Friday 26 November 2010

DOA SEORANG IBU.

Keputusan peperiksaan akhir di peringkat MRSM telah keluar. Fitri mendapat CGPA 3.08. Dia betul2 gembira dan bersyukur. Walaupun ada beberapa subjek tidak cemerlang (A), tetapi masih lulus dengan baik. Dia memberitahu saya, "Mama, ayong beryukur Ayong dapat keputusan ni. Soalan memang betul2 susah. Markah peperiksaan akhir pulak hanya diambil 60% sahaja dari markah keseluruhan. Dan ada beberapa subjek masa peperiksaan 1 dan 2 Ayong tak perform." Saya kata, "Alhamdulillah. Ini yang terbaik yang Allah bagi. Ayong kena usaha lagi terutama untuk subjek2 penting." Dia tanya saya lagi, "Mama happy?" Saya senyum, mengangguk.


Dalam bilik, saya menangis sepuas2nya ketika bersolat. Saya tahu dia begitu gigih berusaha untuk berjaya. Ketika orang lain balik bercuti (masa Hari Deepavali), dia tak bercuti. Bila saya tanya kenapa tak balik cuti? Dia cuma kata, Ayong tak boleh, Ma..Ayong kena study. Ayong bukan budak pandai sangat. Saya terharu dengan kata2 Ayong. Ia benar2 menyentuh hati saya. Lama saya memohon pada Allah, merayu pada Allah mohon Allah berikan yang terbaik untuk Fitri. Berkati segala ilmu2nya. Saya mohon pada Allah agar merestui dan memberkati cita-citanya dan impiannya. Dia pernah beritahu saya, "Ayong nak buat mama happy. Sekali pun tak apalah, mama tengok Ayong naik pentas". Namun impiannya belum direstui.


Sebagai seorang ibu..apa lagi yang mampu saya lakukan? Memberi semangat dan merestuinya. Itulah doa saya..siang dan malam. Tahun hadapan dia akan menduduki SPM. Saya sentiasa mendoakan kejayaannya. Ya Allah...Kau restuilah dia....Amin.

Saturday 20 November 2010

HARI PENYAMPAIAN ANUGERAH CEMERLANG

Pagi2 lagi kami dah bersiap, menghantar Aiman ke sekolah untuk majlis penyampaian hadiah yang bermula pukul 8.30 pagi. Selepas hantar Aiman, ke pasar Seksyen 6 dulu, kami menikmati sarapan pagi bersama semua anak2 dan ke sekolah Aiman semula untuk menghadiri majlis tersebut. Majlisnya tersusun kemas, selesa dan menghiburkan dengan alunan koir dari murid2 SK Seksyen 9.



Rasa bersyukur dengan apa yang Allah kurniakan selama ini. Mudah2an Aiman akan lebih berjaya di masa yang akan datang.






Friday 19 November 2010

MERDEKA!

Akhirnya....setelah bertarung hampir 3 minggu, saya merdeka juga. Merdeka dari "marking" paper, merdeka dari mempertimbangkan keputusan dan masa depan anak bangsa dan merdeka dari mengheret bundle ke sana sini. Lega rasanya bila selesai menghantar semua bundle ke bilik gerakan peperiksaan di FSKM dan InEd hari ini.

Rasa kemerdekaan ini pula disambut dengan kepulangan 2 orang anak , Fitri dan Fareha yang telah lama tidak pulang ke Shah Alam. Seronok, gembira, lapang, tenang....semua perasaan ada. Anak2 yang lain (Aiman, Ika dan Baby) juga gembira dengan kehadiran Ayong dan Kak Ngah mereka.

Seperti biasa, rasa gembira dan merdeka ini kami sambut di Restoran D'Arab, tempat favourite suami dan anak2! Memang betul2 lapang rasa fikiran saya...! Alhamdulillah...Pagi esok pula kami semua akan ke SK Seksyen 9, melihat Aiman mendapat hadiah tempat pertama dalam Majlis Anugerah Cemerlang.

Semoga Allah meredhai hidup kami semua....Amin.

Sunday 7 November 2010

DEMI ANAK

Sewaktu Fitri telefon bertanya sama ada boleh kah kami melawatnya pada cuti Deepavali, suami terus mengatakan "Ya". Agak terkejut juga dengan jawapan suami kerana sekolah Fitri bukannya dekat. Nun jauh di Muar. Kesanggupan suami mengunjungi anak yang jauh di Selatan membuatkan saya terharu dengan kasih seorang ayah.

Hari Sabtu, 6hb kami bergerak dari Shah Alam dalam pukul 7.30 pagi, terus menuju ke MRSM Muar untuk melihat Fitri. Sepanjang perjalanan agak tenang. Kami sampai di Muar dalam pukul 10 pagi, terus membawanya keluar makan sate (favourite saya dan idaman saya). Lepas makan, suami terus mengajak kami ke Melaka, 'bawa Ayong jalan2,' katanya.

Window shopping dan ber'shopping' di Melaka selama 4 jam, kemudian terus bawa Fitri pulang semula ke Muar sebelum pukul 6 petang dan kemudian kami balik semula ke Shah Alam membuatkan saya amat kagum dengan pengorbanan suami. Dalam kesibukan beliau sejak 3 minggu terakhir ini kami tetap mengambil sedkit kesempatan untuk menjenguk keluarga di kampung dan mengunjungi anak di Muar. Memang suami nampak sangat letih. 3 minggu berturut2 dia memandu di celah2 kesibukan kerja yang menuntut masa tidak berhenti2. Saya pula menjaga peperiksaan pada hari Ahad keesokkannya.

Sekarang saya percaya, "Kasihnya ayah, sangguplah berkorban...Kasihnya ibu, membawa ke syurga.." Demi anak2, inilah pengorbanan seorang ayah...