Thursday 12 March 2009

ERTI KEIKHLASAN

Panggilan telefon petang semalam dari seorang sahabat lama waktu menuntut di MRSM dulu membuatkan saya terpanggil untuk menulis blog ini. N adalah sahabat lama saya yang telah hampir 20 tahun tak berjumpa. Selalunya kami berhubung melalui facebook dan email. Pernah sekali dulu, November 2008 kami beberapa orang ex-MRSM Taiping berjumpa di Shah Alam, termasuk N. Sejak itu, kami sentiasa berhubung, melalui facebook tentunya!

Panggilan dari N semalam benar2 mengusik perasaan dan jiwa saya. Saya turut bersimpati dengan apa yang dilaluinya. Menurut N, beliau baru dapat tahu bahawa suaminya menyintai staf di ofisnya sendiri. Bukan anak dara tetapi isteri orang! Rupa2nya suaminya telah lama menyimpan perasaan tersebut, sejak 2 tahun yang lepas. Walaupun sebelum ini ada beberapa orang staf di ofis tersebut ada memberitahunya tentang hal itu, tapi N tak percaya. Beliau percaya dan sangat yakin pada kejujuran suaminya. namun setelah kebetulan beliau terjumpa satu SMS romantik di telefon bimbit suaminya yang dituju kepada wanita itu , membuatkan N rasa sungguh kecewa. Saya tak tahu apa yang harus saya katakan pada N. Cuma saya minta N bersabar dan banyak mengaji.


Sebenarnya bukanlah cerita kekecewaan N yang ingin saya paparkan cuma saya ingin katakan tentang kejujuran dan keikhlasan. Bagi saya keikhlasan hati kita menerima seseorang atau sesuatu dalam hidup kita itu penting. Bila kita ikhlas menerima seseorang sebagai isteri atau teman atau sahabat, kita harus terima segala keburukan dan kebaikan, kekurangan dan kelebihan, kelemahan dan kekuatan seseorang itu. Allah sentiasa merahmati satu hubungan yang ikhlas. Keikhlasan akan menerbitkan kejujuran...Memang sedih bila mendengar atau membaca cerita2 tentang kecurangan suami/isteri, walaupun mungkin bukan dilihat secara zahir namun apabila ada perasaan menyintai diam2 terhadap orang lain, tentu akan mengecewakan pihak suami/isteri.


Saya pernah terbaca dalam satu artikel bahawa seorang isteri mempunyai nalurinya tersendiri. Naluri seseorang isteri itu dapat membaca sama ada suaminya ada menaruh perasaan terhadap orang lain atau tidak. Apa2 pun bagi saya, hati yang ikhlas akan membawa seribu kebahagiaan. Saya tak nampak mengapa kita mesti mencari kelebihan orang lain jika hati kita ikhlas menerima pasangan kita? Jika kelebihan itu kemudiannya dijadikan perbandingan, tiada keikhlasan maknanya dalam perhubungan. Dan jika kita sentiasa mencari kelebihan orang lain, sampai bila2 pun kita tak akan nampak kelebihan yang ada pada pasangan kita.

Mengapa kita tidak gantikan sahaja mencari kelebihan itu dengan rasa syukur dengan anugerah yang Allah beri? Allah telah menganugerahkan kita dengan pasangan yang terbaik untuk kita. Pasangan itu adalah amanah Allah. Kita yang harus menjaga amanah tersebut. Bagi saya, baik suami atau isteri masing-masing kena menjaga amanah yang Allah berikan ini dengan sebaik2nya, dengan ikhlas dan penuh rasa syukur.

Saya sentiasa berdoa agar Allah S.W.T sentiasa merahmati kebahagiaan saya. Setakat ini, saya bahagia dengan suami yang penyayang, jujur dan ikhlas menerima saya sebagai isteri, saya bahagia dengan anak2 kami..namun saya tak pasti apakah ujian dan dugaan yang Allah akan beri..Adakah apa yang telah saya lalui seminggu yang lalu adalah dugaan untuk saya..? Apa2pun saya bersyukur dan ikhlas menerimanya kerana apa yang saya lalui tak sehebat yang N lalui.

Saya doakan semoga N tabah hadapi dugaan...Amin.

No comments:

Post a Comment