Friday, 12 June 2009

2 HARI LAGI..

Tinggal beberapa hari sahaja lagi cuti sekolah akan berakhir. Seorang demi seorang anak2 saya akan pulang ke sekolah. Dimulakan dengan Fitri yang pulang ke asrama pada hari Rabu lepas kerana ada program Tuisyen untuk pelajar2 tingkatan 3. Hari Ahad nanti, saya akan menghantar Fareha pulang ke asrama dan Aiman ke rumah atuknya (tinggal dengan atuk). Kehidupan akan jadi seperti biasa seperti sebelum cuti sekolah, yang tinggal hanya saya, ika dan baby. Bezanya, naik sekolah ni kami cuma tinggal bertiga, bukan berempat sebab suami dah bertugas di Shah Alam.

Rasa sedih dan sunyi sudah mula terasa..Lepas ni, tak ada lagi hari2 sibuk untuk masak breakfast dan makan malam, tak ada lagi suasana riuh rendah waktu petang anak2 bermain depan rumah...Semuanya akan jadi sunyi, kalau adapun, bunyi suara ika (puteri) dan baby menyanyi (ikut gaya mereka).

Apa2 pun, saya doakan anak2 akan berjaya dengan cemerlang dalam pelajaran mereka..Semoga mereka akan mengingati saat2 manis cuti sekolah ini...


Tuesday, 9 June 2009

HARI INI TANPANYA...

Lewat petang semalam suami pulang semula ke Shah Alam setelah 2 hari bersama kami. Tiba di Segamat hampir jam 11.30 malam hari Jumaat, disambut dengan rasa rindu oleh 'baby' (anak bongsu kami yang paling manja dengan abahnya). Selepas mandi dan bersiap, suami mengajak kami semua makan malam di luar. Jam menunjukkan hampir jam 12 malam. Anak2 lain yang tertidur, turut bangun dan ceria dapat keluar makan bersama abahnya.

Hari ini, saya rasa kesunyian, bosan...nasib baik ada anak2 yang nakal sebagai teman. Merekalah teman ketawa, teman berbual, teman bergurau..! Hari ini saya balik tengahari..keluar ofis sekejap..ke pasar beli barang2 keperluan. Saya rasa rindu nak masak tengahari untuk keluarga. Suami balik 2 hari lepas tak sempat untuk saya masakkan hidangan tengahari. Cuma sediakan sarapan pagi, bubur nasi (bersama sampingannya) dan lontong goreng (resepi baru yang diakui sedap oleh suami dan anak2!).

Tengahari ni saya masak sup ikan merah, sambal tumis petai, ayam goreng bersalut tepung, kacang buncis goreng dan sambal belacan. Berselera anak2 saya makan..Teringat kat suami..Kalaulah dia ada tatkala ini disisi kami, tentu dia juga akan makan dengan berselera...Rindu saya pada dia...Saya tak sabar nak menanti masa untuk kami semua berkumpul kembali sekeluarga...

Hari ini tanpanya akan saya lalui dengan penuh kesabaran, kekuatan..Saya akan sentiasa berdoa semoga suami diberi kesihatan yang baik dan dipermudahkan segala urusan kerjanya. Saya gembira bila anak2 juga bersolat dan berdoa untuk abah mereka...Paling gembira bila si'baby' yang kecil itu pun berebut2 nak bersolat dan berdoa.

Semoga Allah sentiasa merahmati dan memberkati hidup kami...Amin.

Tuesday, 26 May 2009

SAJAK UNTUK DIA..

Dia...
Sebuah nama yang terukir indah dalam hatiku...
Dia..
Sebuah nama yang terpahat teguh dalam ingatanku..
Dia..
Sekeping hati yang tulus dan suci
Sejernih embun pagi, seindah pelangi..
Dia..
Adalah ilham dalam citaku,
Mimpi indah dalam tidurku,
Kekuatan dalam jiwaku..
Dia..
Insan yang punya semangat waja,
Punya hati yang terus membara,
Setia berbakti untuk anak bangsa,
Tanpa keluh, tanpa kesah..
Dia..
Terpancar indah dalam sinar mata..
Memenuhi harapan dan cita-cita..
Dan dia..
Adalah sinarku yang abadi..


(Terima kasih untuk Dia Yang ku Sayang...)



Tuesday, 12 May 2009

SALAM PERPISAHAN

Hari ini saya menghadiri 2 majlis perpisahan, majlis pertama untuk rakan pensyarah (Puan Sharifah Aliman) juga merangkap Setiausaha (orang kuat) PEWANI dan yang keduanya majlis perpisahan untuk suami saya yang dianjurkan oleh staf Bahagian Pentadbiran. Bila menghadiri majlis seperti ini, ia tak akan lari dari perasaan sebak, sedih, terharu dan airmata...begitu juga saya. Semasa saya menghadiri majlis Puan Sharifah Aliman, saya rasa sebak kerana lepas ni saya tak tahu bila saya akan dapat bertemu kembali dengan beliau (yang dikenali sebagai Kak Ana). Dialah rakan, dialah kakak, dialah tempat rujukan, dialah idola....dan dia adalah dia...yang tetap unggul, tabah dan kuat untuk hadapi segala dugaan.


Majlis perpisahan suami dibuat di Hotel VIP, Segamat. Mungkin bagi saya, perasaan sebak tidaklah seperti staf2 yang lain. Saya masih boleh berjumpa suami setiap hujung minggu dan yang pastinya saya dan anak2 akan bersama suami pada hujung tahun ini (perancangan kami untuk berpindah ke Shah Alam). Lagipun saya dah menangis sejak 3 ke 4 minggu yang lalu sewaktu mendengar khabar angin suami akan berpindah. Masa tu saya menangis sampai bengkak2 mata (seperti yang saya ceritakan pada entri sebelum ini). Bagi staf pentadbiran, mungkin ia merupakan satu kehilangan yang amat besar..


Kadangkala perpisahan itu indah..kerana ia mengajar kita untuk lebih menghargai apa yang kita telah tiada. ..

Sunday, 10 May 2009

HAPPY MOTHER'S DAY

"Happy Mother's Day. I love you" Itulah sms (pesanan ringkas) yang saya terima dari abang uda (anak ketiga) sempena Hari Ibu hari ini. Fitri dan Fareha mengucapkannya sewaktu saya hantar mereka pulang ke asrama tadi. Bangga menerima ucapan tersebut dari anak2. Bagi saya, itulah hadiah dan penghargaan yang paling bernilai dan bermakna, tulus dari hati anak2...

Minum petang tadi seperti minggu yang lalu, saya sediakan cucur ikan bilis, goreng sosej dan air teh susu (kegemaran Fitri). Masuk saja ke dapur Fitri dah bertanya"Hmmm..sedapnya bau..Mama masak apa?" Saya kata "Alah..mama goreng jemput2 aje..Itupun bau sedap ke..? Mama dah buatkan air teh, kegemaran ayong." Lepas tu, Fitri kata, "Mama ni memanglah Mama yang baik.." Hampir menitik airmata saya mendengar kata2 Fitri. Sambil menuang air dalam gelas, hati saya berkata2 'macamana kalau mama dah tak ada lagi...? ' Saya tak dapat membayangkan bagaimana perasaan anak2 bila saya tiada lagi untuk selama2nya...

Mereka adalah kehidupan saya. Waktu saya berdoa selepas solat tadi, saya rasa saya perlu hidup, perlu kuat semangat...untuk anak2 dan suami. Dan secara hakikatnya, kerana Allah s.w.t. Sepanjang perjalanan dari Kulai ke Segamat, saya rindukan emak...dan terbayang segala pengorbanan emak selama ini. Sempena Hari Ibu ini, saya doakan emak dan emak mentua saya sihat dan dirahmati Allah selalu. Terima kasih untuk semua yang bergelar ibu.....

Thursday, 7 May 2009

Hati seorang Guru...

Hari ini saya agak sibuk menghabiskan marking final paper pelajar. Suami ke Trengganu kerana ada program staf. Sambil 'marking' hati merungut2, geram dengan beberapa jawapan pelajar yang langsung tidak memuaskan hati! Rasa macam penatnya selama ini mengajar diorang satu persatu, buat latihan dalam kelas, bincang soalan tutorial, tiba-tiba...jawapan macam tak pernah belajar...!Eeee...geramnya!!! Tapi bila tengok skrip jawapan pelajar yang baik, rasa seronok sikit..Rasa bangga kerana ada juga pelajar yang baik dan benar2 memanfaatkan ilmu yang telah disampaikan.



Apa2pun saya berdoa agar saya sempat menabur bakti kepada anak bangsa agar mereka dapat menjadi insan yang berilmu, beriman dan mulia. Doa ini juga saya selalu panjatkan kepada Allah S.W.T untuk anak2 saya. Andaikata saya tidak sempat memberikan segala ilmu yang saya ada untuk anak2 dan juga anak bangsa, cukuplah sekadar mereka mengingati saya sebagai seorang ibu dan guru yang pernah mendidik mereka....


Monday, 4 May 2009

Jika inilah Aturan Allah...

Aturan Allah S.W.T memang sangat cantik. Dan setiap yang telah ditakdirkan ia berlaku memang ada rahmatnya. Mula2 saya mengalami keguguran yang ketiga 2 bulan yang lepas, saya rasa teramat sedih. Saya menjadi orang yang sangat sensitif...lebih2 lagi bila melihat 'pregnant woman' atau bila ada orang bercerita tentang wanita mengandung. Saya suka termenung..menyalahkan diri sendiri dan terlupa dengan takdir dan rahmat Allah. Tapi hari ini, saya yakin bahawa setiap yang berlaku adalah aturan Allah yang sangat cantik.


Bila sendirian, saya terfikir, kalaulah saya tidak mengalami keguguran, sekarang ni saya sedang hamil masuk bulan ke lima dan dijangka bersalin pada 21 September. Suami pula akan berpindah ke Shah Alam pada 1 Jun ini. Mungkin rutin harian saya akan kelihatan lebih sukar, dengan kehamilan dan tinggal bersendirian, menjaga anak2 yang kecil 2 orang ni...memantau 2 orang anak yang berada di asrama, seorang lagi yang ada bersama atuknya juga hendak dijenguk, tugas2 hakiki di pejabat..Semuanya akan dilakukan sendiri! Itulah rahmat Allah...Allah ambil kebahagiaan saya yang lain dan menggantikannya pula dengan yang lain...

Sekarang ni..saya tidak hamil..mungkin saya ada kekuatan dan boleh lasak untuk melaksanakan tugas2 saya sebagai ibu dan pekerja dari hari Isnin hingga Jumaat. Hujung minggu mungkin suami akan pulang, dan saya akan menjalankan tanggungjawab sebagai isteri pula. Kalau diizinkan Allah, mengikut perancangan, mungkin saya dan 2 orang anak yang kecil akan berpindah mengikut suami ke Shah Alam bulan Disember nanti. Mungkin Allah telah merancangkan sesuatu yang lebih bahagia dan bermakna untuk kami dengan perpindahan ini. Saya mohon restu dan keberkatan dari Allah agar Dia memberikan yang terbaik untuk kami dan keluarga kami....Amin.