Saturday 20 March 2010

KERANA PULUT, SANTAN BINASA..

"Kerana pulut, santan binasa, kerana mulut, badan binasa.." Ungkapan dahulukala yang saya rasa sudah hilang ertinya. Ia sangat berkait dengan perasaan dan nilai kita sebagai manusia, apatah lagi bila hidup ini bersandarkan pada "Hablumminannas". Bagi saya, setiap ungkapan, kata2 dalam bicara perlu ada adab dan nilainya, tidak perlu menyakiti atau melukai walaupun tanpa niat.


Komunikasi berkesan diperlihatkan melalui kata2 yang berkesan. Adakah menengking orang, mengeluarkan kata2 yang menghiris perasaan merupakan satu komunikasi berkesan? Bila marah, semua perkataan keluar..itu perkara biasa bagi sesetengah orang. Kenapa tidak amalkan prinsip 90/10? Umur yang sudah hampir sampai ke penghujung ini, membuatkan saya sedar banyak perkara yang perlu saya belajar. Selama ini, hilang nilai2 itu dalam diri saya yang kerdil ini.

Dulu, bila makan diluar atau di rumah, bila anak tertumpahkan air di atas meja, saya akan berleter, marah "Mama cukup marah bila ada orang tumpahkan air atas meja. Makan tak tahu duduk diam. Lainkali air letak tepi. Jangan ada sesiapa minum air sampai habis makan, faham??!!!" Bila saya fikir balik, kenapa saya mesti marah pada benda2 yang tak sengaja hingga melukai hati anak2, membuatkan mereka makan sambil "menelan" airmata? Apatah lagi yang selalu tumpahkan air ialah Ika (ketika itu dia masih kecil, umur 2-3 tahun). Apa yang dia faham? Biar beratus kali pun saya marah, bila air nak tumpah, ia akan tetap tumpah juga. Sekarang bila air tumpah, saya akan kata, "Ok..tak apa. Mama ambil kain lap. It's ok. Makan ya..Mama tak marah.." Tak ada siapa yang menangis, dan kami boleh ketawa macam biasa..kan seronok?

Ungkapan untuk anak2 sangat perlu dijaga. Sekarang saya sedar apa yang kita ucapkan hari ini pada anak2, akan diikut oleh anak pada suatu hari nanti. Anak2 belajar dari ibu dan ayah. Baik yang kita ucapkan, baiklah kata2nya..buruk yang kita ucapkan, buruklah kata2nya... Bila saya tengok anak2 saya hampir semuanya garang2, suka marah2...saya fikir balik. Saya berkata dalam hati saya, "Inilah dosa saya. Saya telah mendidik mereka seperti ini. Dulu, saya garang dengan mereka, sekarang mereka pula yang garang dengan adik2 mereka. Perlukah saya menyalahkan mereka?" Mereka tak harus dipersalahkan, malah kita yang sepatutnya mencari jalan penyelesaian untuk membawa mereka kembali menjadi seorang yang waras, rasional, yang penuh dengan kesabaran dan kemuliaan. Untuk mendidik anak bukan hanya dengan mulut, tapi hati.

Mulut memang senjata...tapi senjata yang memakan diri....


No comments:

Post a Comment