Sunday 28 February 2010

BALIK KAMPUNG

Dah 2 bulan saya tak balik kampung. Kali terakhir saya balik, waktu ambil keputusan PMR Fitri, pada 24 Disember 2009. Mungkin ada hikmahnya. Hanya ALLAH yang mengetahui. Saya pulang ke kampung sempena Maulidur Rasul ni (Khamis malam). Saya sampai di Labis dalam pukul 12 malam. Fitri dan abah masih belum tidur. Bersembang dengan Fitri tentang sekolah barunya. Alhamdulillah..dia dah mula menerima persekitaran yang baru. Rancak dia bercerita tentang perasaannya terhadap MRSM Muar..ada suka, ada tak suka. Biasalah...jangan biarkan yang tak suka tu mengawal emosi. Buruk padahnya!


Tidur semalam di Labis, lepas solat Jumaat, kami ke kampung suami pula, di Ayer Baloi. Lama tak balik, rindu pulak pada anak2 sedara di sana, lebih2 lagi Asyraf. Petang tadi saya buatkan minum petang istimewa untuk emak mertua - mee bandung dan bubur jagung! Kakak ipar, adik2 ipar dan anak sedara pun ada. Seronok tengok mereka makan! (Perasanlah sedap tu..hehehe..).


Hari ini dalam pukul 9.30 pagi, kami bertolak balik ke Shah Alam. Singgah Labis dulu (tiba dalam pukul 11.15), ambil baju2 Fitri, makan dan bertolak pula ke Muar untuk menghantar Fitri. Fareha pulang ke sekolah bersama atuknya. Tiba di Bakri (singgah Segamat dulu dan minum petang dulu di Muar), lebih kurang pukul 3.30 petang. Hantar Fitri dan hampir pukul 4 kami bertolak terus ke Shah Alam.


Penat memandu, kami berhenti rehat di R&R Ayer Keroh. Suami tidur sekejap dan kami bersolat sebelum meneruskan perjalanan ke Shah Alam. Tiba di rumah jam 7.30 malam. Esok pagi akan kerja semula. Macam biasa hari Isnin, saya akan keluar jam 6.30 pagi kerana ada kelas di kampus Alamanda. Saya berdoa agar Allah merahmati dan memberkati kami. Walaupun kami dah berjauhan dengan orang2 yang kami sayang, saya percaya Allah Maha Mengetahui apa yang ada di sanubari kami. Kadang2 kasih sayang tak boleh dinilai dengan keberadaan kita di sisi. Ia dinilai dengan doa yang diringi dari hati...Berkatilah kami, Ya Allah...



Tuesday 23 February 2010

MENGHARGAI 1

Saya rasa untuk diri kita dihargai, kita harus berupaya menghargai orang lain. Kadang2 saya rasa satu kekeliruan , kekecewaan, bila melihat konsep menghargai ini semakin hilang dalam diri manusia yang bernama pelajar. Saya simpati dengan nasib seorang kawan (pensyarah baru) yang kecewa dengan sikap pelajar yang tidak tahu berbudi bahasa, apatah lagi menghargai seorang pensyarah/pendidik. Pelajar ini begitu berani menghantar SMS " I don't understand anything what you teach. I don't like your teaching method." SMS ini dihantar sehari sebelum ujian 1 berlangsung hanya semata2 kumpulan pelajar ini tidak bersedia untuk menduduki ujian (yang tarikhnya ditetapkan oleh kelas itu sendiri). Gila..!

Mungkin saya agak tegas dalam hal2 begini. Setiap kali kelas, saya akan minta mereka baca Al-Fatihah dan berdoa agar setiap minit kelas ini diberkati. Saya mahu para pelajar tahu menghargai bukan hanya saya (pensyarahnya) tetapi juga dirinya sendiri. Bagaimana mahu menghargai diri sendiri? Belajar dengan ikhlas, jujur agar ilmu yang diperolehi itu diberkati oleh Allah.

Mungkin dulu saya juga pemarah, mudah melenting kalau ada perkara seumpama ini berlaku (nasib baik dulu tidak ada hp yang memudahkan pelajar SMS pensyarah sesuka hati). Tetapi sebagai pendidik, saya rasa menuntut ilmu itu ada adab2 nya sendiri. Yang paling penting ialah menghormati dan menghargai guru. Kalau guru pun kita tidak boleh hormat dan hargai, bagaimana ilmu nak berkat???

Ungkapan saya setiap kali berjumpa guru2 anak saya masa "Open Day" ,"Cikgu, terima kasih kerana mendidik anak saya, Fitri/Fareha/Aiman. Cikgu tolong tengok2kan dia. Kalau dia buat salah, tegurlah dia, marah dia, pukul dia. Saya tak kisah. Saya terima." Saya akan bercakap begini depan anak2 saya dan cikgu masing2. Mereka(anak2 saya) pun apalagi...senyumlah..Bila dalam kereta, masing2 kata,"Ma..kenapa cakap macam tu..? Betulke..?" Saya senyum.."Betullah...sebab tu jangan nakal, jangan buat tak senonoh, belajar betul2, dengar cakap cikgu, faham.?????"

Monday 22 February 2010

UJIAN

Minggu ni minggu untuk "Test 1" bagi pelajar2 kampus Alamanda. Seperti biasa, saya tetap datang pagi, keluar rumah pukul 6.30 pagi (sebab takut jem). Ujian akan bermula jam 9.00 pagi hingga 11.00 pagi. Kurang sikit stress hari ni sebab hanya invigilate saja. First paper hari ni, ECO 162 (Microeconomics). Paper saya. Melihat keadaan pelajar yang kusyuk menjawab soalan, saya harap mereka mendapat keputusan yang baik. Tengahari saya pulang ke fakulti, menyiapkan kerja2 yang sedia ada di sana(prepare untuk subjek di fakulti, marking kuiz untuk kelas bachelor degree di fakulti).

Rabu ni pula saya akan mengadakan ujian 1 untuk pelajar2 bachelor degree di fakulti (subjek Monetary Economics). Harap2 mereka dah bersedia. Semoga mereka terus berjaya.


Sunday 21 February 2010

PERBANDINGAN

Sejak Fitri ke MRSM sudah 3 kali dia menelefon saya, bertanya khabar dan bercerita sedikit tentang keadaannya di sana. Saya rasa teruja setiap kali menerima panggilan telefonnya untuk mengetahui perasaannya di tempat baru. Saya harapkan jawapan yang positif darinya. Setiap kali di akhir perbualan pasti dia akan berkata , " Ma, ayong teringatkan sekolah Seri Kenangan..Kat sini..bla..bla..bla...". Setiap kali itulah saya akan memberitahunya, jangan buat perbandingan. Selagi kita membandingkan antara 2 benda, selagi itu kita tidak akan berasa gembira. Saya kata, mula2 memang rasa macam tu. Nanti lama2 oklah.


Seingat saya, saya pernah menasihatkan dia dulu tentang perbandingan dan ketaksamaan ini. Sebagai manusia, kita memang suka membandingkan antara yang lama dengan yang baru. Tapi, setiap kali kita membandingkan, kita tak akan temui satu kesempurnaan. Setiap satu itu ada kebaikan dan ada kekurangannya.

Bila saya berpindah ke sini, orang bertanya, "mana lagi best? Di sini ke atau di Johor?" Saya kata, "Dua2nya ada keistimewaannya sendiri." Saya percaya, Allah telah memberikan yang terbaik. Mungkin ada hikmah dan rahmat yang Allah berikan dengan penghijrahan ini. Saya pun tak tahu.

Perlukah kita membuat perbandingan? Mungkin bagi sesetengah perkara, ia perlu. Contohnya, waktu berbelanja barang2 keperluan. Kita akan pilih harga yang lebih rendah. Tapi tak semestinya pula harga lebih rendah itu baik, mungkin dah hampir tarikh luputnya atau kos pengeluaran yang ditanggung oleh peniaga itu kecil atau juga mungkin persaingan yang tinggi.

Bagi saya, dalam hidup jangan suka membuat perbandingan. Yang pentingnya, kita menerima sesuatu itu dengan ikhlas. Lebih2 lagi kalau sesuatu itu tidak melibatkan "opportunity cost". Saya pesan pada Fitri, "tugas Ayong adalah belajar. Jangan fikir yang lain. Ikut rentak sekeliling. Ikut amalan yang baik, dan jauhi amalan yang tidak baik. Senang aje, kan? Objektif kita ialah Al-Falah. Buat kerja yang disuruh, dan tinggalkan yang ditegah. Setiap arahan dan peraturan (yang rasa baru) tu ada alasannya tersendiri. " "Oklah, Ma..nanti bila kita jumpa Ayong cerita kat mama..". Itulah selalu ucapan akhir Fitri.

Saya harap dia menjadi orang yang matang dan waras. Semoga dia tahu tujuan hidupnya.


Saturday 20 February 2010

MASA DAN RINDU

Hari ni Fareha balik ke Labis, bersama atuk dan neneknya. Saya menghantar mereka di stesyen bas, seksyen 17. Walaupun biasa berpisah, airmata yang saya tahan gugur juga. Tak sanggup rasanya berpisah dengan anak. Sekarang saya mengerti perasaan seorang ibu.

Pagi2 tadi, suami pula dijemput untuk taklimat bagi satu bengkel anjuran UiTM Johor di Genting Highland(Esok baru balik). Hari ini kami tinggal bertiga (berempat + bibik) semula. Kalaulah boleh diputar semula jam di dinding, mahu saja saya putarkan semula ke hari Sabtu yang lepas. Saya mahu isikan masa selama 7 hari ini khusus untuk abah, emak dan anak2. Tapi apakan daya...
Begitulah manusia...saya khususnya. Kita hanya menghargai masa bila ia dah terlewat/terlepas. Jarang kita hargai bila ia di depan kita..Masa tak akan boleh diputar. Masa yang lepas akan tinggal sebagai satu kenangan. Kenangan rindu saya pada anak2 (Fitri dan Fareha) serta abah dan mak.






Wednesday 17 February 2010

MRSM MUAR..tempat jatuh lagi dikenang


3 Mac 1982 saya mendaftarkan diri sebagai pelajar di MRSM Muar. Saya adalah kumpulan pertama pelajar MRSM Taiping yang ditempatkan sementara di Muar (sehingga Taiping siap dibina). 28 tahun telah berlalu. Saya masih ingat lagi ketika itu, abah dan emaklah antara orang yang paling lewat keluar dari pagar MRSM. Beberapa kali keluar masuk pagar-ada aje barang keperluan yang hendak dibeli. Akhirnya, abah beredar pulang hampir pukul 5.00 petang. Saya masih ingat lagi semua peristiwa itu. Dan kawan baik saya ketika itu adalah Anisah Ahmad Jaini, orang Masai, Johor.





Hari ini saya mengulangi lagi kisah 28 tahun yang lalu. Bezanya kali ini saya menghantar anak sulung saya, Fitri. Fitri telah berjaya ke Tingkatan 4, MRSM Muar. Tempat saya menuntut ilmu satu masa dulu. Kejayaan Fitri ke MRSM telah memakbulkan harapan dan impian abahnya yang tertunda waktu Fitri tingkatan 1 dulu. Saya bangga, terharu dan bersyukur pada Allah yang Maha Esa yang telah memberikan rahmat dan nikmatNya yang tidak terhingga ini.

Hari ini saya dan suami menjadi seperti abah dan emak pada 28 tahun yang lalu. Kami juga adalah antara orang yang paling lewat keluar dari pintu pagar MRSM serta beberapa kali keluar masuk pagar, ada-ada aje barang yang hendak dibeli dan beberapa kali bawa Fitri keluar makan. Akhirnya kami beredar selepas suami bersolat Asar di surau asrama.

MRSM Muar telah banyak berubah. Kalau dulu, asrama kami asrama papan. Macam rumah. Tapi sekarang semua telah bertukar ke bangunan2 batu. Bilik asrama pun dah berubah. Dulu kami berdua sebilik, tapi sekarang berempat- tetap selesa. Dah tak ada lagi katil2 kayu yang siap laci ditepinya. Semua telah bertukar katil besi. Saya masih ingat lagi kelas saya waktu kami menyusuri tepian MRSM. Fuh...! Kenangan indah!

Fitri bercita2 untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perakaunan. Semoga Allah memperkenankan doa dan impiannya. Amin.

Sunday 14 February 2010

PUTRAJAYA

Semalam, Fitri dan Fareha pulang ke Shah Alam bersama atuk dan neneknya. Sampai dalam pukul 1.15 tengahari di stesyen bas seksyen 17. Rindu saya pada anak2 serta abah dan mak. Petang tadi kami ke Putrajaya, membawa anak2 bercuti di sana. Dah lama kami tak bawa anak2 berjalan. Selalunya, bila ada cuti panjang kami tak pernah lepas dari bercuti di Kelantan.






Tapi sejak suami dan saya agak sibuk dalam setahun dua ini, kami dah tak bawa mereka ke sana lagi.



Mengunjungi Putrajaya rupa2nya dapat menghiburkan hati anak2 yang dah lama tak berjalan. Kami "cruise" menyusuri tasik Putrajaya, melihat bangunan2 indah yang penuh dengan keindahan dan keistimewaannya sendiri. Maklumat mengenai setiap bangunan yang di huraikan sepanjang "cruise" memberi sedikit pengetahuan kepada saya serta anak2 tentang bangunan2 di Putrajaya ini.



Semoga mereka gembira dengan percutian ini.









Saturday 13 February 2010

ARISTOTLE'S CHALLENGE

Saya sedang membaca buku "Emotional Intelligence". Salah satu petikan dari buku ini, kata2 dari Aristotle menarik minat saya.

"Anyone can become angry-that is easy. But to be angry with the right person, to the right degree, at the right time, for the right purpose, and in the right way- this is not easy."

Satu cabaran dan ingatan untuk saya. Adakah saya ni pemarah..?

Saturday 6 February 2010

FITRI DAN FAREHA

Pagi tadi Fareha call dari rumah Atuknya. Minggu ni mereka balik kampung (tapi tak balik Shah Alam, penat kata mereka). Ketiadaan kami menyebabkan mereka hanya dapat pulang ke rumah Atuk dan mak (panggilan anak2 pada nenek mereka) di Labis sahaja. Dah lama rasanya tak berjumpa dengan anak2 saya yang besar2 tu. Rindu sangat2. Tak sabar nak tunggu mereka balik ke sini hari Sabtu minggu depan (13hb). Lepas tu hari Rabu (17hb) dah kena hantar Fitri pulak ke MRSM Muar.

Kadang2 bila saya fikir2 balik, beginilah agaknya perasaan ibubapa kita bila anak2 dah besar, mula berjauhan dengan kita satu persatu (kerana menuntut ilmu). Kalaulah ada rezeki Fitri nanti, lepas SPM dapat melanjutkan pelajaran ke mana2 universiti dalam atau luar negeri, lagilah jauh...di mata saya.

Beberapa hari yang lepas, saya berbual2 dengan Ika, puteri saya yang banyak cakap tu. Kami bersembang pasal Ayong dan Kak Ngah (Fitri dan Fareha) yang akan balik minggu depan. Perbualan paling kelakar yang saya pernah dengar bila Ika kata " Mama, adik dah lupalah muka Kak Ngah macamana.." Saya ni..nak ketawa pun ada, nak marah pun ada...Respon spontan saya.."Adik..!!!" Lepas tu Ika pun ketawa.

Kak Ngah, Ayong...semua orang rindukan awak...!

Friday 5 February 2010

BERKAT ALLAH

Saya melihat penghijrahan ini sebagai satu rahmat, petunjuk, keberkatan dan anugerah dari Allah S.W.T. Bukan kerana saya suka lari dari bandar Segamat yang hanya sebuah bandar kecil (jika dibandingkan dengan Shah Alam) tapi kerana saya dapat mempelajari melalui liku2 hidup dengan sabar, tabah dan redha.


Berpindah ke sini, dengan tempat kerja baru, persekitaran baru, menuntut saya bersabar dan tabah serta pandai mengikut rentak "tarian" di sini. Kalau saya tidak redha dan sentiasa membandingkan keselesaan yang saya dapat di Segamat, tentu saya tidak akan berasa gembira di sini. Saya redha dengan apa yang saya ada di sini. Walaupun saya tidak diperuntukkan komputer pejabat, tetapi saya bersyukur kerana saya ada "laptop" sendiri. Saya juga masih bersyukur kerana masih ada ofis walaupun bukan seorang sebilik (berkongsi ramai2- dalam 10 orang) tapi saya masih selesa kerana masih ada meja, kerusi, masih boleh berjumpa pelajar2 dan bertukar2 fikiran dengan "officemate" yang ramai dan dari pelbagai bidang (Sekurang2nya kami ada semangat untuk membuat penulisan, bertukar2 idea/pendapat dalam bidang masing2).


Banyak perkara yang berlaku telah menginsafkan saya tentang keberkatan dan rahmat Allah. Apa2pun yang terpaksa saya hadapi atau lalui, saya percaya ada hikmah dan berkat Allah S.W.T. Saya percaya bila Allah memberkati kita, merahmati kita, hidup kita akan penuh dengan ketenangan dan kedamaian walau ada seribu dugaan yang terpaksa dihadapi.


Umur saya telah meningkat ke 41 tahun, April ini. 41 tahun merupakan masa yang lama bagi saya untuk menyedari dan menginsafi tentang rahmat dan kasih Allah. Saya percaya kasih Allah sangat suci, sangat agung, dan tiada batasan......Amin.

Tuesday 2 February 2010

ISTIKHORAH

Semalam keputusan untuk melanjutkan pelajaran ke MRSM keluar. Suami call tengahari memberitahu keputusan dah keluar, minta no IC Fitri untuk membuat semakan melalui internet. Malangnya, saya tak simpan no IC dia (salinan IC ada di rumah). Hati berdebar2 juga. Kebetulan pula kelas saya di Alamanda hingga pukul 6 petang, jadi tak dapat nak balik sekejap untuk ambil salinan IC tersebut. Dalam pukul 4, Fitri call. Dia kata, salah seorang gurunya memberitahu dia telah berjaya dapat peluang ke MRSM Muar. Alhamdulillah. Terus saya memberitahu berita gembira ini pada suami. Malamnya, suami menyemak semula di internet untuk mendapatkan makluman terperinci untuk kemasukan tersebut.


Hari ini, Fitri call lagi. Bertanya kepada saya, "Mama, macamana pandangan mama..? Ayong pegi ke tidak..?" Saya katakan pada beliau, bahawa ini adalah peluang dan rahmat Allah. Orang lain terlalu ramai yang mohon untuk memasuki MRSM, tapi tak mendapat peluang ini. Jangan sia2kan peluang yang ada. Sambil tu, bertawakkallah..! Untuk lebih tenteram, buatlah solat Istikhorah. Dia bersetuju untuk melakukan solat Istikhorah. Semoga dia mendapat jawapannya...Amin.