Tuesday 7 July 2009

FIKRIE AIMAN


Dia adalah anak ke 3 saya. Dia adalah anak yang baik. Badannya yang kecil tidak menunjukkan usianya 10 tahun. Dengan usia yang kecil itu, dia telah melakukan satu pengorbanan yang besar untuk keselesaan saya (mamanya) dan kakaknya (fareha). Dua tahun lepas, dia telah mengorbankan masa kecilnya, masa bermanjanya, masa yang sepatutnya dia terima dari saya sebagai mamanya, untuk menemani kakaknya (fareha) yang terpaksa saya hantar ke kampung kerana saya tidak mampu memantau akademiknya yang telah menurun. Aiman..yang tidak pernah ada masalah itu, terpaksa bertukar sekolah ke kampung, dengan alasan menemani kakaknya bersekolah di sana.


Ia merupakan satu keputusan yang amat berat untuk saya lakukan ketika itu. Setiap malam saya menangis merinduinya. Dia telah berkorban untuk saya..Dengan alasan tiada pembantu dan saya tidak dapat berulang alik ke rumah untuk mengambil dan menghantarnya ke sekolah, maka saya telah membuat keputusan yang tak sepatutnya saya ambil.


Saya tak mahu melakukan kesilapan lagi. Bila berpindah ke Shah Alam nanti, saya mahu membawanya bersama. Dia sangat gembira. Dia selalu beritahu saya, dia rindukan saya, rindukan abahnya, rindukan baby..Dia selalu kata, dia sunyi, bosan..keseorangan ( sejak Fareha tinggal di asrama). Dia selalu menyalahkan Fareha atas kerana dia terpaksa bersendirian di kampung (walaupun saya selalu balik menjenguk dia, namun masa yang ada itu tidak sama sebagaimana yang diperolehi oleh adik2nya yang lain). Sebagai ibu, saya tahu perasaan yang melonjak dalam hatinya. Saya dapat rasakan rasa rindu yang dialaminya sebagaimana rindunya saya pada dia. Saya tak sanggup berjauhan dengannya lagi. Saya tak sanggup melihat dia terus berkorban....


Bagi saya, dia telah melakukan satu pengorbanan yang saya sendiri tidak pernah lakukan. Saya akan pastikan dia akan bersama saya...di sisi saya...

Friday 3 July 2009

AMANAH

Hari Rabu yang lepas merupakan hari Perasmian Minggu Mesra Siswa untuk pelajar2 baru. Saya memang tak pernah 'miss' menghadiri majlis ini, dari saya sebagai pensyarah biasa hinggalah sewaktu saya memegang jawatan KP. Saya suka melihat pelajar2 baru yang akan saya didik, yang akan memegang amanah yang telah diberi oleh ibu bapa, menjadi harapan keluarga, idola pada adik2...dan yang akan memikul tanggungjawab untuk masa depan diri sendiri, agama, bangsa dan negara.



Dulu, bila lagu "UiTM diHatiku" dinyanyikan oleh pelajar2 baru, saya akan sebak. Bagi saya ia adalah satu lagu yang mengingatkan saya tentang pengorbanan UiTM melahirkan insan yang berjaya, yang berbakti kepada bangsa dan negara, Bumiputera khususnya. Malah, hingga sekarang ni, bila lagu Wawasan Setia Pelajar dimainkan (menggantikan UiTM di Hatiku) perasaan sebak itu turut terasa. Setiap kali berada dalam majlis ini, saya akan terfikir, adakah bakal2 pelajar saya ini menghayati setiap bait2 lagu yang dinyanyikan? Tahukah mereka betapa beratnya amanah dan tanggungjawab yang mereka pikul untuk mendaulatkan bangsa mereka?


Amanah..ia tetap satu amanah. Saya seringkali menasihatkan pelajar di dalam kelas, pelihara amanah yang diberikan sebaik mungkin. Apa2 yang dilakukan, yang ingin dilakukan, ingat balik pada ibu dan ayah..pada impian mereka..pada harapan mereka..Itulah nasihat saya selalu. Semoga pelajar DIB saya akan terus cemerlang, mengharumkan nama DIB di UiTM ini.


Amin...

Tuesday 30 June 2009

PELAJAR SEMESTER SATU

Hari ini bermulanya satu hari yang agak sibuk. Setelah berasa lega selama hampir 2 bulan kerana kurang aktiviti melayan pelajar2 dan kuliah, hari ini kembali ke suasana 2 bulan yang lepas. Seperti biasa, setiap awal semester kesibukan lebih kepada menguruskan jadual waktu dan pendaftaran pelajar semester satu.

Hari ini selain sibuk menyemak keputusan peperiksaan khas dan intersessi pelajar2 lama, saya juga berpeluang memberi taklimat kepada pelajar2 program DIB semester 1. Banyak juga nasihat yang cuba saya sampaikan, dari hal2 akademik hinggalah hal2 sosial dan keperibadian diri. Saya lebih banyak menyarankan pelajar2 agar tidak abaikan solat dan sentiasa jujur dan ikhlas dalam menjaga amanah sebagai seorang pelajar, anak, adik, abang dan kakak.

Bagi saya mereka mempunyai tanggungjawab yang amat besar. Merekalah harapan keluarga, kebanggaan ibu dan ayah, idola pada adik2, dan pejuang untuk bangsa dan negara. Amanah dan tanggungjawab perlu jalan seiring. Sebagai ibu pada pelajar2 saya, saya mempunyai harapan yang tinggi untuk melihat kejayaan mereka. Semoga pelajar2 semester satu saya pada kali ini merupakan pelajar yang menjadikan DIB satu program yang CEMERLANG, GEMILANG dan TERBILANG. Semoga terlahirnya modal insan harapan negara dari didikan saya dan kawan2 pensyarah yang lain. Amin...

Thursday 25 June 2009

RUMAH BARU

Hari ini ke Shah Alam. Dah berjanji dengan suami untuk bertemunya kerana dia nak bawa saya melihat rumah yang dijangka akan dibelinya untuk kami sekeluarga nanti. Sampai di Shah Alam dalam pukul 2 petang, saya ke ofis suami, menunggunya bermesyuarat sehingga jam hampir 5.30 petang. Masa 3 jam yang ada saya habiskan dengan membuat 'marking' peperiksaan akhir Intersessi. Alhamdulilah...hampir siap.

Sebaik tiba di rumah yang dijanjikan dalam pukul 5.45 petang, hati saya terus tertarik. Inilah rumah yang saya idamkan selama ini. Walaupun mungkin ia tak seluas rumah yang kami miliki sekarang, tapi ia cukup menarik. Senang cerita, inilah rumah idaman saya!

Saya berdoa agar impian kami untuk memiliki rumah ini dimakbulkan Allah dan saya juga berdoa agar segala urusan untuk pembelian rumah ini dipermudahkan Allah. Semoga rumah "baru" itu nanti menjadi titik bahagia untuk kami memulakan kehidupan baru di tempat baru deengan rasa yang penuh syukur dan penuh dengan keberkatan dan rahmat Allah. Amin..

Monday 22 June 2009

HAPPY FATHER'S DAY

Semalam adalah Hari Bapa. Hari untuk kita semua mengucapkan sayang dan terima kasih kepada bapa, ayah, abah yang disayangi. Sebenarnya, rasa kasih dan sayang itu bukan hanya boleh diucapkan pada hari semalam sahaja..malah setiap hari. Rasa kasih dan sayang kita pada bapa yang telah berkorban tenaga membesarkan kita, bersusah payah mencari sesuap nasi untuk kita haruslah diucapkan setiap saat, setiap detik, setiap masa..walaupun di dalam hati.


Abah adalah orang yang telah banyak berkorban untuk saya dan adik2, malah untuk kami sekeluarga. Pengorbanan abah tidak mungkin mampu dapat dibalas walau dengan duit ribuan ringgit. Abah tetap abah..tetap unggul dan istimewa dihati saya...


Tahun ini, saya rasa Hari Bapa lebih bermakna. Melihat sendiri anak2 mengucapkan Selamat Hari Bapa pada abah mereka, membuatkan saya terharu. Dakapan Fitri terhadap abahnya sebelum suami menaiki bas ke Shah Alam membuatkan saya rasa terharu dan bahagia dengan kasih sayang mereka.


Semoga kasih sayang ini bukan hanya untuk Hari Bapa, tapi untuk setiap hari, setiap detik dan setiap ketika...Amin.

Thursday 18 June 2009

PELAJAR DAN BELAJAR

Kesibukan di tempat kerja sudah mula terasa sejak pelajar2 menerima keputusan peperiksaan akhir. Setiap hari deringan telefon tidak berhenti2 dengan pelbagai persoalan yang kadangkala membuatkan saya termenung seketika. Itu tidak kira lagi pelajar yang berjumpa secara individu di ofis untuk meluahkan masalah berkaitan pengajian dan bertanya berbagai persoalan.


Ada dua tiga orang pelajar yang datang berjumpa dengan masalah terpaksa menambahkan tempoh pengajian, ada juga yang hendak bertukar mod pengajian ke separuh masa dan ada juga yang mahu bertukar kampus di saat2 akhir berada di UiTM. Dalam setiap pertemuan, saya sering menasihatkan pelajar, ingat apa objektif kita datang ke UiTM, sentiasa ingat tanggungjawab sebagai seorang anak pada ibu bapa, tentang susah payah keluarga, tanggungjawab diri sendiri, tanggungjawab sebagai seorang rakyat untuk negaranya...yang penting sekali tanggungjawab sebagai seorang muslim. Dalam kelas atau pertemuan secara peribadi, inilah nasihat2 saya pada pelajar.


Minggu depan peperiksaan intersessi dan peperiksaan khas bermula. Saya kata menuntut ilmu itu satu ibadah. Pesan saya pada pelajar2, belajarlah bersungguh2, pastikan anda lulus dan berbaloi dengan bayaran RM200 untuk satu subjek yang diambil. Apabila ikhlas sewaktu belajar, InsyaAllah akan dipermudahkan oleh Allah untuk menerima ilmu..dan paling penting mendapat keredhaan dari pensyarah sendiri.


Sempena peperiksaan yang akan menjelang ini, saya doakan agar semua pelajar2 yang saya kasihi mendapat kejayaan dalam peperiksaan kali ini.

Monday 15 June 2009

RINDU

Dalam diam tak diam, sudah minggu ketiga suami bertugas di Shah Alam. Setakat ini, Alhamdulilah..baby tak meragam sangat. Cuma sesekali, dia akan bertanya "ne abah?". Bila saya tanya balik pada dia, jawapannya "Cah ayam.." (pelat Shah Alam). Jumaat malam yang lepas, suami buat surprise..balik ke rumah jam 11.30 malam menaiki bas. Terharunya saya..Saya menangis dalam hati melihat ketulusan kasih suami..dan hingga sekarang ni bila saya ingat balik, saya akan menangis..menangis yang sungguh2.


Semalam hari paling sayu bagi saya..Anak2 semua balik untuk sekolah. Fitri (outing ke rumah sebelah pagi) dan Fareha pulang ke asrama , Aiman saya hantar pulang ke rumah atuknya dan suami pula pulang ke Shah Alam. Keadaan akan menjadi sunyi semula.


Saya rindu pada keriuhan dan kenakalan anak2. Rindu pada gelagat mereka. Rindu pada semua...Saya rasa dalam situasi seperti ini, saya rindu masa2 lalu...Saya berharap satu hari nanti kami dapat bersama kembali...bersama suami dan anak2...Semoga Allah memperkenankan impian saya...Amin.

Friday 12 June 2009

2 HARI LAGI..

Tinggal beberapa hari sahaja lagi cuti sekolah akan berakhir. Seorang demi seorang anak2 saya akan pulang ke sekolah. Dimulakan dengan Fitri yang pulang ke asrama pada hari Rabu lepas kerana ada program Tuisyen untuk pelajar2 tingkatan 3. Hari Ahad nanti, saya akan menghantar Fareha pulang ke asrama dan Aiman ke rumah atuknya (tinggal dengan atuk). Kehidupan akan jadi seperti biasa seperti sebelum cuti sekolah, yang tinggal hanya saya, ika dan baby. Bezanya, naik sekolah ni kami cuma tinggal bertiga, bukan berempat sebab suami dah bertugas di Shah Alam.

Rasa sedih dan sunyi sudah mula terasa..Lepas ni, tak ada lagi hari2 sibuk untuk masak breakfast dan makan malam, tak ada lagi suasana riuh rendah waktu petang anak2 bermain depan rumah...Semuanya akan jadi sunyi, kalau adapun, bunyi suara ika (puteri) dan baby menyanyi (ikut gaya mereka).

Apa2 pun, saya doakan anak2 akan berjaya dengan cemerlang dalam pelajaran mereka..Semoga mereka akan mengingati saat2 manis cuti sekolah ini...


Tuesday 9 June 2009

HARI INI TANPANYA...

Lewat petang semalam suami pulang semula ke Shah Alam setelah 2 hari bersama kami. Tiba di Segamat hampir jam 11.30 malam hari Jumaat, disambut dengan rasa rindu oleh 'baby' (anak bongsu kami yang paling manja dengan abahnya). Selepas mandi dan bersiap, suami mengajak kami semua makan malam di luar. Jam menunjukkan hampir jam 12 malam. Anak2 lain yang tertidur, turut bangun dan ceria dapat keluar makan bersama abahnya.

Hari ini, saya rasa kesunyian, bosan...nasib baik ada anak2 yang nakal sebagai teman. Merekalah teman ketawa, teman berbual, teman bergurau..! Hari ini saya balik tengahari..keluar ofis sekejap..ke pasar beli barang2 keperluan. Saya rasa rindu nak masak tengahari untuk keluarga. Suami balik 2 hari lepas tak sempat untuk saya masakkan hidangan tengahari. Cuma sediakan sarapan pagi, bubur nasi (bersama sampingannya) dan lontong goreng (resepi baru yang diakui sedap oleh suami dan anak2!).

Tengahari ni saya masak sup ikan merah, sambal tumis petai, ayam goreng bersalut tepung, kacang buncis goreng dan sambal belacan. Berselera anak2 saya makan..Teringat kat suami..Kalaulah dia ada tatkala ini disisi kami, tentu dia juga akan makan dengan berselera...Rindu saya pada dia...Saya tak sabar nak menanti masa untuk kami semua berkumpul kembali sekeluarga...

Hari ini tanpanya akan saya lalui dengan penuh kesabaran, kekuatan..Saya akan sentiasa berdoa semoga suami diberi kesihatan yang baik dan dipermudahkan segala urusan kerjanya. Saya gembira bila anak2 juga bersolat dan berdoa untuk abah mereka...Paling gembira bila si'baby' yang kecil itu pun berebut2 nak bersolat dan berdoa.

Semoga Allah sentiasa merahmati dan memberkati hidup kami...Amin.

Tuesday 26 May 2009

SAJAK UNTUK DIA..

Dia...
Sebuah nama yang terukir indah dalam hatiku...
Dia..
Sebuah nama yang terpahat teguh dalam ingatanku..
Dia..
Sekeping hati yang tulus dan suci
Sejernih embun pagi, seindah pelangi..
Dia..
Adalah ilham dalam citaku,
Mimpi indah dalam tidurku,
Kekuatan dalam jiwaku..
Dia..
Insan yang punya semangat waja,
Punya hati yang terus membara,
Setia berbakti untuk anak bangsa,
Tanpa keluh, tanpa kesah..
Dia..
Terpancar indah dalam sinar mata..
Memenuhi harapan dan cita-cita..
Dan dia..
Adalah sinarku yang abadi..


(Terima kasih untuk Dia Yang ku Sayang...)



Tuesday 12 May 2009

SALAM PERPISAHAN

Hari ini saya menghadiri 2 majlis perpisahan, majlis pertama untuk rakan pensyarah (Puan Sharifah Aliman) juga merangkap Setiausaha (orang kuat) PEWANI dan yang keduanya majlis perpisahan untuk suami saya yang dianjurkan oleh staf Bahagian Pentadbiran. Bila menghadiri majlis seperti ini, ia tak akan lari dari perasaan sebak, sedih, terharu dan airmata...begitu juga saya. Semasa saya menghadiri majlis Puan Sharifah Aliman, saya rasa sebak kerana lepas ni saya tak tahu bila saya akan dapat bertemu kembali dengan beliau (yang dikenali sebagai Kak Ana). Dialah rakan, dialah kakak, dialah tempat rujukan, dialah idola....dan dia adalah dia...yang tetap unggul, tabah dan kuat untuk hadapi segala dugaan.


Majlis perpisahan suami dibuat di Hotel VIP, Segamat. Mungkin bagi saya, perasaan sebak tidaklah seperti staf2 yang lain. Saya masih boleh berjumpa suami setiap hujung minggu dan yang pastinya saya dan anak2 akan bersama suami pada hujung tahun ini (perancangan kami untuk berpindah ke Shah Alam). Lagipun saya dah menangis sejak 3 ke 4 minggu yang lalu sewaktu mendengar khabar angin suami akan berpindah. Masa tu saya menangis sampai bengkak2 mata (seperti yang saya ceritakan pada entri sebelum ini). Bagi staf pentadbiran, mungkin ia merupakan satu kehilangan yang amat besar..


Kadangkala perpisahan itu indah..kerana ia mengajar kita untuk lebih menghargai apa yang kita telah tiada. ..

Sunday 10 May 2009

HAPPY MOTHER'S DAY

"Happy Mother's Day. I love you" Itulah sms (pesanan ringkas) yang saya terima dari abang uda (anak ketiga) sempena Hari Ibu hari ini. Fitri dan Fareha mengucapkannya sewaktu saya hantar mereka pulang ke asrama tadi. Bangga menerima ucapan tersebut dari anak2. Bagi saya, itulah hadiah dan penghargaan yang paling bernilai dan bermakna, tulus dari hati anak2...

Minum petang tadi seperti minggu yang lalu, saya sediakan cucur ikan bilis, goreng sosej dan air teh susu (kegemaran Fitri). Masuk saja ke dapur Fitri dah bertanya"Hmmm..sedapnya bau..Mama masak apa?" Saya kata "Alah..mama goreng jemput2 aje..Itupun bau sedap ke..? Mama dah buatkan air teh, kegemaran ayong." Lepas tu, Fitri kata, "Mama ni memanglah Mama yang baik.." Hampir menitik airmata saya mendengar kata2 Fitri. Sambil menuang air dalam gelas, hati saya berkata2 'macamana kalau mama dah tak ada lagi...? ' Saya tak dapat membayangkan bagaimana perasaan anak2 bila saya tiada lagi untuk selama2nya...

Mereka adalah kehidupan saya. Waktu saya berdoa selepas solat tadi, saya rasa saya perlu hidup, perlu kuat semangat...untuk anak2 dan suami. Dan secara hakikatnya, kerana Allah s.w.t. Sepanjang perjalanan dari Kulai ke Segamat, saya rindukan emak...dan terbayang segala pengorbanan emak selama ini. Sempena Hari Ibu ini, saya doakan emak dan emak mentua saya sihat dan dirahmati Allah selalu. Terima kasih untuk semua yang bergelar ibu.....

Thursday 7 May 2009

Hati seorang Guru...

Hari ini saya agak sibuk menghabiskan marking final paper pelajar. Suami ke Trengganu kerana ada program staf. Sambil 'marking' hati merungut2, geram dengan beberapa jawapan pelajar yang langsung tidak memuaskan hati! Rasa macam penatnya selama ini mengajar diorang satu persatu, buat latihan dalam kelas, bincang soalan tutorial, tiba-tiba...jawapan macam tak pernah belajar...!Eeee...geramnya!!! Tapi bila tengok skrip jawapan pelajar yang baik, rasa seronok sikit..Rasa bangga kerana ada juga pelajar yang baik dan benar2 memanfaatkan ilmu yang telah disampaikan.



Apa2pun saya berdoa agar saya sempat menabur bakti kepada anak bangsa agar mereka dapat menjadi insan yang berilmu, beriman dan mulia. Doa ini juga saya selalu panjatkan kepada Allah S.W.T untuk anak2 saya. Andaikata saya tidak sempat memberikan segala ilmu yang saya ada untuk anak2 dan juga anak bangsa, cukuplah sekadar mereka mengingati saya sebagai seorang ibu dan guru yang pernah mendidik mereka....


Monday 4 May 2009

Jika inilah Aturan Allah...

Aturan Allah S.W.T memang sangat cantik. Dan setiap yang telah ditakdirkan ia berlaku memang ada rahmatnya. Mula2 saya mengalami keguguran yang ketiga 2 bulan yang lepas, saya rasa teramat sedih. Saya menjadi orang yang sangat sensitif...lebih2 lagi bila melihat 'pregnant woman' atau bila ada orang bercerita tentang wanita mengandung. Saya suka termenung..menyalahkan diri sendiri dan terlupa dengan takdir dan rahmat Allah. Tapi hari ini, saya yakin bahawa setiap yang berlaku adalah aturan Allah yang sangat cantik.


Bila sendirian, saya terfikir, kalaulah saya tidak mengalami keguguran, sekarang ni saya sedang hamil masuk bulan ke lima dan dijangka bersalin pada 21 September. Suami pula akan berpindah ke Shah Alam pada 1 Jun ini. Mungkin rutin harian saya akan kelihatan lebih sukar, dengan kehamilan dan tinggal bersendirian, menjaga anak2 yang kecil 2 orang ni...memantau 2 orang anak yang berada di asrama, seorang lagi yang ada bersama atuknya juga hendak dijenguk, tugas2 hakiki di pejabat..Semuanya akan dilakukan sendiri! Itulah rahmat Allah...Allah ambil kebahagiaan saya yang lain dan menggantikannya pula dengan yang lain...

Sekarang ni..saya tidak hamil..mungkin saya ada kekuatan dan boleh lasak untuk melaksanakan tugas2 saya sebagai ibu dan pekerja dari hari Isnin hingga Jumaat. Hujung minggu mungkin suami akan pulang, dan saya akan menjalankan tanggungjawab sebagai isteri pula. Kalau diizinkan Allah, mengikut perancangan, mungkin saya dan 2 orang anak yang kecil akan berpindah mengikut suami ke Shah Alam bulan Disember nanti. Mungkin Allah telah merancangkan sesuatu yang lebih bahagia dan bermakna untuk kami dengan perpindahan ini. Saya mohon restu dan keberkatan dari Allah agar Dia memberikan yang terbaik untuk kami dan keluarga kami....Amin.




Wednesday 29 April 2009

SUNYINYA HATI...

Semalam saya tinggal bertiga dengan Puteri dan baby. Suami ke Shah Alam ada urusan kerja. Pertama kali saya terasa kekosongan, bosan dan sedih. Saya terfikir inilah yang akan saya lalui mulai 1 Jun nanti. Baby macam biasa..bila dah hampir senja abah dia tak balik lagi, dia akan tanya.." ne abah? " Saya kata, " abah kerja..". Lepas tu dia sambung main. Saya tak tahu apa jawapan saya untuk hari2 seterusnya mulai 1 Jun ini. Kalau selalu suami outstation, baby pastinya susah nak tidur, merengek..dan kadangkala demam. Saya berdoa agar ketiadaan suami nanti, dia akan bertambah kuat dan mengerti..




Semalam suami menelefon tentang rumah sewa yang sedang dicari. Memang sukar untuk mencari rumah yang selesa untuk kami dengan harga yang berpatutan di Shah Alam. Kesian suami..bersusah payah dia mencari untuk keselesaan kami nanti. Saya cuba2 juga bertanya kawan lama yang telah menetap lama di Shah Alam tapi harganya memang sekitar itu juga. Ada beberapa orang kawan yang saya belum bertanya. Kawan yang telah 23 tahun tak pernah berjumpa..tapi tak apa..harap2 dia masih ingat saya lagi. Saya perlukan pertolongannya untuk rumah sewa. Saya berdoa agar Allah permudahkan segala urusan kami untuk berpindah di tempat yang baru.




Tuesday 28 April 2009

Peperiksaan Akhir dan Menghormati..

Sekarang ini musim peperiksaan. Para pensyarah masing2 sibuk membawa 'bundle' kertas jawapan ke sana sini. Masing2 mempunyai tanggungjawab untuk menilai jawapan pelajar dan secara tidak langsung melihat hasil penat lelah mengajar anak bangsa selama satu semester.


Dalam kesibukan saya menanda kertas2 jawapan, terdetik di hati saya untuk berbicara tentang sikap hormat menghormati. Bagi saya sikap saling menghormati amat penting menjadi nilai dalam diri individu. Saling menghormati ini bukan setakat antara ketua dan anak buahnya, antara ketua keluarga dan ahli keluarganya, malah antara pelajar dan pensyarah serta kita semua sesama makhluk Allah. Bagaimana kita mahu rasa dihormati? Kita sendiri harus menghormati orang lain..Saya dan suami selalu mengingatkan anak2, bahawa sebagai pelajar, kita harus menghormati guru, kerana merekalah yang telah memberi ilmu dan bersusah payah mendidik kita hingga kita berjaya. Kejayaan juga boleh datang apabila hidup kita dirahmati...tentunya dengan keberkatan.


Bila menanda kertas2 jawapan, saya terbayang satu persatu gelagat pelajar2 saya. Kadang2 bagaikan satu hubungan yang signifikan bila pelajar yang baik, menghormati orang lain, biasanya mendapat markah yang baik berbanding pelajar yang tidak tahu menghormati orang. Markah dan keputusan ini bukanlah dibuat2 kerana bila saya menanda kertas jawapan pelajar, saya tidak akan mencari nama mereka. Saya hanya melihat nama mereka untuk masukkan markah di peringkat terakhir sekali. Saya tak nak 'bias'.


Menghormati perasaan orang lain mungkin susah tapi untuk melukakan hati orang lain cukup senang. Prinsip saya senang saja..kita akan rasa dihormati bila kita juga menghormati .....Semoga kita semua hidup dalam keberkatan. Amin...


Sunday 26 April 2009

KHABAR UNTUK KAMI..

Menerima sesuatu berita yang menyedihkan memang bukan harapan setiap orang. Apabila menerima khabar2 angin bahawa suami akan dipindahkan ke shah alam kira2 2 minggu yang lepas, saya sangat sedih. Saya menangis tak berhenti2 sampai bengkak mata saya. Apa tidaknya, sejak berkahwin dan menetap di Sabah, kami tidak pernah berjauhan kecuali untuk outstation. Namun, setelah beberapa hari, saya berfikir dan berdoa, barulah saya tersedar bahawa semua yang ditakdirkan oleh Allah, adalah yang terbaik untuk kita. Saya redha dan saya sentiasa berdoa, semua ini adalah rahmat yang Allah beri untuk kami. Allah Maha Mengetahui dan Maha Pengasih. Saya akan sentiasa berdoa untuk kesejahteraan kami sekeluarga. Semoga ia akan memberi kebahagiaan untuk kami.

Hari ini, anak2 saya, Fitri dan Fareha pulang ke rumah-'outing'. Mula2 rasa berat untuk memberitahu mereka. Akhirnya, saya mengumpulkan kekuatan untuk memberitahu Fitri bahawa abah mereka akan berpindah ke shah alam , mulai 1 Jun ini. Mula2 nampak dia terkejut. Tapi, kemudian dia mula menerima...

Untuk sementara ini, saya akan tinggal di Segamat, menguruskan kerja2 yang masih banyak dan anak2 yang bersekolah. Fitri akan ambil PMR tahun ini. Saya mahu bersama dia di saat2 genting ini. Mungkin, jika Allah izinkan, saya akan memohon untuk berpindah mengikut suami awal tahun hadapan. Memang menyiksakan membilang hari2 yang berlalu hingga 1 Jun ini, namun saya yakin dan percaya, ia adalah yang terbaik untuk kami. Semoga kejauhan ini akan membuatkan hati2 kami sentiasa dipenuhi dengan kasih sayang dan rindu. Saya pasti bahawa apa yang Allah takdirkan akan memberikan kebahagiaan untuk hambanya...Amin.

Tuesday 21 April 2009

Graduan tersayang..

Hari Jumaat yang lepas saya menghadiri Malam Pra Graduan, satu jamuan makan malam khusus untuk meraikan pelajar2 yang akan dan sepatutnya tamat pada semester ini. Bagi saya, menghadiri majlis ini merupakan sesuatu yang amat bermakna...dan saya pasti semua pensyarah akan mempunyai perasaan yang sama dengan apa yang saya rasa. Kenapa ia bermakna? Kerana pada malam inilah, para pensyarah dapat melihat wajah2 graduan yang berjaya dihasilkan dengan keringat dan pengorbanan dari segi masa, tenaga untuk anak bangsa tercinta! Saya pasti dan yakin semua pensyarah telah memberikan ilmu mereka dengan seikhlas hati dan sepenuh kasih sayang dan pertimbangan wajar.


Saya berharap agar anak2 didik saya, pelajar2 saya akan memanfaatkan ilmu yang telah saya ajar pabila mereka bekerja kelak. Saya juga berdoa agar mereka semua berjaya dan menjadi yang lebih baik dari apa yang mereka jadi pada hari ini. Bagi bekas2 pelajar saya yang telah sama2 menjadi pensyarah dan mengajar di tempat yang sama, saya sebenarnya berasa amat bangga terhadap mereka. Inilah bukti bahawa saya berjaya menghasilkan graduan yang bukan sahaja cemerlang tetapi juga gemilang dan terbilang.


Semoga mereka menjadi insan yang berjaya

Thursday 16 April 2009

Sekali Lagi...

Petang selasa yang lepas, 14 April 2009, saya buat D & C sekali lagi untuk mengeluarkan darah beku yang masih banyak di dalam. Pukul 4.30 pagi saya terjaga kerana tiba2 darah keluar membuak2 tanpa dapat ditahan. Berketul2 darah beku keluar..bilik air saya penuh dengan darah..Saya sendirian, tanpa kejutkan suami. Saya tak mahu dia panik atau terkejut melihat keadaan itu. Apa2 pun saya harus pastikan, saya mempunyai kekuatan untuk menyiapkan pakaian suami, anak2 dan saya sendiri kerana pagi tu harus menghadiri bengkel "Mesyuarat Efektif".


Kadang2 saya rasa, saya dah 'give up' untuk berjumpa doktor membuat pemeriksaan, dah 'give up' nak makan ubat dan sebagainya. hati berbelahbagi untuk berjumpa doktor pakar. Akhirnya atas pujukan suami tersayang, saya pergi juga ke sebuah klinik pakar O & G. Bila di 'scan' didapati masih banyak lagi darah beku yang tertinggal di dalam, kesan dari D & C saya yang sebelum ini. Petang itu, tepat pukul 5, sekali lagi saya membuat D & C. Pada satu tahap, saya rasa saya kena redha saja atas apa yang berlaku pada diri saya. Saya penat berjumpa doktor dan makan ubat sebenarnya (sesuatu yang paling saya tak suka!) Mungkin kerana itu, Allah kurang memberi saya sakit(sebab tak suka makan ubat - Allah itu Adil)


Kalaulah ikutkan badan, memang saya rasa agak lemah. Ramai kawan2 menegur muka saya nampak lain-nampak sembap dan mata bengkak macam menangis. Saya kata tidak. Saya pun tak tahu kenapa..sedangkan saya kurangkan makan (nak jaga badan!) Tapi, sebab saya suka bekerja dan saya harus kuatkan semangat untuk anak2 saya, suami dan keluarga..maka saya kena kuat! Saya tak mahu anak2 nampak saya lemah...Saya tak mahu anak2 tahu saya tak sihat..Saya nak mereka ceria...ceria melihat saya. Kalau orang lain bersedia untuk mengakhiri hidup lebih awal, saya tidak..Saya mahu hidup lebih lama..bukan untuk saya...bukan untuk kegembiraan saya..tapi saya mahu hidup untuk anak2 saya..untuk suami saya..Saya mahu menjaga mereka, menyayangi mereka sehingga mereka benar2 bersedia untuk saya tinggalkan...

Hari ini, saya bersyukur kerana Allah beri saya kekuatan untuk meneruskan hidup walaupun dalam keadaan yang tidak sihat. Hari ini saya bersyukur kerana ada anak2 yang dapat hiburkan hati saya dalam keadaan saya lemah, ada suami yang menyayangi saya dalam keadaan saya tidak berdaya..Merekalah kekuatan saya..merekalah semangat saya...Semoga Allah sentiasa merahmati mereka dan memberkati hidup kami...Amin.

Friday 10 April 2009

Hari Lahir...

5 April yang lepas adalah ulangtahun hari lahir saya yang ke 40. Bila buka email ramai kawan2 yang mengucapkan selamat hari lahir, tak ketinggalan juga yang menghantar sms. Dalam diam tak diam, umur telahpun masuk ke angka 4... Saya rasa, sekarang ni saya patut berubah. Mana yang tidak elok, kena dielokkan. Saya harus buang segala sifat2 saya yang tidak baik (yang saya tak sedar) untuk menjadi insan yang lebih baik dari hari2 yang lepas.


Memang susah untuk mengubah sifat yang sudah sebati dengan diri kita. Tapi, saya harus berubah..kerana Allah. Saya harus berubah untuk menjaga dan membelai amanah yang Allah beri kepada saya..suami, anak2 dan keluarga..Saya tahu, umur saya untuk melihat dunia ini tidak panjang..masa untuk saya bersama insan2 yang saya sayang sangat terhad. Usia adalah milik Allah..Dia yang Maha Pencipta..Hanya Dia yang Mengetahui..

Friday 3 April 2009

Fareha

Alhamdulillah...akhirnya impian dan harapan saya dan suami untuk melihat Fareha ke asrama tercapai juga. Saya menghantarnya ke sebuah sekolah berasrama di Segamat ni pada hari Selasa yang lepas setelah menyiapkan segala dokumen yang diperlukan. Memang rasa terharu dan sayu melalui saat2 perpisahan ini. Tapi..banyak yang saya fikirkan..semuanya tentang masa depan dia. Saya mahu dia belajar hidup berdikari..menguruskan masa, menguruskan diri sendiri, bertanggungjawab dengan segala keputusan dan perbuatan yang dilakukan..Semuanya akan dipelajari di asrama.

Sejak bersekolah di sana, hampir setiap hari dia menghubungi saya. Dan saya akan selalu mengingatkannya tentang solat dan belajar. Saya mahu dia menjadi anak yang baik, bijak, berhemah tinggi dan dapat berbakti kepada anak bangsa satu hari nanti.

Semoga Fareha beroleh al-Falah. Itulah doa saya...Amin.




Saturday 28 March 2009

PERISTIWA 2 DAN 3 MAC 2009

Saya masih ingat lagi hari itu. Sewaktu sedang menghadiri bengkel PDCA yang dianjurkan oleh Unit Kualiti untuk penulis-penulis dokumen AKNC, saya ke bilik air sebentar. Alangkah terkejutnya saya bila mendapati ada sedikit darah yang keluar. Saya mengajak suami berjumpa doktor untuk melihat keadaan kandungan saya yang sebelum ini didapati tidak kelihatan melalui ‘ultrasound’. Setelah diperiksa melalui ‘ultrasound’ memang sah didapati bahawa janin di dalamnya telah mengecut dan tiada denyutan jantung.


Keesokkannya saya ke klinik Pakar Sakit Puan dan Perbidanan untuk buat D & C. Memang pada mulanya, susah untuk menerima keadaan ini. Hati ini penuh dengan seribu persoalan dan perasaan. Tapi, saya percaya dan amat yakin pada kuasa ALLAH. Bagi saya setiap yang berlaku adalah kehendak ALLAH. Pernahkah di antara kita yang menjadi ibu, mempunyai perasaan untuk menggugurkan kandungan sendiri? Saya percaya setiap yang berlaku ada hikmahnya.


Sewaktu fikiran saya berkecamuk dengan persoalan tersebut, seorang kawan (ustazah Zuina ) datang menemui saya. Saya menceritakan perasaan sedih saya dengan apa yang terjadi. Beliau bercerita kepada saya bahawa ada seorang kawannya juga mengalami nasib yang sama seperti saya. Tetapi kandungannya gugur sewaktu berumur enam (6) bulan. Dia sangat sedih dan tidak dapat menerima kenyataan tersebut. Dia marah, rasa bersalah, menyesal dan seribu perasaan lagi. Semasa dia dalam kesedihan dan marah2 itu, seorang jururawat datang menemuinya dan berkata “Puan, puan tak dapat menerima keadaan ini? Tak apa. Saya akan tunjukkan sesuatu pada Puan. Lepas ni, terpulang pada Puan untuk menerima takdir Allah ini atau tidak.” Jururawat itu keluar sebentar dan datang beberapa minit kemudian.
“Puan, ini jenazah anak Puan. Puan tengoklah. “ kata jururawat tersebut.


Alangkah terkejutnya kawan Ustazah Zuina apabila mendapati jenazah bayinya bukanlah bayi yang sempurna. Muka bayinya senget, kedua-dua tangannya pula panjang hingga ke kaki dan kedua-dua belah kakinya pendek hanya sehingga lutut.
Jururawat itu bertanya kepada wanita tersebut, “Puan, sekiranya bayi ini hidup, adakah Puan akan menjaganya, menyayanginya seperti anak2 yang lain?”
Terdiam kawan Kak Zuina dengan kata2 itu. Baru dia sedar bahawa setiap yang berlaku, yang telah Allah takdirkan ada hikmahnya.


“Zu, apa yang berlaku pada mu tu ada hikmahnya. Macamana mu makan pil yang terbaik sekalipun, kalau ia jadi tak sempurna, ia tetap tak sempurna. Kalau Allah tak nak ia jadi, ia tetap tak jadi. Cuba mu bayangkan, mu makan pil yang terbaik untuk dia kukuh dalam kandunganmu,sedangkan pembentukan dia tu tak sempurna, dia selamat dilahirkan, tapi dia cacat macam bayi kawan aku tu, mu nok tak jaga dia? Aku tanya mu ni! Mu malu tak?” Tanya Kak Zuina dengan lohgat Trengganunya. Saya tersedar dengan kata2 Kak Zuina. Keyakinan saya terhadap kuasa Allah semakin tinggi.


Saya teringat waktu saya mengandungkan anak sulung 15 tahun lalu. Saya bukannya makan folic acid pun atau apa2 ubat yang terbaik pun. Doktor hanya memberi saya ‘Obimin’ untuk di makan setiap hari. (Nota: Obimin adalah gabungan folic acid dan beberapa vitamin lain) Itupun saya tak selalu makan. Saya jatuh beberapa kali sewaktu mengandung. Namun bila Allah nak jadikan ia sempurna, Allah nak beri rezeki kepada saya dan suami, Allah tetap beri dan ia tetap sempurna. Itulah kehendak Allah. Itulah kuasa Allah. Siapakah saya untuk mempersoalkan kejadian dan ketentuan Allah? Siapakah saya yang memberi hukuman ke atas apa yang berlaku?


Sehingga hari ini, masih ada lagi kawan2 yang mengucapkan takziah. Namun saya hanya senyum. Dalam hati saya berkata, Hanya ALLAH mengetahui apa yang dikehendakiNya. Subhanallah..Besarnya ALLAH..

Wednesday 25 March 2009

SAYA ADALAH SAYA..

Saya adalah orang yang kagum dengan diri sendiri. Bila saya berpeluang untuk fikir dan renung dalam2 tentang diri saya, saya rasa saya ada keistimewaan sendiri yang mungkin tidak nampak secara lahiriah (bukan nak membangga diri..cuma perasan aje!) Saya suka membaca buku2 motivasi, buku2 tentang personaliti, tentang kesihatan dan penjagaan diri dan macam2 lagi kecuali politik! Saya memang tak minat langsung dengan politik!



Waktu saya bersekolah rendah dulu, bila cikgu tanya apa cita2 kamu..berikan 3 cita2. Salah satunya ialah menjadi kaunselor. Saya pun tak tahu macamana murid darjah 2 boleh berfikir untuk menjadi kaunselor. Pensyarah adalah cita2 saya yang pertama dan guru adalah cita2 saya yang ketiga. Minat saya terhadap bidang psikologi dan kaunseling amat mendalam hinggalah sekarang. Bila saya fikir, saya pun tak sangka dan tak tahu bagaimana saya boleh menjadi seorang pensyarah...Ekonomi pulak tu!


Waktu belajar, sejak dari sekolah rendah saya ada ramai kawan..Bukan setakat itu, ramai orang kenal saya walaupun saya tak kenal ramai orang. Sejak kecil lagi, saya sedar bahawa mimpi2 saya banyak yang menjadi kenyataan..and its real! Sebiji macam mimpi..! Bila saya meningkat dewasa pun keadaan yang sama berlaku..bukan setakat mimpi..tapi saya mendapat ilham atau petunjuk waktu sedang solat. Misalnya, keputusan2 peperiksaan saya, saya tahu terlebih dahulu waktu saya solat..seolah2 ternampak dengan nyata gred dan 'point' yang saya dapat. Bila keputusan sebenar keluar, memang sah itulah keputusan peperiksaan saya. Kadang2 emak saya bertanya, "macamana kamu boleh bermimpi macam tu, ya? " Saya pun tak tahu jawapannya. Cuma, satu aje pegangan saya..ALLAH ITU ADIL.


Saya bukanlah percaya sangat pada ramalan2 bintang atau 'tok nujum'..Satu hari kawan saya melihat tarikh lahir saya. Kata beliau, menurut kitab Tajul Muluk, saya ni orang yang popular (maksudnya disukai dan dikenali ramai orang). Dia tanya saya, 'betul ke?' Saya terdiam sekejap..merenung balik kehidupan saya masa lalu..Hmmm..betul..masa saya di MRSM dulu ramai orang sukakan saya. Kalau saya tolong kawan jaga kedai koperasi, ramai betul pelajar2 lelaki yang akan menyerbu. Saya tak tahu kebetulan atau tidak, tapi bila ramai yang menyerbu (sebab nak tengok saya kot..) kenalah membeli! Hinggakan kawan saya kata, 'lainkali kalau nak untung, suruh Zura ajelah jaga kedai'. Tapi..maaf..saya bukan AJK kedai.


Waktu keputusan UPSR anak saya nak keluar (November lepas), pagi tu waktu saya solat dan berdoa, saya ternampak keputusan yang bakal diperolehi..3A2B. Saya cuba nak memadamkannya tapi tak boleh. Hari tu saya bersemangat, minta keluar pejabat, pulang ke Labis untuk bersama dia mengambil keputusan. Sepanjang perjalanan selama 40 minit, saya berdoa agar apa yang saya nampak tidak berlaku. Akhirnya apabila keputusan keluar, memang sah! Itulah keputusannya.


Saya ni suka menyelesaikan masalah orang. Saya lah tempat kawan2 mencurahkan perasaan, mendapatkan nasihat..Pada pelajar pun sama..saya suka memberi nasihat (bukan berleter) dengan meletakkan diri saya di tempat mereka. Di kalangan kawan2 dalam jabatan pun sama, seboleh mungkin saya akan cuba menyelesaikan segala kekusutan dengan baik agar semua orang berpuas hati. Itulah saya...


Setiap hari, saya akan berdoa, agar saya terus kuat, terus menjadi orang yang paling sabar dan menjadi orang yang berjaya..Mungkin ada kekangan2 yang tidak dapat saya kawal sepenuhnya tapi saya akan cuba menjadi yang terbaik yang saya mampu. Bagi saya, yang penting, hati kena IKHLAS..dan sentiasa ingat bahawa ALLAH ITU ADIL.

Thursday 19 March 2009

BERAKHIRNYA CUTI SEKOLAH

Cuti sekolah telah berakhir- meninggalkan kenangan yang paling indah untuk saya dan anak2. walaupun cuti kali ini saya dan suami tak sempat membawa mereka ke mana2, namun saya berpuashati kerana berpeluang menjadi ibu 'mithali' (perasan) walaupun sekejap. Anak2 pun berpuashati dapat menghabiskan masa bersama kami- abahnya membawa mereka pergi bermain bowling, kami pergi minum malam bersama dan ia berakhir dengan menghadiri program motivasi Fareha.



Namun dalam kesedihan saya untuk mengakhiri cuti sekolah ini, saya juga berasa gembira pada waktu ini kerana Puteri saya kembali bersekolah bersama saya di sini. Saya menghantarnya ke TADIKA UiTM pagi tadi. Dia sungguh gembira dapat berjumpa dengan kawan-kawan lamanya, berjumpa cikgu baru dan paling penting dapat bersama kami - abah dan mamanya!

Semoga Puteri selesa dengan sekolah barunya..Saya berazam untuk menjaga Puteri sebaik yang mungkin...kerana dia ....PUTERI...

CUTI SEKOLAH

Tak puas rasanya menikmati waktu cuti sekolah yang cukup singkat bagi saya. Lima hari bersama anak2(Fareha, Aiman, Ika) dan 3 hari bersama Fitri membuatkan saya rasa sangat2 gembira. Sepanjang cuti sekolah ini, rutin harian saya turut berubah. Kalau sebelum ini, saya bangun pagi dengan bersantai, malam pun jarang2 juga masak tapi bila cuti sekolah ni, pagi saya kena bangun seawal 5.30 pagi, masakkan lauk pauk dan nasi untuk makan tengahari anak2, saya juga buatkan breakfast untuk mereka..heavy breakfast! Saya rasa memang betul2 macam ibu mithali! Malam pulak, saya akan tidur lambat, basuh kain baju dan siapkan bahan2 untuk dimasak waktu pagi keesokannya. Itulah rutin saya sejak beberapa hari ini. Tapi, saya bahagia.

Saya rasa, alangkah baiknya kalau saya dapat begini selalu, menjadi ibu dan isteri yang sempurna untuk anak2 dan suami tercinta. Esok, Fareha akan pulang semula ke Labis. Dia ada program sekolah-program motivasi! Saya dah mula rasa sayu..Rasa macam belum puas lagi nak bersama mereka. Minggu depan saya akan kembali tinggal bertiga, dengan suami dan baby yang nakal tu! Babylah tempat saya bergaduh dan bermain..

Apa2 pun saya akan cuba buat yang terbaik untuk mereka..agar mereka dapat simpan segala kenangan cuti ini yang terindah dalam ingatan mereka...