Saturday, 28 March 2009

PERISTIWA 2 DAN 3 MAC 2009

Saya masih ingat lagi hari itu. Sewaktu sedang menghadiri bengkel PDCA yang dianjurkan oleh Unit Kualiti untuk penulis-penulis dokumen AKNC, saya ke bilik air sebentar. Alangkah terkejutnya saya bila mendapati ada sedikit darah yang keluar. Saya mengajak suami berjumpa doktor untuk melihat keadaan kandungan saya yang sebelum ini didapati tidak kelihatan melalui ‘ultrasound’. Setelah diperiksa melalui ‘ultrasound’ memang sah didapati bahawa janin di dalamnya telah mengecut dan tiada denyutan jantung.


Keesokkannya saya ke klinik Pakar Sakit Puan dan Perbidanan untuk buat D & C. Memang pada mulanya, susah untuk menerima keadaan ini. Hati ini penuh dengan seribu persoalan dan perasaan. Tapi, saya percaya dan amat yakin pada kuasa ALLAH. Bagi saya setiap yang berlaku adalah kehendak ALLAH. Pernahkah di antara kita yang menjadi ibu, mempunyai perasaan untuk menggugurkan kandungan sendiri? Saya percaya setiap yang berlaku ada hikmahnya.


Sewaktu fikiran saya berkecamuk dengan persoalan tersebut, seorang kawan (ustazah Zuina ) datang menemui saya. Saya menceritakan perasaan sedih saya dengan apa yang terjadi. Beliau bercerita kepada saya bahawa ada seorang kawannya juga mengalami nasib yang sama seperti saya. Tetapi kandungannya gugur sewaktu berumur enam (6) bulan. Dia sangat sedih dan tidak dapat menerima kenyataan tersebut. Dia marah, rasa bersalah, menyesal dan seribu perasaan lagi. Semasa dia dalam kesedihan dan marah2 itu, seorang jururawat datang menemuinya dan berkata “Puan, puan tak dapat menerima keadaan ini? Tak apa. Saya akan tunjukkan sesuatu pada Puan. Lepas ni, terpulang pada Puan untuk menerima takdir Allah ini atau tidak.” Jururawat itu keluar sebentar dan datang beberapa minit kemudian.
“Puan, ini jenazah anak Puan. Puan tengoklah. “ kata jururawat tersebut.


Alangkah terkejutnya kawan Ustazah Zuina apabila mendapati jenazah bayinya bukanlah bayi yang sempurna. Muka bayinya senget, kedua-dua tangannya pula panjang hingga ke kaki dan kedua-dua belah kakinya pendek hanya sehingga lutut.
Jururawat itu bertanya kepada wanita tersebut, “Puan, sekiranya bayi ini hidup, adakah Puan akan menjaganya, menyayanginya seperti anak2 yang lain?”
Terdiam kawan Kak Zuina dengan kata2 itu. Baru dia sedar bahawa setiap yang berlaku, yang telah Allah takdirkan ada hikmahnya.


“Zu, apa yang berlaku pada mu tu ada hikmahnya. Macamana mu makan pil yang terbaik sekalipun, kalau ia jadi tak sempurna, ia tetap tak sempurna. Kalau Allah tak nak ia jadi, ia tetap tak jadi. Cuba mu bayangkan, mu makan pil yang terbaik untuk dia kukuh dalam kandunganmu,sedangkan pembentukan dia tu tak sempurna, dia selamat dilahirkan, tapi dia cacat macam bayi kawan aku tu, mu nok tak jaga dia? Aku tanya mu ni! Mu malu tak?” Tanya Kak Zuina dengan lohgat Trengganunya. Saya tersedar dengan kata2 Kak Zuina. Keyakinan saya terhadap kuasa Allah semakin tinggi.


Saya teringat waktu saya mengandungkan anak sulung 15 tahun lalu. Saya bukannya makan folic acid pun atau apa2 ubat yang terbaik pun. Doktor hanya memberi saya ‘Obimin’ untuk di makan setiap hari. (Nota: Obimin adalah gabungan folic acid dan beberapa vitamin lain) Itupun saya tak selalu makan. Saya jatuh beberapa kali sewaktu mengandung. Namun bila Allah nak jadikan ia sempurna, Allah nak beri rezeki kepada saya dan suami, Allah tetap beri dan ia tetap sempurna. Itulah kehendak Allah. Itulah kuasa Allah. Siapakah saya untuk mempersoalkan kejadian dan ketentuan Allah? Siapakah saya yang memberi hukuman ke atas apa yang berlaku?


Sehingga hari ini, masih ada lagi kawan2 yang mengucapkan takziah. Namun saya hanya senyum. Dalam hati saya berkata, Hanya ALLAH mengetahui apa yang dikehendakiNya. Subhanallah..Besarnya ALLAH..

Wednesday, 25 March 2009

SAYA ADALAH SAYA..

Saya adalah orang yang kagum dengan diri sendiri. Bila saya berpeluang untuk fikir dan renung dalam2 tentang diri saya, saya rasa saya ada keistimewaan sendiri yang mungkin tidak nampak secara lahiriah (bukan nak membangga diri..cuma perasan aje!) Saya suka membaca buku2 motivasi, buku2 tentang personaliti, tentang kesihatan dan penjagaan diri dan macam2 lagi kecuali politik! Saya memang tak minat langsung dengan politik!



Waktu saya bersekolah rendah dulu, bila cikgu tanya apa cita2 kamu..berikan 3 cita2. Salah satunya ialah menjadi kaunselor. Saya pun tak tahu macamana murid darjah 2 boleh berfikir untuk menjadi kaunselor. Pensyarah adalah cita2 saya yang pertama dan guru adalah cita2 saya yang ketiga. Minat saya terhadap bidang psikologi dan kaunseling amat mendalam hinggalah sekarang. Bila saya fikir, saya pun tak sangka dan tak tahu bagaimana saya boleh menjadi seorang pensyarah...Ekonomi pulak tu!


Waktu belajar, sejak dari sekolah rendah saya ada ramai kawan..Bukan setakat itu, ramai orang kenal saya walaupun saya tak kenal ramai orang. Sejak kecil lagi, saya sedar bahawa mimpi2 saya banyak yang menjadi kenyataan..and its real! Sebiji macam mimpi..! Bila saya meningkat dewasa pun keadaan yang sama berlaku..bukan setakat mimpi..tapi saya mendapat ilham atau petunjuk waktu sedang solat. Misalnya, keputusan2 peperiksaan saya, saya tahu terlebih dahulu waktu saya solat..seolah2 ternampak dengan nyata gred dan 'point' yang saya dapat. Bila keputusan sebenar keluar, memang sah itulah keputusan peperiksaan saya. Kadang2 emak saya bertanya, "macamana kamu boleh bermimpi macam tu, ya? " Saya pun tak tahu jawapannya. Cuma, satu aje pegangan saya..ALLAH ITU ADIL.


Saya bukanlah percaya sangat pada ramalan2 bintang atau 'tok nujum'..Satu hari kawan saya melihat tarikh lahir saya. Kata beliau, menurut kitab Tajul Muluk, saya ni orang yang popular (maksudnya disukai dan dikenali ramai orang). Dia tanya saya, 'betul ke?' Saya terdiam sekejap..merenung balik kehidupan saya masa lalu..Hmmm..betul..masa saya di MRSM dulu ramai orang sukakan saya. Kalau saya tolong kawan jaga kedai koperasi, ramai betul pelajar2 lelaki yang akan menyerbu. Saya tak tahu kebetulan atau tidak, tapi bila ramai yang menyerbu (sebab nak tengok saya kot..) kenalah membeli! Hinggakan kawan saya kata, 'lainkali kalau nak untung, suruh Zura ajelah jaga kedai'. Tapi..maaf..saya bukan AJK kedai.


Waktu keputusan UPSR anak saya nak keluar (November lepas), pagi tu waktu saya solat dan berdoa, saya ternampak keputusan yang bakal diperolehi..3A2B. Saya cuba nak memadamkannya tapi tak boleh. Hari tu saya bersemangat, minta keluar pejabat, pulang ke Labis untuk bersama dia mengambil keputusan. Sepanjang perjalanan selama 40 minit, saya berdoa agar apa yang saya nampak tidak berlaku. Akhirnya apabila keputusan keluar, memang sah! Itulah keputusannya.


Saya ni suka menyelesaikan masalah orang. Saya lah tempat kawan2 mencurahkan perasaan, mendapatkan nasihat..Pada pelajar pun sama..saya suka memberi nasihat (bukan berleter) dengan meletakkan diri saya di tempat mereka. Di kalangan kawan2 dalam jabatan pun sama, seboleh mungkin saya akan cuba menyelesaikan segala kekusutan dengan baik agar semua orang berpuas hati. Itulah saya...


Setiap hari, saya akan berdoa, agar saya terus kuat, terus menjadi orang yang paling sabar dan menjadi orang yang berjaya..Mungkin ada kekangan2 yang tidak dapat saya kawal sepenuhnya tapi saya akan cuba menjadi yang terbaik yang saya mampu. Bagi saya, yang penting, hati kena IKHLAS..dan sentiasa ingat bahawa ALLAH ITU ADIL.

Thursday, 19 March 2009

BERAKHIRNYA CUTI SEKOLAH

Cuti sekolah telah berakhir- meninggalkan kenangan yang paling indah untuk saya dan anak2. walaupun cuti kali ini saya dan suami tak sempat membawa mereka ke mana2, namun saya berpuashati kerana berpeluang menjadi ibu 'mithali' (perasan) walaupun sekejap. Anak2 pun berpuashati dapat menghabiskan masa bersama kami- abahnya membawa mereka pergi bermain bowling, kami pergi minum malam bersama dan ia berakhir dengan menghadiri program motivasi Fareha.



Namun dalam kesedihan saya untuk mengakhiri cuti sekolah ini, saya juga berasa gembira pada waktu ini kerana Puteri saya kembali bersekolah bersama saya di sini. Saya menghantarnya ke TADIKA UiTM pagi tadi. Dia sungguh gembira dapat berjumpa dengan kawan-kawan lamanya, berjumpa cikgu baru dan paling penting dapat bersama kami - abah dan mamanya!

Semoga Puteri selesa dengan sekolah barunya..Saya berazam untuk menjaga Puteri sebaik yang mungkin...kerana dia ....PUTERI...

CUTI SEKOLAH

Tak puas rasanya menikmati waktu cuti sekolah yang cukup singkat bagi saya. Lima hari bersama anak2(Fareha, Aiman, Ika) dan 3 hari bersama Fitri membuatkan saya rasa sangat2 gembira. Sepanjang cuti sekolah ini, rutin harian saya turut berubah. Kalau sebelum ini, saya bangun pagi dengan bersantai, malam pun jarang2 juga masak tapi bila cuti sekolah ni, pagi saya kena bangun seawal 5.30 pagi, masakkan lauk pauk dan nasi untuk makan tengahari anak2, saya juga buatkan breakfast untuk mereka..heavy breakfast! Saya rasa memang betul2 macam ibu mithali! Malam pulak, saya akan tidur lambat, basuh kain baju dan siapkan bahan2 untuk dimasak waktu pagi keesokannya. Itulah rutin saya sejak beberapa hari ini. Tapi, saya bahagia.

Saya rasa, alangkah baiknya kalau saya dapat begini selalu, menjadi ibu dan isteri yang sempurna untuk anak2 dan suami tercinta. Esok, Fareha akan pulang semula ke Labis. Dia ada program sekolah-program motivasi! Saya dah mula rasa sayu..Rasa macam belum puas lagi nak bersama mereka. Minggu depan saya akan kembali tinggal bertiga, dengan suami dan baby yang nakal tu! Babylah tempat saya bergaduh dan bermain..

Apa2 pun saya akan cuba buat yang terbaik untuk mereka..agar mereka dapat simpan segala kenangan cuti ini yang terindah dalam ingatan mereka...

Wednesday, 18 March 2009

MENIRU

Melihat perbuatan meniru oleh seorang pelajar waktu di dalam kelas pagi semalam sangat menghampakan saya. Saya ni bukanlah seorang pensyarah yang suka berleter di dalam kelas. Sekali sekala saya akan memberi tazkirah, mengingatkan mereka akan tanggungjawab sebagai seorang pelajar dalam organisasi ini, sebagai seorang anak kepada ibu bapa yang jauh di kampung serta sebagai rakyat Malaysia yang berbangsa melayu. Bagi saya, perbuatan meniru itu adalah satu perbuatan yang tak patut sangat dibuat. Kenapa mesti meniru sedangkan semua topik yang saya keluarkan waktu kuiz semalam telah diajar, telah diberi tutorial dan sebahagiannya pula telah dibincangkan. Malah, ada dua soalan kuiz tersebut telah dibuat dalam sesi tutorial (sepatutnya).

Saya simpati sebenarnya kepada mereka yang meniru. Kenapa? Kerana bagi saya, mereka ini tidak dapat kepercayaan dari diri sendiri. Usahkan mendapatkan kepercayaan dari orang lain, malah dari diri sendiri pun tak mampu nak dapat. Bagi saya, kepercayaan itu sangat penting, apatah lagi kepercayaan yang telah diberi oleh orang lain kepada kita. Sekali sahaja kita merosakkan kepercayaan tersebut, ia akan memudarkan perhubungan untuk selama-lamanya...

Tuesday, 17 March 2009

Patutkah menipu...?

Perlukah menipu...? Satu persoalan yang saya rasa sungguh subjektif jawapannya. Kenapa subjektif? Bukankah menipu itu dosa..? Subjektif kerana inilah alasan yang selalu akan dibuat oleh para lelaki yang menduakan isteri atau kekasih hati. Bagi saya mereka ini adalah golongan yang kreatif..kreatif mencipta alasan supaya ia nampak realistik! Bukan sembarangan orang pandai bermain kata2 dan bukan sembarangan orang pandai mencipta alasan. Ada orang baru cuba nak menipu, tapi terpancar dari riak wajahnya yang dia telah menipu. Orang2 seperti ini bagi saya adalah orang yang dilindungi Allah..Kenapa? Kerana Allah menghalang mereka dari melakukan dosa.

Mungkin pandangan saya juga sama dengan kebanyakan wanita2 yang bergelar isteri..tak ada isteri yang mahu ditipu. Lebih baik berterus terang..kerana apabila kisah2 dibelakang tabir ini diketahui melalui orang lain, lukanya akan lebih parah. Saya suka membaca dalam ruangan ragam kehidupan, Mingguan Malaysia. Banyak cerita2 rumahtangga yang dipaparkan..lebih banyak tentang kecurangan para suami. Secara individu, saya rasa saya amat takut dengan apa yang dipaparkan..Bagi saya semua orang impikan kebahagiaan dalam hidup dan telah cuba membuat yang terbaik untuk kehidupan mereka. Bak saya kata, ini semua adalah Qada' dan Qadar Tuhan. Bagaimanapun, saya percaya bahawa Allah hanya akan beri yang terbaik untuk kita. Yang tak baik, bagaimana? Itu adalah kerana kelemahan diri kita melawan nafsu dan godaan syaitan.

Saya pernah terbaca satu cerita dalam ruangan ragam kehidupan suatu masa dulu. Cerita tentang seorang isteri yang tidak tahu langsung suaminya telah bernikah satu lagi dengan rakan sepejabatnya hampir 2 tahun. Dia hanya dapat tahu bila isteri kedua suaminya (staf tersebut) sedang mengandungkan anak suaminya. Patutlah bila dia mengajak suami untuk bercuti ke satu tempat, suaminya menolak. Dengan alasan ada mesyuarat penting. Rupa2nya sedang menunggu saat2 kelahiran anaknya dengan isteri kedua. Sedih, kan? Perlukah menipu begitu? Pernah tak kita semua terfikir bagaimana rasanya ditipu?

Perlukah menipu sekeping hati..yang telah mencurahkan sepenuh kasih sayang, keikhlasan segenap jiwa dan raga? Jawapannya, tepuk dada tanya hati....


Monday, 16 March 2009

SEKEPING HATI..

Bukan senang untuk menjaga hati...hati sendiri..apatah lagi hati orang. Saya rasa menjaga hati ni memerlukan 'skill' (kepakaran). Ada orang yang perangai entah apa2 aje, tapi pandai pula mengambil hati..ada pula orang yang baik, sopan, lembut tapi tak pandai menjaga hati orang lain...Namun in adalah subjektif. Mungkin bagi sesetengah orang, dia cukup berpuas hati dengan seseorang tapi bagi orang lain, sebaliknya pula. Kadang2 saya terfikir, ada korelasi kah antara penampilan dengan menjaga hati...? Perlukah diuji dengan "Granger Causality Test" untuk melihat sebab akibatnya...?

Apa2pun sekeping hati yang tulus, ikhlas, jujur akan terpancar pada seri wajahnya. Untuk mendapat sekeping hati yang suci bukanlah semudah menulis A,B,C..juga bukan semudah mengungkap " I love you..." Malah, ia lebih dari itu...Ia memerlukan kepasrahan, keredhaan, kejujuran dan keikhlasan untuk menerima Qada' dan Qadar Tuhan.

Friday, 13 March 2009

PEMIMPIN UNTUK DIPIMPIN

Semua orang adalah pemimpin. Paling mudah menjadi pemimpin bagi diri sendiri. Seorang pemimpin bertanggungjawab atas keputusan yang diambilnya sendiri, bertanggungjawab ke atas risiko yang bakal dihadapi dari keputusan yang dibuat. Seorang pemimpin bertanggungjawab atas amanah yang telah diberi. Untuk menjadi pemimpin yang baik, perlu ada keredhaan, keikhlasan. Apatah lagi untuk menjadi seorang pemimpin dalam sesebuah keluarga atau sesebuah unit, jabatan atau organisasi.

Bagaimana seseorang itu boleh menjadi pemimpin yang baik kalau dirinya sendiri tidak terpimpin? Bagi saya, ia cukup mudah. Memimpin diri sendiri supaya berdisplin, sentiasa berada di jalan yang benar dan lurus, sentiasa jujur dan amanah, sentiasa bersedia memikul tanggungjawab dan amanah dan seorang pemimpin itu harus bersedia menanggung risiko..Itu semua adalah ciri-ciri pemimpin. Jika seseorang itu mampu mempunyai ciri2 tersebut, kenapa dia tidak boleh menjadi pemimpin? Tak susah, kan? Ia akan menjadi susah jika ia hanya dilakukan bukan dari HATI. Ia akan menjadi susah jika tidak ada keikhlasan dan kejujuran.

Menjadi seorang pemimpin, tidak boleh 'bias' (perasaan berat sebelah), sama ada seorang pemimpin dalam rumahtangga, unit, jabatan, apatah lagi satu organisasi. Sebagai manusia biasa, kita cenderung untuk menjadi 'bias'. 'Bias' dalam memberi markah atau menilai prestasi kerja seseorang, 'bias' apabila nak memberi satu2 kerja atau tanggungjawab, 'bias' dalam memberi penghargaan atau pujian. Kenapa terjadi begitu? Kerana sifat manusia sendiri yang lemah dengan kecantikan, kalah dengan kelembutan, tewas dengan sifat lahiriah..Adakah ini pemimpin yang baik dan sebenar2nya pemimpin?

Pemimpin yang baik mempunyai hati yang ikhlas dan jujur..memimpin kerana Allah..bekerja kerana Allah. Pemimpin yang cemerlang akan menghasilkan insan yang cemerlang juga. Pemimpin akan menilai orang dari HATI bukan dari perasaan dan bukan dari pandangan mata. Semoga kita semua dijadikan Allah sebagai seorang pemimpin yang memimpin kerana ALLAH...Amin.

Thursday, 12 March 2009

ERTI KEIKHLASAN

Panggilan telefon petang semalam dari seorang sahabat lama waktu menuntut di MRSM dulu membuatkan saya terpanggil untuk menulis blog ini. N adalah sahabat lama saya yang telah hampir 20 tahun tak berjumpa. Selalunya kami berhubung melalui facebook dan email. Pernah sekali dulu, November 2008 kami beberapa orang ex-MRSM Taiping berjumpa di Shah Alam, termasuk N. Sejak itu, kami sentiasa berhubung, melalui facebook tentunya!

Panggilan dari N semalam benar2 mengusik perasaan dan jiwa saya. Saya turut bersimpati dengan apa yang dilaluinya. Menurut N, beliau baru dapat tahu bahawa suaminya menyintai staf di ofisnya sendiri. Bukan anak dara tetapi isteri orang! Rupa2nya suaminya telah lama menyimpan perasaan tersebut, sejak 2 tahun yang lepas. Walaupun sebelum ini ada beberapa orang staf di ofis tersebut ada memberitahunya tentang hal itu, tapi N tak percaya. Beliau percaya dan sangat yakin pada kejujuran suaminya. namun setelah kebetulan beliau terjumpa satu SMS romantik di telefon bimbit suaminya yang dituju kepada wanita itu , membuatkan N rasa sungguh kecewa. Saya tak tahu apa yang harus saya katakan pada N. Cuma saya minta N bersabar dan banyak mengaji.


Sebenarnya bukanlah cerita kekecewaan N yang ingin saya paparkan cuma saya ingin katakan tentang kejujuran dan keikhlasan. Bagi saya keikhlasan hati kita menerima seseorang atau sesuatu dalam hidup kita itu penting. Bila kita ikhlas menerima seseorang sebagai isteri atau teman atau sahabat, kita harus terima segala keburukan dan kebaikan, kekurangan dan kelebihan, kelemahan dan kekuatan seseorang itu. Allah sentiasa merahmati satu hubungan yang ikhlas. Keikhlasan akan menerbitkan kejujuran...Memang sedih bila mendengar atau membaca cerita2 tentang kecurangan suami/isteri, walaupun mungkin bukan dilihat secara zahir namun apabila ada perasaan menyintai diam2 terhadap orang lain, tentu akan mengecewakan pihak suami/isteri.


Saya pernah terbaca dalam satu artikel bahawa seorang isteri mempunyai nalurinya tersendiri. Naluri seseorang isteri itu dapat membaca sama ada suaminya ada menaruh perasaan terhadap orang lain atau tidak. Apa2 pun bagi saya, hati yang ikhlas akan membawa seribu kebahagiaan. Saya tak nampak mengapa kita mesti mencari kelebihan orang lain jika hati kita ikhlas menerima pasangan kita? Jika kelebihan itu kemudiannya dijadikan perbandingan, tiada keikhlasan maknanya dalam perhubungan. Dan jika kita sentiasa mencari kelebihan orang lain, sampai bila2 pun kita tak akan nampak kelebihan yang ada pada pasangan kita.

Mengapa kita tidak gantikan sahaja mencari kelebihan itu dengan rasa syukur dengan anugerah yang Allah beri? Allah telah menganugerahkan kita dengan pasangan yang terbaik untuk kita. Pasangan itu adalah amanah Allah. Kita yang harus menjaga amanah tersebut. Bagi saya, baik suami atau isteri masing-masing kena menjaga amanah yang Allah berikan ini dengan sebaik2nya, dengan ikhlas dan penuh rasa syukur.

Saya sentiasa berdoa agar Allah S.W.T sentiasa merahmati kebahagiaan saya. Setakat ini, saya bahagia dengan suami yang penyayang, jujur dan ikhlas menerima saya sebagai isteri, saya bahagia dengan anak2 kami..namun saya tak pasti apakah ujian dan dugaan yang Allah akan beri..Adakah apa yang telah saya lalui seminggu yang lalu adalah dugaan untuk saya..? Apa2pun saya bersyukur dan ikhlas menerimanya kerana apa yang saya lalui tak sehebat yang N lalui.

Saya doakan semoga N tabah hadapi dugaan...Amin.

Tuesday, 10 March 2009

Puteri...

Tidak ada perpisahan yang tidak menyakitkan. Apatah lagi bila berpisah dari orang yang kita sayang, anak2 misalnya...Setelah 5 hari menghabiskan cuti sakit bersama anak2 di kampung, hari ini saya pulang ke rumah dengan satu perasaan yang sangat sayu. Mungkin itulah perasaan seorang ibu, malah mana2 ibu di dunia ini tidak akan mampu untuk berpisah dengan insan yang bernama anak.

Selama 5 hari melihat anak-anak ke sekolah, balik sekolah, terutamanya Ika, anak ke empat yang manja dengan saya. Dia meminta saya memanggilnya 'puteri' sebab dia cantik, katanya. Masih teringat jeritan 'puteri' memberi salam waktu pulang dari sekolah, teringat teriakan 'puteri' memanggil 'mama' dan bercerita kisah dia di sekolah..semuanya membuatkan saya sedih..lebih2 lagi selepas kehilangan kandungan ini. Paling sedih bila 'puteri' saya menangis-nangis waktu kami nak bertolak balik malam tadi. Puteri menangis nak mengikut kami. Saya menangis dalam kereta. Saya tak tahan..Kalau ikutkan hati, nak saja saya bawa 'puteri' saya yang keempat tu tinggal bersama saya. Tapi ada faktor2 lain yang membuatkan saya meninggalkan anak2 di kampung. Mujurlah kampung saya hanya 30 minit saja dari rumah. Bila ada waktu terluang, kami akan pulang melihat anak2..

Pagi2 tadi saya mendapat panggilan telefon dari emak, katanya Ika tak nak ke sekolah. Saya bercakap dengan 'puteri' saya, memujuk dia ke sekolah..Dia asyik menangis...Saya sebak..Saya terus memujuk, akhirnya..saya berikan telefon kepada suami. Biarlah dia yang memujuk. Saya tak sanggup nak mendengar tangisan 'puteri' kesayangan saya..Bila tengahari, saya menelefonnya, bercakap dengannya, tanya 'puteri' tentang sekolah...dan yang lucunya bila saya tanya, "Best tak pergi sekolah tadi..?" Puteri menjawab, "Best...tadi adik..." dia terus bercerita. Alahai anak2..bila dah jumpa kawan2, hilang semua sedih...Apa2 pun..duhai anak...dikaulah permata hatiku...

Monday, 9 March 2009

Kenangan Itu Indah...

Pontian adalah sebuah daerah di negeri Johor yang cantik kerana terletak di persisiran Selat Melaka. Saya pernah pergi sekali masa kecil dulu bersama keluarga, mengikut abah yang berurusan kerja di sana. Sejak itu, saya tidak pergi2 lagi ke sana hinggalah bertemu jodoh dengan orang Pontian 16 tahun yang lalu.
Sejak berkahwin dan menetap di Segamat, hampir setiap minggu saya akan pulang ke kampung suami, menziarahi ibu mentua. Semalam (Ahad) seperti biasa saya pulang ke Pontian, tiba dalam pukul 5.30 petang. Suami terus bawa kami semua ke tepi laut, menunggu matahari terbenam. Melihat suami yang bersungguh2 mengambil gambar (kegemarannya sekarang), membuatkan saya rasa terharu dan berjanji di dalam hati bahawa saya harus menyokong hobi barunya itu. (keindahan matahari terbenam: gambar ihsan dari file suami)
Kesungguhan suami merakam matahari terbenam membuatkan saya terkenang pada ketulusan dan kasih sayang suami, pada kenangan cinta kami..dan tiba2 saya tak sedar airmata saya mengalir. Sejak akhir2 ini, saya sangat sensitif dan sentiasa terkenang masa2 lalu. bagi saya kenangan itu indah..walaupun mungkin kenangan itu adalah ingatan pada segala peristiwa suka, duka, pahit, manis..namun ia tetap indah untuk dikenang. Saya akan simpan segala kenangan itu di lubuk hati yang paling dalam....

Saturday, 7 March 2009

Satu kenangan..

4 hari telah berlalu...sejak saya keguguran, saya terasa seakan saya lebih dekat dengan Allah. Saya rasa seperti saya mahu sujud, bercakap dengan Allah untuk beberapa lama. Saya rasa itu sahaja yang membuat saya rasa tenang dan dapat melupakan peristiwa pilu itu. Panggilan2 telefon, pesanan2 ringkas dari kawan2 membuatkan saya lebih insaf bahawa setiap yang berlaku adalah atas kehendak Allah. Kalau dulu, saya banyak menyalahkan diri sendiri, persekitaran, kerja yang berlambak, tapi kini saya redha..dan saya lebih yakin bahawa Allah lebih Mengetahui apa yang tidak kita ketahui.

Saya bernasib baik ada suami, anak2, mak abah, adik2 serta kawan2 yang sentiasa memberi semangat untuk saya hadapi peristiwa sedih ini. Terima kasih semua...Hari kedua saya keguguran, anak keempat saya, Ika, bertanya kepada saya,"Mama, perut mama dah kurus. Baby kat mana? Doktor simpan ya?" Saya senyum sahaja. Itu saja yang mampu saya respon buat masa itu. Saya biarkan kakak dan abangnya yang jelaskan perkara yang sebenar.

Bila saya sendirian, saya masih terkenang waktu saya mula2 hamil. Bila saya beritahu pada suami tentang kehamilan ini, dialah orang yang paling gembira. Saya berazam untuk menjaga kehamilan ini sebaik2nya kerana kami bercadang kehamilan ini adalah yang terakhir untuk saya. Tapi kuasa Allah mengatasi segala2nya...

Hari Selasa nanti, saya akan memulakan kerja seperti biasa. Saya harap saya akan dapat memberikan komitmen yang terbaik untuk kerja2 saya. Saya tak nak jadikan peristiwa lepas sebagai satu alasan untuk saya gagal melaksanakan tugas2 saya atau mengurangkan aktiviti2 saya. Saya berazam memberikan yang terbaik untuk suami, anak2 dan juga kerjaya saya. Saya berdoa semoga Allah akan merestui dan memberkati niat saya ini. Amin..

Wednesday, 4 March 2009

Satu Kehilangan...

Hari ini saya kehilangan kandungan saya yang berusia 11 minggu. Sedih..bila doktor mencadangkan agar saya mengeluarkan kandungan tersebut kerana janin tidak sihat, tiada denyutan jantung. Saya keluar dari klinik dengan penuh persoalan, kekeliruan, sedih, cemas dan macam-macam lagi. Sebaik sampai di rumah, saya menangis. Akhirnya, saya bangun mandi, ambil air sembahyang, bersolat, membaca Al-Quran dan Surah Al Mathurat. Mudah2an saya tenang.

Sebenarnya, sejak seminggu yang lepas, saya telah bermimpi mengalami pendarahan..Saya terjaga dari tidur dan memohon agar mimpi ini tidak menjadi kenyataan. Sejak itu hati saya mulai terasa yang seolah2 akan berlaku sesuatu pada kandungan saya. Saya hanya berdoa pada Allah.. Bagaimanapun, saya percaya bahawa Allah sentiasa memberi yang terbaik untuk kita..Setiap yang berlaku mungkin ada hikmahnya..Saya kena terima dengan redha..

Pagi esok, jam 9 saya akan ke salah sebuah klinik O & G untuk cuci. Semalaman saya tidak dapat melelapkan mata..Waktu saya menulis blog ini, terasa kesakitan yang mulai datang dan terasa darah yang mengalir semakin banyak..Saya menangis...saya rindukan gerakan dan tendangan bayi dalam perut saya....saya impikan seorang permata hati yang terakhir yang dapat saya hadiahkan kepada suami tercinta...Adakah saya masih berpeluang lagi..? Dalam hati saya, saya ingin melakukan pengorbanan terakhir untuk suami..walaupun saya terpaksa mengorbankan nyawa saya sekalipun...

Saya amat terasa kehilangan ini...bagaimanapun saya harus redha dan bersyukur menerima ketentuan ini...Semoga Allah memberikan saya ketenangan untuk saya hadapi dugaan ini...

Monday, 2 March 2009

Hari Minggu Yang Menggembirakan..

Hari ini saya rasa hari minggu yang paling seronok dan menggembirakan. Hari ini saya dikelilingi oleh semua anak-anak saya..Fitri, pulang dari asrama hari Jumaat yang lepas..Ika saya ambil dia hari Jumaat petang. Fareha dan Aiman, atuk mereka hantar ke rumah pada hari Sabtu petang. Bila bangun pagi, nampak suami, anak-anak di sisi..saya rasa sungguh bahagia!! Lama sudah saya tidak menikmati rasa bahagia seperti ini..berhari minggu di rumah sendiri bersama anak-anak..! Saya dah bercadang nak ajak mereka bersarapan di luar, pergi pasar bersama dan masakkan hidangan tengahari untuk mereka..

Hari ini saya masak ketupat (segera) dan nasi putih berlaukkan kari daging, sambal goreng jawa, asam pedas ikan parang dan ayam goreng. Fitri beberapa kali keluar masuk dapur..bertanya saya ' mama masak apa?'. Sambil masak, saya selesaikan membasuh kain baju, dibantu oleh anak gadis saya..Fareha. Walaupun agak sibuk dan banyak kerja..tapi saya sungguh gembira..Hilang penat tengok anak-anak gembira bersama saya dan abah mereka..Dah lama mereka tak pulang ke rumah..

Petangnya, ibu mentua dan kakak ipar saya datang bersama keluarga..Gembira melihat mereka datang..Dah lama rasanya rumah saya tidak dikunjungi saudara mara..sejak ketiadaan pembantu rumah. Mereka memahami keadaan saya yang bekerja dengan ada anak kecil. Sebenarnya, saya tak kisah pun..Saya lebih suka kalau rumah saya sentiasa dikunjungi..kerana itulah yang menampakkan kemeriahan dan menaikkan seri rumah. Rasa seronok bila melihat masakan saya habis dimakan..Saya tertanya di dalam hati..adakah saya dapat menikmati lagi suasana semeriah hari ini...?