Friday, 30 October 2009

PERPINDAHAN

Semalam saya menghadiri 2 majlis perpisahan yang diadakan untuk pensyarah yang akan bertukar kampus (termasuk saya). Majlis sebelah pagi dianjurkan oleh pihak pengurusan UiTM Johor, manakala sebelah petangnya pula dianjurkan oleh Kelab Pensyarah UiTM Johor. Rasa terharu dan sangat2 dihargai..

Perpisahan..sesuatu yang pasti berlaku setelah ada pertemuan. Lebih2 lagi dalam konteks kerja. Mau tak mau kita harus terima. Ada orang terpaksa berpindah kerana mengikut suami, ada orang berpindah kerana anak, ada orang berpindah kerana naik pangkat, ada juga orang berpindah untuk melupakan kenangan lalu. Apapun alasannya, ia harus diterima dengan rasa tabah, tawakkal dan positif.


Saya sentiasa berdoa agar perpindahan ini biarlah sesuatu yang dirahmati dan diberkati...

Wednesday, 28 October 2009

PERPISAHAN


Bertemu dan berpisah..adat dunia. Semalam diadakan majlis perpisahan untuk Timbalan Pengarah HEP & Alumni, Prof Madya Ustaz Zaluddin. Majlis yang sederhana, ringkas tapi cukup meriah dan bermakna. Setiap perpisahan ada hikmah dan rahmatnya..ada nikmat dan manisnya..Semoga Ustaz terus cemerlang di kampus baru.








Monday, 26 October 2009

KEKUATAN SEORANG WANITA

Hari Sabtu yang lepas saya menghadiri siri ke 6 Syarahan Intelektual yang dianjurkan oleh UiTM Johor. Sebenarnya, sebulan sebelumnya banner telah dipasang untuk memaklumkan kehadiran penceramah ini. Sejak terpandang banner itu, telah tersimpan di dalam hati saya untuk mengikuti syarahan intelektual kali ini (sebelum ini tak pernah). Penceramahnya - Puan Dalilah atau dikenali Raden Galoh, seorang wanita yang kuat semangat memerangi kanser yang dihidapinya. Hasrat suci yang saya pendam ini hampir saya lupakan kerana tahu kebiasaannya hujung minggu kami akan pulang ke kampung. Entah macamana, Allah Maha Mengetahui, Maha Adil, Maha Pemurah, dengan beberapa sebab, saya dapat menghadiri ceramah ini sehingga selesai. Alhamdulillah...


Mendengar ceramah Puan Dalilah, saya rasa diri ini terlalu kerdil. Saya kagum dengan kekuatan dan ketabahan beliau memerangi kanser yang telah menyerangnya untuk kali ketiga. Melihat keadaan dirinya yang tidak menampakkan seperti orang sakit, melihat dirinya yang bersemangat, riang, terdetik di dalam hati saya...saya juga harus jadi wanita yang kuat. Dan kekuatan itu hanya akan diperolehi dengan kasih Allah...Subhanallah...Maha Suci Allah yang telah melimpahkan rahmatNya kepada semua makhlukNya..Saya telah mengecapi segala nikmat Allah..kenapa saya masih tidak lagi mensyukuri nikmat tersebut? "Nikmat mana lagi yang hendak kamu dustakan?"...Amin

Wednesday, 21 October 2009

MASA

Ada orang kata, "masa itu emas". Bagi saya masa itu lebih bernilai dari emas. Masa yang ada sangat terhad untuk kita lakukan semua perkara yang kita suka. Masa yang ada sangat singkat untuk kita menikmati kegembiraan dunia yang akan sampai ke penghujungnya. Sangat kurang masa yang kita berikan untuk Allah, Yang Maha Pencipta. Saya teringat pada 5 perkara yang kita perlu rebut sebelum sampai 5 perkara yang lain:


Masa muda sebelum tua
Masa sihat sebelum sakit
Masa kaya sebelum miskin
Masa hidup sebelum mati
Masa senang sebelum susah


Masa yang ada inilah saya peruntukkan untuk kerja, keluarga dan anak2..semuanya saya niat kerana Allah..Semoga Allah memberkati masa ini untuk yang terbaik. Kadang2 kita lalai dan terlupa..Kita punya masa untuk mendengar masalah orang lain, cerita orang lain..tapi kita terlupa membahagikan masa untuk mendengar masalah orang yang paling dekat dengan kita..Kita ada masa untuk memahami perasaan orang lain, tapi kita tidak ada masa untuk memahami perasaan insan yang paling hampir dalam hidup kita.

Kalaulah masa itu boleh diputar...

Monday, 19 October 2009

Perubahan

Kuliah bagi semester ini telah sampai ke penghujungnya. Saya telah menghabiskan syllabus yang sepatutnya bagi kedua2 subjek yang saya ajar. Masa yang tersisa adalah untuk pembentangan tugasan bagi individu. Dalam banyak2 topik yang saya ajar, saya suka pada topik kedua dalam ECO 261 - Development Plans in Malaysia. Saya sangat tertarik kepada topik New Economic Policy (NEP). Salah satu faktor kegagalan NEP adalah sikap Bumiputera yang tidak mahu menerima perubahan.



Perubahan sangat penting dalam hidup. Tapi kita kurang mengambil perubahan itu dari sudut positif. Perubahan boleh ditafsirkan pelbagai. Tapi kenapa kita hanya nampak perubahan dari skop yang lebih sempit, negatif dan memberi impak yang buruk kepada kita? Perubahan yang berlaku dalam hidup kita merangkumi perubahan fizikal (paling hampir), perubahan emosi, spiritual, persekitaran kerja, kawan2, pengurusan dan kepimpinan.



Saya juga pernah hampir merasa tidak selesa dengan perubahan persekitaran tempat kerja. Tapi akhirnya, saya rasa senang dan redha untuk menerima perubahan tersebut. Prinsip saya senang. Saya hanya ambil yang baik sahaja dari perubahan tersebut. Yang menyakitkan hati, yang buruk, saya buat tak tahu. Yang penting, kerja tetap diteruskan. Adakah saya harus menggadai keseronokan di tempat kerja semata2 melayan perubahan yang kita tidak selesa?



Saya sedar, untuk beberapa ketika saya sentiasa membuat perbandingan antara dua persekitaran kerja yang berlainan. Akhirnya, saya membuat keputusan, saya PATUT hentikan perbandingan itu. Saya berjaya dan seronok meneruskan hidup dan kerjaya dengan persekitaran yang baru. Bagi saya, selagi kita terus membuat perbandingan dalam perubahan tersebut, selagi itu kita tidak dapat menerima perubahan.


Saya sentiasa mengingatkan pelajar, untuk kita terus berjaya dalam ekonomi, untuk terus menjadi bangsa yang cemerlang, kita harus sanggup menerima perubahan. Dari sudut Islam, perubahan itu bukan setakat kuantitatif tetapi juga kualitatif. Semoga kita mendapat Al Falah, di dunia dan di akhirat. Amin...

Friday, 16 October 2009

Kemalangan

Saya terlibat dalam satu kemalangan semalam. Pertama kali dalam sejarah hidup memandu selama 11 tahun saya telah melanggar penunggang motosikal. Nasib baik saya seorang saja ketika itu. Anak2 dan bibik ada di sebuah gerai makan menunggu saya mencari parking. Dalam mencari2 itu, tanpa sengaja saya terlibat dengan kemalangan tersebut. Saya mengaku salah saya (mungkin- tak salah mengaku salah).



Saya keluar dari kereta, minta orang ramai tolong angkat pemuda itu ke dalam kereta saya untuk dihantar ke klinik. 2 orang polis (kebetulan bertugas di situ), turut membantu. Dalam saat saya berada dalam kesusahan itu, tiba2 sepasang suami isteri dalam lingkungan awal 50 an, menawarkan diri membantu saya, menemani saya ke klinik Mahkota, menghantar pemuda itu pulang ke rumah dan memberi saya sokongan.

Bagi saya peristiwa itu merupakan satu hikmah. Mengingatkan saya lebih berhati2 membawa kereta, menguji kesabaran dan yang pentingnya saya sedar bahawa Allah sangat adil. Dia telah menghantar kepada saya orang yang saya tak kenal untuk menolong saya di saat2 saya perlukan pertolongan. Dia juga telah mentakdirkan bahawa penunggang motosikal itu hanya cedera ringan sahaja (motor-ok). Dia juga telah memberikan saya kekuatan untuk berusaha membaiki kereta saya yang rosak, ke sana ke sini mencari kedai2 spare part dan sebagainya. Bagi saya itu semua adalah pengajaran yang paling berharga kurniaan Allah.

Ada orang berkata kepada saya "Orang yang baik, yang selalu menolong orang, bila susah sentiasa ada orang nak tolong. Allah permudahkan kesusahan itu." Alhamdulillah..Baik buruk saya hanya Allah yang tahu..

Thursday, 15 October 2009

Bersatu Membawa Kejayaan

Semangat bekerja satu pasukan meringankan segala kesusahan, yang susah jadi senang, yang senang, jadi lebih mudah. Terharu dengan kesungguhan pelajar2 DIB mengadakan majlis jamuan hari raya dalam keadaan yang gelap gelita. Kesungguhan Pengarah untuk hadir pada malam itu, kehadiran pensyarah2 kanan serta beberapa pensyarah yang lain membuatkan saya cukup terharu. Apatah lagi melihat exco2 bertungkus lumus menyalakan lilin pada setiap meja, bersungguh2 menjalankan aktiviti dalam kegelapan. Suasana gelap tidak terasa bila ditutupi dengan kemeriahan pelajar2.

Saya percaya, kejayaan malam itu (walaupun dalam gelap) adalah berkat keikhlasan dan kesungguhan mereka bekerja dalam satu "team". Bekerja tanpa mengira siapa kawan dan lawan kita, bekerja tanpa mengira siapa ketua kita, bekerja kerana Allah, bekerja dengan ikhlas. Hasilnya.....kejayaan dan nikmat yang tidak terkata...