Saturday 28 March 2009

PERISTIWA 2 DAN 3 MAC 2009

Saya masih ingat lagi hari itu. Sewaktu sedang menghadiri bengkel PDCA yang dianjurkan oleh Unit Kualiti untuk penulis-penulis dokumen AKNC, saya ke bilik air sebentar. Alangkah terkejutnya saya bila mendapati ada sedikit darah yang keluar. Saya mengajak suami berjumpa doktor untuk melihat keadaan kandungan saya yang sebelum ini didapati tidak kelihatan melalui ‘ultrasound’. Setelah diperiksa melalui ‘ultrasound’ memang sah didapati bahawa janin di dalamnya telah mengecut dan tiada denyutan jantung.


Keesokkannya saya ke klinik Pakar Sakit Puan dan Perbidanan untuk buat D & C. Memang pada mulanya, susah untuk menerima keadaan ini. Hati ini penuh dengan seribu persoalan dan perasaan. Tapi, saya percaya dan amat yakin pada kuasa ALLAH. Bagi saya setiap yang berlaku adalah kehendak ALLAH. Pernahkah di antara kita yang menjadi ibu, mempunyai perasaan untuk menggugurkan kandungan sendiri? Saya percaya setiap yang berlaku ada hikmahnya.


Sewaktu fikiran saya berkecamuk dengan persoalan tersebut, seorang kawan (ustazah Zuina ) datang menemui saya. Saya menceritakan perasaan sedih saya dengan apa yang terjadi. Beliau bercerita kepada saya bahawa ada seorang kawannya juga mengalami nasib yang sama seperti saya. Tetapi kandungannya gugur sewaktu berumur enam (6) bulan. Dia sangat sedih dan tidak dapat menerima kenyataan tersebut. Dia marah, rasa bersalah, menyesal dan seribu perasaan lagi. Semasa dia dalam kesedihan dan marah2 itu, seorang jururawat datang menemuinya dan berkata “Puan, puan tak dapat menerima keadaan ini? Tak apa. Saya akan tunjukkan sesuatu pada Puan. Lepas ni, terpulang pada Puan untuk menerima takdir Allah ini atau tidak.” Jururawat itu keluar sebentar dan datang beberapa minit kemudian.
“Puan, ini jenazah anak Puan. Puan tengoklah. “ kata jururawat tersebut.


Alangkah terkejutnya kawan Ustazah Zuina apabila mendapati jenazah bayinya bukanlah bayi yang sempurna. Muka bayinya senget, kedua-dua tangannya pula panjang hingga ke kaki dan kedua-dua belah kakinya pendek hanya sehingga lutut.
Jururawat itu bertanya kepada wanita tersebut, “Puan, sekiranya bayi ini hidup, adakah Puan akan menjaganya, menyayanginya seperti anak2 yang lain?”
Terdiam kawan Kak Zuina dengan kata2 itu. Baru dia sedar bahawa setiap yang berlaku, yang telah Allah takdirkan ada hikmahnya.


“Zu, apa yang berlaku pada mu tu ada hikmahnya. Macamana mu makan pil yang terbaik sekalipun, kalau ia jadi tak sempurna, ia tetap tak sempurna. Kalau Allah tak nak ia jadi, ia tetap tak jadi. Cuba mu bayangkan, mu makan pil yang terbaik untuk dia kukuh dalam kandunganmu,sedangkan pembentukan dia tu tak sempurna, dia selamat dilahirkan, tapi dia cacat macam bayi kawan aku tu, mu nok tak jaga dia? Aku tanya mu ni! Mu malu tak?” Tanya Kak Zuina dengan lohgat Trengganunya. Saya tersedar dengan kata2 Kak Zuina. Keyakinan saya terhadap kuasa Allah semakin tinggi.


Saya teringat waktu saya mengandungkan anak sulung 15 tahun lalu. Saya bukannya makan folic acid pun atau apa2 ubat yang terbaik pun. Doktor hanya memberi saya ‘Obimin’ untuk di makan setiap hari. (Nota: Obimin adalah gabungan folic acid dan beberapa vitamin lain) Itupun saya tak selalu makan. Saya jatuh beberapa kali sewaktu mengandung. Namun bila Allah nak jadikan ia sempurna, Allah nak beri rezeki kepada saya dan suami, Allah tetap beri dan ia tetap sempurna. Itulah kehendak Allah. Itulah kuasa Allah. Siapakah saya untuk mempersoalkan kejadian dan ketentuan Allah? Siapakah saya yang memberi hukuman ke atas apa yang berlaku?


Sehingga hari ini, masih ada lagi kawan2 yang mengucapkan takziah. Namun saya hanya senyum. Dalam hati saya berkata, Hanya ALLAH mengetahui apa yang dikehendakiNya. Subhanallah..Besarnya ALLAH..

No comments:

Post a Comment